Penduduk di Taman Permai 1 Ampang, Selangor terpaksa menadah air menggunakan besen sejak menghadapi masalah air yang telah berlarutan selama seminggu.
Penduduk di Taman Permai 1, Ampang, Selangor dekat sini hidup dalam sengsara apabila bekalan air terganggu sejak seminggu lalu. Penduduk mendakwa, mereka tidak diberikan notis oleh pihak Syabas yang mengatakan terdapat gangguan bekalan air di kawasan itu.
Mereka mendakwa, bekalan air terganggu secara tidak konsisten, menyebabkan mereka terpaksa menadah air menggunakan besen. Tinjauan ke kawasan tersebut semalam mendapati, gangguan bekalan air masih berlaku.
Seorang penduduk di Flat Kelompok Camar, Taman Permai 1, Sabtu Mat, 70 berkata, masalah air itu mungkin disebabkan pihak Syabas menukar paip utama di kawasan berhampiran.
"Tetapi mengapa Syabas tidak memaklumkan kepada penduduk di kawasan ini, kerana bekalan air tiba-tiba terputus. Sekejap ada, sekejap tiada langsung.
"Disebabkan itu segala aktiviti harian seperti memasak, membasuh kain dan mandi terganggu," katanya.
Jirannya, Abdul Basir Wahab, 51 berkata, sebelum ini masalah seumpama itu tidak pernah terjadi di kawasannya.
"Ini pertama kali ada masalah air di kawasan ini. Saya berharap Syabas segera mengatasi masalah ini dan beri notis kepada penduduk supaya kami lebih bersedia untuk menghadapi situasi seperti ini," ujarnya.
Seorang penduduk di kawasan perumahan dua tingkat Taman Permai 1, Kusnul Khatimah, 45, berkata, lori tangki air Syabas hanya datang dua kali sahaja sejak bekalan air terganggu.
"Bekalan air yang dihantar oleh Syabas itu tidak cukup bagi semua penduduk di sini dan mereka (Syabas) tidak memaklumkan kepada kami waktu penghantaran tersebut," katanya.
Sutilah Muhamad, 45, berkata, dia dan keluarga terpaksa pulang ke kampung di Kajang berikutan gangguan bekalan air di kawasan rumahnya.
"Keadaan akan menjadi lebih rumit apabila musim persekolahan bermula kerana segala aktiviti seperti mandi, memasak dan membasuh kain terganggu," katanya.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan