Rabu, Januari 09, 2013

Krisis air Lembah Kelang - Skuad Baldi ditubuhkan!


Anggota Skuad Baldi Bandar Tun Razak membantu seorang warga emas mengangkat air di Flat Seri Melaka Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

Kemelut yang melanda penduduk sekitar ibu negara akibat gangguan bekalan air sejak 29 Disember lalu sekurang-kurangnya dapat diredakan.

Ini berikutan UMNO Bahagian Bandar Tun Razak mengambil inisiatif menubuhkan jawatankuasa khas yang dipanggil Skuad Baldi khusus untuk penduduk di Flat Seri Melaka, di sini.

Ketua Pemuda UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, penubuhan skuad itu bertujuan membantu golongan warga tua dan orang kurang upaya (OKU) di flat berkenaan untuk mendapatkan bekalan air yang dihantar Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Menurutnya, skuad yang terdiri daripada 15 ahli UMNO itu akan bertanggungjawab membantu penduduk mengisi air daripada lori tangki Syabas dan akan dihantar ke rumah-rumah terpilih.

Pihak kami dengan kerjasama Syabas juga akan memastikan penghantaran sebanyak dua kali sehari dapat dilakukan di kawasan perumahan ini.

Isu air ini tidak seharusnya dipolitikkan sebaliknya lebih melihat kepada kebajikan dan keselesaan rakyat," katanya ditemui ketika turun padang meninjau keadaan penduduk di Flat Seri Melaka di sini hari ini.

Sementara itu, rata-rata penghuni flat berkenaan menyambut baik usaha UMNO Bandar Tun Razak menubuhkan skuad yang disifatkan sebagai prihatin terhadap nasib golongan warga emas dan OKU.

Dalam masa sama penduduk meminta pihak Syabas agar dapat menghantar bekalan air lebih kerap berbanding sebelum ini di kawasan perumahan di situ.

Pengerusi Persatuan Penduduk flat berkenaan, Jamil Kadim berkata, sebelum ini Syabas hanya menghantar satu tangki air yang berkapasiti 60 gelen air sahaja setiap hari dan tidak mampu menampung kepadatan penduduk di situ.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga ada menghantar bekalan air, tetapi masih tidak mencukupi.

"Oleh itu kita berharap agar Syabas mencari inisiatif lain bagi menambah jumlah bekalan air," katanya.

Seorang penduduk tingkat bawah blok berkenaan, Abu Kassim Abdullah, 63 berkata, masalah gangguan bekalan air yang berlaku sejak Sabtu lalu benar-benar menyusahkan.

Bekalan air terganggu secara tidak konsisten kadang kala ada dan sebaliknya.

"Ada di antara penghuni yang terpaksa menggunakan tali dari tingkat atas untuk mengangkut air kerana tidak mampu untuk turun naik tangga," katanya.

Mod Isa Bujai, 58 pula berkata, waktu gangguan bekalan air juga berlaku tidak mengira waktu.

"Masalah ini benar-benar mengganggu aktiviti harian penduduk," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: