Selasa, Januari 29, 2013

Nasihat kepada MB Khalid : Jangan salahkan Kerajaan Pusat?



Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor ditempelak kerana cuba menyalahkan Kerajaan Pusat setelah gagal mengambil alih empat syarikat konsesi perkhidmatan bekalan air di negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan Pusat tidak pernah menyekat usaha pengambilalihan tersebut sebaliknya kerajaan negeri yang perlu berunding terlebih dahulu dengan syarikat konsesi tersebut.

''Kita tidak sekat tetapi mereka tidak boleh ambil alih secara percuma, kena berunding dengan semua konsesi kerana ada ikatan perjanjian.

''Apabila ada ikatan tidak boleh secara sewenang-wenang, ada undang-undang, akta dan perjanjian, jadi hendak ambil alih kena rundinglah," ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 5,000 orang penduduk yang hadir dalam program kunjungan mesra Timbalan Perdana Menteri ke Sabak Bernam di Sekolah Kebangsaan Dr. Abdul Latiff di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Noriah Kasnon.


Muhyiddin berkata, kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu merundingkan tentang harga yang perlu dipersetujui dengan syarikat-syarikat konsesi tersebut sama ada boleh diambil alih atau tidak.

''Apabila tidak boleh, kerajaan Selangor marah Kerajaan Pusat. Ini tanggungjawab kerajaan negeri.

''Kemudian dia mengambil tindakan menganiaya kita baru-baru ini apabila bekalan air tidak ada," katanya.

Beliau berkata, sikap itu berbeza dengan Kerajaan Pusat yang bertanggungjawab apabila tetap mahu melaksanakan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) bagi memastikan rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan mempunyai bekalan air yang mencukupi.

''Tetapi kerajaan negeri tidak luluskan Langat 2 yang dibina bagi menyalurkan air dari Pahang. Saya sudah tengok terowong itu, 10 tahun lalu kita sudah kaji semua empangan dan tahap air.

''Orang Selangor bertambah, industri bertambah, rumah bertambah tetapi air tidak bertambah kerana kerajaan negeri tidak mahu lulus," katanya.

Muhyiddin menempelak ''Ini salah siapa, Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri?'' sambil disambut oleh orang ramai bahawa keadaan tersebut adalah disebabkan oleh kerajaan negeri.


Kata beliau, Kerajaan Pusat hendak membelanjakan beratus juta ringgit bagi membina loji rawatan air tersebut dan diserahkan kepada kerajaan negeri tetapi rancangan itu ditolak.

''Jangan salahkan Kerajaan Pusat, jangan apabila tidak ada air tahun depan atau loji air meletup kerana kerja siang dan malam, lama-lama dia akan pecah maka bekalan air terjejas.

''Jangan esok tidak ada air marahkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), dia ada masalah kerana tidak dapat perbelanjaan modal (Capex), benda mudah jadi rumit sebab kerajaan negeri tidak tahu apa yang harus diutamakan," katanya.

Sebaliknya, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Isu Air berkata, Kerajaan Pusat mengutama dan mendahulukan rakyat serta mahu menyelesaikan pelbagai masalah yang ditimbulkan oleh Kerajaan PKR Selangor.

''Saya selalu datang Selangor, isu air seperti ini tidak selesai. Menteri Besar kata saya tidak tahu, tetapi saya dapat laporan, saya tahu cerita sebenar," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: