Khamis, Januari 17, 2013

Isu air Lembah Kelang : Aktiviti di surau turut terjejas!


Penduduk Pangsapuri Lumayan di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur sabar beratur menantikan giliran untuk mengambil air menggunakan tong air yang disumbangkan oleh Gerakan, semalam.

Ketiadaan bekalan air pili sejak 29 Disember lalu bukan sahaja menyebabkan aktiviti harian mereka yang terlibat terjejas, tetapi turut menyebabkan surau lengang kerana penduduk sibuk mengangkut air.

Di Pangsapuri Lumayan, Bandar Tun Razak, beberapa program yang telah disusun oleh ahli jawatankuasa surau di kediaman itu juga terpaksa dibatalkan akibat ketiadaan sumber asas itu.

Pengerusi surau pangsapuri itu, Azeman Abdul Razak berkata, sambutan Maulidur Rasul yang dijadualkan pada 26 Januari ini telah dibatalkan oleh pihaknya memandangkan jangkaan bekalan air masih terganggu sehingga sambutan Tahun Baharu Cina.

Kami tidak ada pilihan kerana air tiada untuk menjalankan aktiviti itu, malah kelas agama juga kami terpaksa tangguhkan buat seketika sehingga bekalan air kembali seperti biasa.

Lebih mengecewakan, solat hajat yang kami mahu laksanakan semalam juga terpaksa dibatalkan kerana orang ramai perlu mengangkut air setelah pulang daripada bekerja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, kesengsaraan kira-kira 1,500 penduduk pangsapuri itu sedikit terubat apabila menerima 100 unit tong air berisipadu 10 liter yang disumbangkan oleh parti Gerakan.

Usaha yang mendapat kerjasama Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) itu bagi meringankan beban penduduk yang menghadapi gangguan bekalan air sejak dua minggu lalu.

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Lumayan, Azhari Miskah berkata, masalah tersebut mengganggu urusan seharian penduduk yang mendiami 600 unit kediaman di situ.

Sekiranya Syabas memaklumkan terlebih awal mengenai gangguan ini kami mungkin dapat mengatasinya kerana tangki air di pangsapuri ini mampu bertahan selama tiga minggu," katanya.

Azhari berkata, penduduk yang terlibat dengan masalah tersebut merayu pihak-pihak berkenaan segera menyelesaikan masalah tersebut kerana ia menyusahkan kehidupan mereka.

Dalam pada itu, Pengerusi Biro Aduan dan Khidmat Awam Parti Gerakan, Wilson Lau berkata, bantuan tersebut disalurkan setelah beliau melakukan lawatan di pangsapuri itu minggu lalu.

Penduduk meminta bekas air yang berpenutup kerana bimbang air akan tertumpah ke dalam lif sekiranya mereka menggunakan baldi ketika mengangkut air ke rumah masing-masing.

Mereka bimbang akan berlaku kerosakan lif yang pastinya akan lebih menyukarkan urusan mereka terutama ketika tempoh gangguan bekalan air ini," ujarnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: