Selasa, Januari 22, 2013

Usah dibuai slogan kebangkitan rakyat?



Sudah seminggu lebih 'Himpunan Shamsidar' berlalu. Hari demi hari, rakyat pun sudah melupakan peristiwa tersebut. Rakyat lupa kerana tidak ada insiden buruk yang berlaku. Peserta himpunan itu datang dan pulang dengan aman. Cuma mereka meninggalkan bertan-tan sampah sarap.

Macam himpunan yang tidak dapat kebenaran sebelum ini, yang meramaikannya ialah penyokong dan ahli Pas, sedikit kumpulan PKR dan DAP.

Pakatan pembangkang ini pula suka sangat namakan gerakan dan himpunan mereka sebagai himpunan rakyat. Bolehkah kita anggap kehadiran tidak mencecah angka 100,000 orang itu sebagai kebangkitan rakyat? Berapa peratus angka itu berbanding dengan hampir 28 juta warganegara kita.

Himpunan Shamsidar yang merujuk kepada kebangkitan rakyat minggu lalu itu diterajui oleh pakatan pembangkang. Gerakan itu cuba membangkitkan semangat dan kekuatan orang ramai menjelang pilihan raya umum (PRU), supaya dapat tukar kerajaan.

Sejak Mac 2008, kempen yang digerakkan oleh PKR, DAP dan Pas menggunakan nama ‘rakyat’. Begitu juga pada himpunan 12 Januari lalu. Tapi kali ini tidak nampak banyak penyertaan daripada rakyat keturunan India. Peserta daripada kaum Cina pun tak ramai. Seperti biasa yang ‘memeriahkan’ himpunan itu ialah orang Melayu Pas dan segelintir Melayu PKR.


Sekali lagi adakah ini himpunan kebangkitan rakyat? Majoriti yang tak menyertai himpunan itu juga boleh dianggap kebangkit rakyat. Ketika Barisan Nasional (BN) sibuk untuk menunaikan janji-janji kepada rakyat, pakatan pembangkang pula sibuk dengan kempen dan ceramah politik ke seluruh negara.

Nampak sangat agenda pakatan kini seolah-olah kering idea. Balik-balik membangkitkan perkara-perkara yang sudah dijayakan oleh kerajaan. Bukankah elok pakatan pembangkang masukkan tuntutan tersebut ke dalam manifesto pilihan raya mereka atau disumbatkan ke dalam Buku Jingga.

Mengikut pengamatan penganalisis politik, mereka sepakat mengatakan pengundi Melayu dan India yang pada PRU-12 memilih pembangkang kini sudah sedar diri dan kembali ke pangkuan BN. Bagaimanapun pengundi Cina masih ‘melekat’ dengan pembangkang walaupun beberapa pendekatan dibuat untuk memujuk kaum itu.

Pengundi Cina yang bangkit pada PRU-12 sehingga hari ini masih menaruh harapan pakatan pembangkang yang diketuai Anwar Ibrahim akan dapat melangkah ke Putrajaya.

Tapi sejak 2008, apa yang pengundi Cina dapat daripada Anwar dengan memenangkan calon pakatan pembangkang. Hari demi hari semua kaum yang pernah menyokong pembangkang bangkit dengan kemarahan. Masing-masing kaum ada rasa tidak puas hati dengan kepimpinan dan wakil rakyat pembangkang.


Dalam sebuah akhbar Cina sudah dibangkitkan soalan, jika benar Anwar mahu menjadi perdana menteri yang berjiwa besar dan tidak berpihak kepada mana-mana kaum, beliau sepatutnya membalas jasa-jasa lebih 80 peratus pengundi Cina yang menyokong pakatan pembangkang.

Anwar perlu menafikan hajat Pas yang mahu wujudkan negara Islam. Kepada isu pendidikan Cina yang dibelenggu oleh kerajaan BN, Anwar diminta melepaskan ikatannya. Jika pakatan berkuasa nanti, kaum Cina mahu Anwar perbetulkan nasib dan kedudukan ekonomi kaum itu.

Beranikah Anwar memperjelaskan tuntutan-tuntutan itu?

Sebenarnya jika diamati, corak pentadbiran kerajaan Pas di Kelantan dan Kedah, DAP di Pulau Pinang dan PKR di Selangor masih bergelumang dengan isu-isu perkauman, budaya dan kepentingan agama.

Kebangkitan rakyat yang pakatan canangkan hanya condong kepada kekuatan sesuatu kaum sahaja untuk mendukung kuasa politik.


Sebab itu kalau diteliti peratusan undi mengikut kaum bagi kawasan yang ditandingi oleh calon pembangkang pada PRU-12, undi orang Melayu terbelah kepada dua manakala undi kaum Cina kepada calon pembangkang baik DAP atau PKR, peratusannya amat tinggi. Hanya peratusan kecil daripada jumlah pengundi Cina (mungkin 15-20 peratus) akan dapat kepada calon BN.

Adakah trend pengundi Cina ini masih belum berubah? Benarkah PRU-12 adalah masa kebangkitan kaum Cina melalui undi. Bagaimana PRU-13?

Apakah pengundi Cina gembira melihat kedudukan kerajaan dan pembangkang baik di negeri dan pusat seperti yang ada sekarang? Undi Cina untuk pakatan pembangkang belum menjamin apa yang mereka hasratkan akan tercapai. Apa yang dapat dilihat sekarang dengan kuasa yang tidak kukuh pun pakatan pembangkang sudah membuat perasaan rakyat berkecamuk, inikan pula dapat memerintah dengan kuasa penuh?

Pengundi kaum Cina ada peranan dan tanggungjawab terhadap politik negara ini. Pengundi Cina tidak wajar dibuai dengan slogan kebangkitan rakyat untuk sebuah Malaysia yang baharu. Lebih bahaya jika mereka terpengaruh dakyah sebuah parti yang berpura-pura mengatakan mereka parti untuk semua kaum.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: