Jumaat, Januari 18, 2013

Selangor Seleweng : Peruntukan Kerajaan Pusat Untuk Jalan Raya Digunakan Untuk Unisel?



Kerajaan negeri Selangor didakwa menyeleweng peruntukan penyenggaraan tahunan jalan raya yang diberikan oleh kerajaan persekutuan melalui geran Sistem Maklumat Rekod Jalan raya Malaysia (Marris) bagi memperbaiki dan meningkatkan kualiti jalan raya di negeri tersebut.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan berkata berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan sebelum ini, kerajaan Pakatan Rakyat hanya menggunakan 58 peratus daripada peruntukan tersebut dan selebihnya digunakan bagi pembangunan Universiti Selangor (Unisel).

"Kerajaan Selangor hanya pakai 58 peratus daripada peruntukan kerajaan pusat untuk kerja-kerja menyelenggara jalan. Mana pergi lagi 42 peratus yang harus diguna?

"Saya juga dapat maklumat, melalui laporan audit ini, RM5.1 juta peruntukan Marris dikeluarkan dan diguna untuk diberi pada satu syarikat di bawah anak syarikat Selangor untuk membiayai projek pembinaan Unisel," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Dalam sidang Dewan Rakyat Mac lalu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan bahawa peruntukan Marris berjaya merealisasikan projek-projek penyelenggaraan dan baik pulih di setiap kawasan.

Khalid dipetik berkata, setakat ini sebanyak RM 65,939,561.82 disalurkan untuk perlaksanaan projek Marris yang melibatkan sebanyak 1,065 projek pada tahun 2011.


Khalid turut mendakwa, satu pasukan audit turut ditubuhkan bagi memantau kerja-kerja Marris yang dianggotai oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Perbendaharaan Negeri Selangor (PNS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Kamalanathan yang juga Ketua Penerangan MIC turut mendakwa walaupun kerajaan negeri menggunakan wang Marris bagi membangunkan Unisel namun universiti tersebut terus mencatatkan kerugian.

Katanya lagi, berdasarkan laporan audit kerajaan Selangor mengalami kerugian berjumlah RM39.69 juta dalam tahun 2010, dan RM13.56 juta melalui Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSB) iaitu syarikat yang menjalankan operasi Unisel.

"Walaupun wang Marris dikatakan diguna untuk membangunkan Unisel, namun Unisel tetap tidak membangun dan terus catat kerugian.

"Berdasarkan laporan audit Unisel mengalami kerugian. Pengurangan pelajar berdaftar berkurang dari 12,000 ke 10,000. Yang terkini ia menurun lagi," tambahnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: