Isnin, Januari 21, 2013

'Konvoi perang' jenguk balak?


Sebahagian orang awam yang hadir menyaksikan sendiri tapak perhutanan yang kini telah gondol bagi menentang isu pembalakan di Tasik Pedu yang merupakan kawasan penting tadahan hujan bagi rakyat Kedah.

Tidak pernah terjadi dalam rentetan isu semasa tanah air, suatu himpunan besar bas digerakkan untuk menjengah bukit.

Tetapi itulah yang berlaku.

Laksana ‘konvoi perang’ dengan kekuatan hampir 200 buah bas, ‘pesertanya’ membentuk kelompok besar membanjiri Charok Batang Padi di Padang Terap pada 11 Januari lalu - untuk melihat lebih dekat kawasan hutan yang digondolkan kerajaan Pas Kedah.

Dengan rasa meluap-luap ingin tahu, rakyat Kedah daripada pelbagai lapisan masyarakat datang berbondong-bondong pada Jumaat itu, meninjau kegiatan pembalakan yang cuma 100 meter dari Tasik Pedu.

Sungguh tak disangka-sangka. Dalam ‘diam-diam ubi’, imej kerajaan Pas Kedah semakin tercemar dengan kegiatan luar kawalan itu. Sebelum itu, di kawasan seluas 5,000 hektar di Gunung Inas, Sik untuk diwujudkan Ladang Sejahtera manakala terbaru, 350 hektar di hutan simpan dan tadahan hujan di Tasik Pedu untuk ‘disediakan’ ladang buah-buahan.

Meskipun mendapat bantahan keras pelbagai pihak, namun kerajaan Pas Kedah terus angkuh meneruskan kegiatan itu. Malah mahu mengenal pasti lagi kawasan pembalakan baharu seluas 800 hingga 1,000 hektar untuk dipajak kepada pihak lain.

Rakyat Kedah maklum, Pas negeri itu ketandusan idea untuk menambah hasil pendapatan negeri. Menebang balaklah satu-satunya jalan keluar berikutan Menteri Besarnya kurang daya kreativiti memperkayakan ekonomi negeri. Hasil pendapatan dan sumber ekonomi negeri merudum di bawah pentadbiran Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam tempoh sepenggal ini. Dan akibatnya kawasan Gunung Inas dan Tasik Pedulah mangsanya.


Isu pembalakan yang rakus adalah antara rentetan isu rakyat yang terus menyelubungi kerajaan Pas Kedah.

Sebelum itu pun, kegagalan Azizan mentadbir Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang ditubuhkan Barisan Nasional (BN) telah mengakibatkan pelbagai masalah timbul. Bermula dengan demonstrasi pelajar tahfiz Kuin pada awal 2011 sehinggalah ke soal masalah kebajikan pelajar, asrama dan kemudahan tidak terurus, kenaikan yuran serta kursus kedoktoran tidak mendapat sambutan. Dan akhirnya, Kuin gagal membayar caruman pekerja, potongan gaji pinjaman pekerja, gaji lewat dan laporan polis mengenai rasuah.

Begitu juga dengan krisis perkhidmatan pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) melibatkan krisis pelantikan pegawai daerah (DO) pilihan Pas dan Sultan Kedah, yang menyebabkan ramai KCS tidak bersetuju dengan kerajaan Pas negeri.

Janji

Seterusnya, mereka menganggap Azizan lemah kerana tidak mampu mengawal ahli-ahli Pas sendiri. Isu-isu lain yang menyebabkan rakyat kian berjauh hati dengan Pas negeri termasuklah keputusan Azizan menamatkan perkhidmatan pembayaran bil bekalan air di pejabat pos sejak Mac 2011, cukai tanah Universiti Utara Malaysia (UUM) dinaikkan, pusat-pusat hiburan yang kian berleluasa tanpa kawalan di Alor Mengkudu dan sekitar Sungai Petani. Dalam masa sama, banyak janji pilihan raya Pas Kedah pada 2008 tidak tertunai.

Antaranya janji beri elaun kepada imam dan bilal masjid, hendak tubuhkan Institusi Ar-Rahn untuk golongan berpendapatan rendah, wujudkan Dana Teroka untuk peniaga Bumiputera, bina kemudahan sukan khusus untuk wanita dan janji hendak beri cuti edah 30 hari kepada wanita yang kematian suami dan 14 hari untuk suami kematian isteri. Belum ada khabar berita sehingga hari ini.


Di Gunung Inas, pembalakan ‘cuci mangkuk’ di situ agak dahsyat apabila pokok balak sama ada bersaiz besar atau sebesar ‘lengan tangan’ yang ‘baru nak hidup’ turut ditebang. Ini hingga menyebabkan bukit gondol, tanah tinggi ditarah dan air sungai dicemari air keruh.

Ekoran pembalakan di Tasik Pedu dirancangkan pembukaan ladang buah-buahan. Tetapi apa yang meragukan rakyat sehingga kini, buah apa yang hendak ditanam masih tidak diketahui.

Bila diajukan kepada Azizan, senang jawapannya: “Saya tidak tahu, tetapi kita fikir pasal biasanya kawasan ini pokok naik, jadi kita tanam dululah. Macam pokok pisang, tanam di manapun berbuah di Kedah ni."

Terbaru di Jerai, Selasa (15 Januari) lalu, kenyataan Azizan mengenai isu pembalakan di Kedah begitu menjengkelkan dan bernada ‘angkuh’. Katanya, kerajaan Pas Kedah tetap mahu meneruskan rancangan meneroka sekurang-kurangnya lebih 1,000 hektar lagi hutan di sekitar negeri itu.

“Kita akan tebang tapi akan cari kawasan lain, bukan di Pedu. Setelah berunding dengan Jabatan Perhutanan, kita tebang," katanya.

Menteri Besar itu juga seolah-olah memandang enteng kawasan tadahan air berhampiran Tasik Pedu.

Ungkapnya: “Kawasan tadahan air ini orang tadah di tempat lain, hujan turun baharu air datang situ. Bukan tadah air di situ, hujan turun di situ. Kawasan itu berapa luas sangat, sekangkang kera sahaja, tak padan."

Adakah ‘konvoi perang’ akan kembali ke Tasik Pedu?

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

Unknown berkata...

Salam tuan,

blog tuan telah dipaut dalam Kinta Menjerit mohon pautan kembali
http://paritbuntarrebels.blogspot.com/


tq