Sabtu, Januari 26, 2013

'Pas tidak ikut Anwar'?



Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib percaya pemimpin Pas tidak akan 'terikut-ikut' dengan pendirian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tetap membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Tegas Harun, beliau sendiri tidak akan berganjak daripada pendirian menyokong keputusan Majlis Syura Ulama yang dibuat pada 13 Januari lalu bahawa kalimah Allah hanya khusus untuk umat Islam.

Menurut beliau, terpulang kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sama ada menerima atau menentang keputusan Majlis Syura Ulama berhubung perkara itu.

"Ikut suka dialah (Anwar). Kalau dia tak setuju atau sokong keputusan Majlis Syura Ulama, itu dia punya pasal. Tapi saya tetap dengan pendirian bersama-sama Majlis Syura Ulama yang memutuskan kalimah Allah hanya untuk orang Islam.

"Saya tidak akan mengambil sebarang tanggungjawab mengenai pendiriannya itu (Anwar)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar semalam bahawa pakatan pembangkang kekal dengan pendirian membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.


Pendirian itu jelas bercanggah dengan Pas yang sebelum ini menerusi Majlis Syura Ulama pada 13 Januari lalu memutuskan kalimah Allah hanya khusus untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.

Sebelum ini, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din mengingatkan orang Islam bahawa tindakan meredakan kalimah Allah digunakan untuk agama-agama lain boleh jatuh syirik kerana perbuatan tersebut dianggap sebagai kufur.

Beliau berkata, kalimah suci tersebut tidak sesekali boleh dibenarkan untuk digunakan oleh agama lain kerana akan mencemarkan kesucian Islam dan satu undang-undang perlu diwujudkan bagi melindungi kalimah Allah.

Tegas beliau, umat Islam wajib mempertahankan kalimah Allah meskipun terpaksa membayar dengan harga yang mahal.



Ditanya adakah kenyataan Anwar itu akan memberi impak kepada pakatan pembangkang khususnya kepada Pas, Harun menjelaskan, beliau yakin Pas tidak akan berhadapan masalah.

"Tidak ada masalah, malah dia (Anwar) orang PKR, dia bukan orang Pas. Kalau dia tak sokong kalimah Allah hanya untuk orang Islam, suka hati dialah," ujarnya.

Beliau turut mengulangi kenyataannya, kerjasama Pas bersama PKR dan DAP dalam pakatan pembangkang adalah untuk kepentingan politik semata-mata, lebih-lebih lagi bagi menghadapi pilihan raya umum nanti.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu tidak akan berganjak dengan pendirian Majlis Syura Ulama melarang penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.

Sehubungan itu, tambah beliau, isu penggunaan kalimah Allah tersebut bagi Pas telah selesai sebaik Majlis Syura Ulama membuat keputusan berkenaannya pada 13 Januari lalu.

"Pas tetap berpendirian Bible versi bahasa Melayu tidak boleh sama sekali menggunakan kalimah Allah bagi menggantikan God atau Lord. God atau Lord merujuk kepada Tuhan dan bukannya Allah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: