Selasa, Januari 15, 2013

Isu Kalimah Allah : Ahli-ahli PAS pening, keliru dan kecewa?




Pening! Itulah kata-kata seorang kawan dalam PAS apabila ditanya pandangannya berhubung isu kalimah Allah yang melibatkan parti itu. Kawan penulis ini mengakui ahli-ahli PAS di peringkat umbi kecewa dengan apa yang berlaku.

Keputusan Pas untuk bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bagi membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah dikatakan meletakkan ahli-ahli PAS tersepit.

Mereka juga turut keliru apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong langkah tersebut sedangkan beberapa ulama yang cukup dihormati dalam Pas seperti Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din dan Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib menentang langkah itu. Kedua-duanya berpendapat penggunaan kalimah Allah tetap eksklusif untuk umat Islam sahaja.

Walaupun ada pihak lain dalam PAS seperti Dewan Pemuda yang diketuai oleh Nasruddin Hassan turut membuat pendirian menyokong Abdul Hadi, namun orang tidak mempedulikannya kerana mereka amat memahami pendirian politik dewan itu tidak konsisten dan kadang kala dilihat seperti lalang sahaja.

Apa yang penting bagi ahli-ahli PAS di peringkat akar umbi ialah pendirian kepimpinan kanan dan golongan ulama. Sebab itu mereka pening dan keliru yang mana satukah pendirian PAS apabila berlaku percanggahan pendapat antara kedua-dua kumpulan itu.


Namun begitu berdasarkan tinjauan rambang dan maklumat rakan-rakan dalam PAS, mereka mengakui majoriti ahli parti itu mahu PAS menarik balik persetujuan menyokong bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Sebab itulah mereka mengharapkan, Majlis Syura Ulama PAS yang dijangka bermesyuarat malam ini di Kuala Lumpur akan membuat satu ketetapan iaitu menolak keputusan pakatan pembangkang dalam soal berkenaan kerana imej PAS dikatakan semakin terjejas berikutan isu kalimah Allah ini.

Menurut sumber dalaman PAS kepada penulis, sepatutnya kepimpinan parti itu tidak boleh tergopoh-gapah menyatakan persetujuan bersama-sama PKR dan DAP kerana isu tersebut bukannya soal remeh.

''Kepimpinan parti patut membawanya untuk perbincangan di peringkat majlis syura, biarlah majlis itu tentukan, bukannya begitu mudah memberi sokongan yang akhirnya Pas dilihat tidak sefahaman," kata sumber itu ketika dihubungi di Kuala Lumpur.

Apa yang menimbulkan persoalan ialah sikap Abdul Hadi yang menafikan bahawa berlaku percanggahan pendapat antara pemimpin Pas berhubung isu berkenaan dan menganggap isu kalimah Allah ini ditimbulkan kerana menjelang pilihan raya.


Tetapi semua orang dapat menyaksikan bagaimana tegasnya, Haron Din, Harun Taib dan Nasharudin Mat Isa mempertahankan pendirian mereka, biarpun beberapa pemimpin PAS menyatakan adalah menjadi hak Presiden parti untuk menyokong apa juga pendirian bersama PKR dan DAP.

Ketegasan pemimpin-pemimpin bertaraf ulama itu membuktikan mereka konsisten dengan pendirian bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam dan sudah pasti pandangannya sehaluan dengan majoriti ahli PAS.

Mereka memahami bahawa dalam keadaan genting bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, PAS berada dalam kedudukan perlu menyokong apa sahaja tindakan PKR dan DAP serta perlu senada di peringkat dalam parti.

PAS tidak boleh dilihat tidak sehaluan dengan kedua-dua parti berkenaan dan berlaku percanggahan pendirian dalam sesuatu isu di peringkat dalaman, namun isu kalimah Allah bukan sekadar isu untuk PAS menjaga hati PKR dan DAP atau menunjukkan semua pemimpin PAS sekata.


Tetapi jauh daripada itu ialah ahli-ahli PAS mahu tahu apa rasionalnya bukan Islam diberi keistimewaan tersebut sedangkan sebelum ini selama berpuluh-puluh tahun tiada tuntutan seumpama itu dilakukan, kenapa sekarang baru ia dibuat, apakah agenda tersembunyi di sebalik semua ini?

Sebab itulah lebih 95 peratus ahli PAS kecewa dengan pendirian pucuk pimpinan parti yang dilihat begitu mudah memberi sokongan tanpa melihat kesannya dari segi jangka masa panjang.

Apatah lagi, mereka terpaksa menerima hakikat bahawa mereka tidak mempunyai apa-apa lagi perisai untuk berhujah bahawa PAS melakukan itu bukan kerana politik, ia memandangkan semua orang tahu sejauhmanakah kekuatan PAS dalam pakatan pembangkang.

Penjelasan

PAS tidak akan berani berkata tidak kepada apa-apa juga perkara yang dipersetujui oleh DAP dan PKR termasuklah juga dalam soal kalimah Allah. Keadaan inilah yang memungkinkan sesetengah ulama dalam PAS yang masih lagi berpegang teguh kepada perjuangan Islam menentang persetujuan PAS.

Apa yang lebih mengelirukan ahli-ahli PAS ialah cara penjelasan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin parti itu mengenai setakat mana bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah.

''Ada yang kata tidak boleh digunakan dalam Bible dan ada pula yang kata hanya untuk amalan biasa...semua ini memeningkan ahli-ahli PAS kerana apa yang mereka tahu orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah.

''Istilah jangan disalahgunakan pun seperti diputuskan oleh pakatan pembangkang juga telah menimbulkan kekeliruan, apa maksud sebenar?

''Soalnya kalau pun berlaku salahguna bolehkah pemimpin-pemimpin PAS berbuat sesuatu untuk mengambil tindakan?,'' tanya seorang pemimpin muda PAS di peringkat kawasan kepada penulis ketika dihubungi.

Oleh itu kata pemimpin berkenaan, PAS tidak ada pilihan selain memastikan segala persetujuan dengan pakatan pembangkang berhubung isu kalimah Allah ditarik balik.


Selain itu, ahli-ahli PAS juga mahu percanggahan pendapat antara pemimpin-pemimpin parti tersebut diselesaikan segera kerana ini bukan kali pertama ia berlaku.

''Dulu dalam isu Nasharudin Mat Isa, ada pemimpin PAS mahu beliau dikenakan tindakan kerana bertelagah dengan Karpal Singh tetapi golongan ulama mempertahankan Nasharudin.

''Isu ini pun sudah cukup memeningkan kepala ahli-ahli PAS kerana mereka tidak faham kenapa setiap kali ada pemimpin PAS menegur pemimpin PKR atau DAP biar pun dalam perkara berkaitan prinsip PAS, mereka akan dikenakan tindakan.

''Nasib baiklah golongan ulama bertindak sebagai 'pendamai' kalau tidak entah berapa ramai pemimpin PAS akan dipecat daripada parti semata-mata kerana berselisih dengan pemimpin-pemimpin kedua-dua parti berkenaan,'' kata pemimpin muda itu lagi.

Apa pun, tumpuan kini adalah bagaimana PAS mahu menangani percanggahan pendapat antara pemimpin-pemimpinnya dalam isu kalimah Allah. Namun apa yang pasti, ahli-ahli parti itu di peringkat umbi mahukan golongan ulama tegas menolak penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Ia memandangkan isu tersebut benar-benar menguji sejauhmanakah ketegasan PAS dalam mempertahankan perkara berkaitan kesucian Islam.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: