Selasa, Januari 29, 2013

ADUN DAP dibidas, gagal laksana amanah rakyat?


Bekas ahli DAP, Tan Tuan Huat (tengah) diapit Yap Kon MIn (kiri) dan Tan Chee Cheong mengadakan sidang akhbar berkenaan Exco DAP Selangor Ronnie Liew di Taman Petaling, Petaling Jaya, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Datok, Philip Tan daripada DAP hari ini dibidas kerana gagal menjalankan tugas serta tanggungjawabnya menjaga kebajikan rakyat di kawasan berkenaan.

Bekas pemimpin DAP, Yap Kon Min mendakwa, kegagalan dilihat menerusi tindakan Philip yang dikatakan tidak mengagihkan bantuan buku latihan sekolah kepada pelajar yang layak di kawasan DUN berkenaan meskipun telah mendapat bantuan tersebut daripada kerajaan negeri sebelum ini.

Tegasnya, sebagai ADUN, beliau sepatutnya mengedarkan bantuan yang dikhususkan untuk membantu pelajar sekolah rendah dan menengah yang kurang berkemampuan.

"Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat (Philip), pernahkah beliau mengagihkan bantuan buku latihan itu kepada pelajar yang layak di DUN Telok Datok. Saya dimaklumkan, buku-buku latihan tersebut disimpan oleh wakil rakyat itu dan sehingga kini tidak diagihkan.

"Apakah beliau mengambil kesempatan menuntut sumbangan kerajaan negeri. Sebagai ADUN yang dipilih rakyat sebelum ini, beliau sepatutnya mengagihkan bantuan itu kepada rakyat yang memerlukan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada masa sama, Kon Min yang juga bekas Juruaudit DAP Cawangan Serdang Baru itu turut mempertikaikan sikap tidak adil Philip yang dikatakan hanya memberi tumpuan pembangunan di kawasan pekan dan bukannya di kampung-kampung dalam DUN itu.

Sambil memberikan contoh dalam soal pembaikan jalan raya di kawasan DUN terbabit, Kon Min menyatakan telah menerima laporan bahawa jalan raya di kawasan kampung masih lagi dalam keadaan rosak dan ada antaranya memerlukan kerja pembaikan segera.


Selain itu, beliau turut menggesa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan juga Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok supaya menyiasat serta mengambil tindakan yang sewajarnya jika dakwaan tersebut didapati benar.

"Jika benar keadaan ini berlaku, adakah wakil rakyat ini layak untuk dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang?" ujarnya.

Pada PRU-12, Philip memenangi kerusi DUN Telok Datok mengalahkan Ei Kim Hock daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 698 undi.

Sementara itu, Philip ketika dihubungi menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai satu cubaan untuk memburuk-buruknya imej beliau sebagai ADUN.

"Sejak menjadi wakil rakyat, saya telah melaksanakan kerja pembaikan jalan raya di setiap kawasan dalam DUN saya. Tapi biasalah, jalan-jalan di kawasan ini memang selalu rosak terutamanya ketika musim hujan dan akibat dilalui oleh kenderaan berat.

"Mengenai isu pengagihan buku latihan, sepatutnya saya terima bantuan sebelum sesi persekolahan bermula, namun bantuan itu lewat sampai. Maka, saya rancang untuk mengagihkan bantuan buku latihan tersebut pada hujung tahun ini.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: