Najib Tun Razak bersalaman dengan penduduk Gaza ketika melawat ke Bandar Gaza baru-baru ini.
Kunjungan Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza menunjukkan keazaman bersungguh-sungguh Malaysia untuk melahirkan penyatuan antara dua kumpulan yang berbeza dan saling berkonflik dalam menentukan arah haluan membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel.
Konflik Hamas dan Fatah dikatakan bermula pada 2005 setelah kematian pengasas Pertubuhan Pembebasan Palestin, Yasser Arafat November 2004. Ia bertambah buruk apabila Hamas memenangi pilihan raya Palestin yang pertama penghujung 2006, dan berkuasa di Gaza manakala Fatah menguasai Tebing Barat.
Keputusan pilihan raya itu tidak diiktiraf oleh Israel kerana Hamas bukan sebuah pertubuhan yang menyokong perjanjian untuk mengiktiraf kedudukan negara Yahudi sebagai sebuah negara. Bagi Israel, hanya Pertubuhan al-Fatah sahaja berhak memerintah Palestin atas alasan dalam pilihan raya tersebut, Hamas kalah dalam pemilihan jawatan presiden.
Kumpulan Hamas atau Harakat al-Muqawwamatul Islamiyyah atau Pergerakan Pertahanan Islam ditubuhkan 1987 di Gaza manakala al-Fatah atau Harakat at-Tahrir al-Wathani al-Filasthini atau Pertubuhan Pembebasan Palestin ditubuhkan 1958. Al-Fatah adalah salah satu kumpulan yang bergabung dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin atau dikenali sebagai PLO yang ditubuhkan oleh Yasser Arafat dan menjadi pemimpin tertinggi selama lebih tiga dekad (1969-2004).
Setelah kematian Yasser Arafat, Hamas mula merasakan kedudukannya semakin kuat dan dominan. Apabila al-Fatah melantik Mahmoud Abas sebagai pemimpin utama menggantikan Yasser Arafat, Ismail Haniyeh yang pernah dilantik sebagai Perdana Menteri Palestin mengambil sikap membantah dan kembali mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri dengan mengambil pendirian memisahkan Gaza sebagai sebahagian daripada negara Palestin.
Hamas memilih kaedah perjuangan dengan kekerasan manakala Pihak Berkuasa Palestin di bawah pimpinan Mahmud Abas memilih pendekatan perundingan selari dengan prinsip Islam.
Pemisahan psiko-politik kesan konflik Hamas-Fatah menyebabkan Israel begitu mudah untuk mengkhianati sebarang persetujuan damai yang pernah ditandatangani oleh kedua-dua pihak. Bahkan ketika marahkan kemenangan Hamas, Israel melakukan serangan kejam dengan mengebom, membedil dan menggunakan senjata kimia bagi menyiksa penduduk Gaza. Seluruh pintu masuk ke Gaza dikepung menyebabkan kehidupan rakyat Palestin menjadi semakin getir dan sukar.
Kepungan itu membangkitkan semangat sukarelawan seluruh dunia melaksanakan misi kemanusiaan ke Gaza, dan Israel semakin marah. Pada 2003, askar Israel menggunakan jentolak menghalang Rachel Corrie, ketika itu berusia 23 tahun dari Amerika Syarikat (AS) bersama-sama kumpulan International Solidarity Movement (ISM) daripada menyekat kerja-kerja meruntuhkan sebuah rumah penduduk di Rafah.
Ketika Corrie terbunuh, ia tidak memberikan impak besar kerana Israel berjaya menipu masyarakat dunia bahawa kematian itu disebabkan kemalangan dan bukannya digelek jentolak secara sengaja oleh pihak tentera. Hanya setahun kemudian Kolonel Lawrence Wilkerson (Ketua Staff Kementerian Luar dan ketika itu, Menteri Luar AS, Collin Powell) memberitahu ibu bapa Corrie, hasil siasatan Israel mengenai kematiannya adalah tidak benar.
Pada 2005, ibu bapa Corrie mengambil tindakan undang-udang ke atas tentera Israel dan pengeluar jentolak jenama Caterpillar bagi mendapat keadilan. Bagaimanapun, saman ke atas pengeluar jentolak yang berpengkalan di Illionis, AS digugurkan (2007) kerana ia bukanlah ada kaitan dengan dasar luar Washington.
Pengguguran ke atas saman tersebut telah membangkitkan semangat kemanusiaan yang lebih besar kepada masyarakat antarabangsa sehingga mencetuskan lebih banyak dan besar misi kemanusiaan ke Gaza. Bagaimanapun, misi kemanusiaan gagal mencapai matlamatnya akibat sekatan Israel dan kerjasama tentera Mesir yang menghalang penggunaan jalan darat terutama melintasi sempadannya, di Rafah.
Pada 2010, sukarelawan daripada pelbagai negara termasuk dari Malaysia menyusun strategi menyampaikan bantuan kemanusiaan menerusi jalan laut, bergerak dari Ankara, Turki pada minggu terakhir Mei. Misi kemanusiaan itu dikenali sebagai Flotila Pembebasan Palestin, disertai oleh tujuh buah kapal yang diketuai oleh Kapal Mavi Marmara dan sebuah pertubuhan kemanusiaan dari Turki, Insani Yardim Vakfi (IHH).
Tengah malam 30 Mei, kapal Marvi Marmara dikepung oleh komando tentera laut Israel ketika masih berada di perairan antarabangsa dan kemudiannya mengarahkan kapal itu menuju ke pelabuhan Ashdod, iaitu sebuah pelabuhan Israel. Kepungan itu tidak diendahkan oleh sukarelawan dan menjelang awal pagi 31 Mei, komando tentera laut menyerang kapal tersebut sehingga membunuh lapan sukarelawan, termasuk tujuh adalah rakyat Turki.
Akhir tahun lalu, Israel sekali lagi melakukan serangan kejam ke atas Gaza menyebabkan ratusan kanak-kanak dan wanita terbunuh sebagai reaksi balas anggota Hamas yang melancarkan roket ke arah beberapa buah kampung di kawasan sempadan. Roket dan peluru berpandu Hamas itu dikatakan hasil keluaran atau bantuan Iran, yang sedang ditekan oleh Israel dan AS atas keengganan Presiden Ahmadinejad menghentikan proses pembangunan dan pengayaan teknologi nuklear.
Kehadiran Perdana Menteri ke Gaza dua hari lalu membawa mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia yang mempelopori gerakan kesederhanaan benar-benar membuktikan keazaman untuk menamatkan konflik di Asia Barat dengan memulakan langkah membantu menyelesaikan perpecahan dan permusuhan antara Hamas dan Fatah.
Hamas dan Fatah melaksanakan beberapa rundingan untuk menamatkan konflik bersaudara sejak kedua pemimpinnya muncul dalam sebuah rancangan televisyen, Debat Doha pada Mac 2010.
Pada 27 April 2011, Fatah dan Hamas mencapai persetujuan menamatkan konflik di Kaherah. Kedua pihak bersetuju, satu bentuk kerajaan perpaduan perlu diwujudkan dan mengadakan pilihan raya di kedua-dua wilayah dalam tempoh setahun pembentukan kerajaan perpaduan. Pada 4 Mei 2011, Fatah yang diwakili oleh Mahmoud Abas dan Hamas oleh Khaled Meshal membentuk rangka kerajaan "peralihan" bagi merancang persediaan mengadakan pilihan raya perundangan dan presiden dengan membenarkan kemasukan Hamas dalam PLO serta memegang jawatan dalam Majlis Kebangsaan Palestin.Hamas akan terus menjaga keselamatan di Gaza manakala Fatah di Tebing Barat.
Dengan kepintaran helah Isreal, AS turut membantah perjanjian itu dan menjadi azam Malaysia untuk membantu merealisasikannya sebagaimana kejayaan yang dirintis menyelesaikan sengketa antara Bangsamoro dengan Manila tahun lalu.
Seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri, Malaysia mengambil berat mengenai permasalahan rakyat dan keprihatinan itu perlu diperluaskan di peringkat antarabangsa menerusi pendekatan kesederhanaan.
Pendekatan sedemikian sudah diterima baik oleh AS dan beberapa negara Barat, maka usaha yang baharu sahaja bermula di Gaza itu akan memberikan petunjuk betapa ikhlasnya penyertaan Malaysia untuk mempelopori keamanan sejagat.
Tindakan tersebut dilihat sebagai tamparan hebat kepada parti-parti pembangkang di Malaysia kerana tidak membuktikan apa yang mereka sering perkatakan kepada rakyat. Misalnya, mengenai seruan kepada perpaduan dan penyatuan kepentingan, parti-parti pembangkang tidak benar-benar melaksanakannya, bahkan dalam masa sama, ketiga-tiganya seringkali bercanggah termasuk pendirian mengenai penggunaan Kalimah Allah oleh bukan Islam.
Cara bersemuka yang dipelopori oleh Perdana Menteri dalam membantu menyelesaikan sebarang masalah menampakkan impak diplomatik bagi membina dan mengukuhkan hubungan antara dua negara. Ketika berhadapan dengan pelbagai kesukaran, Najib menjadi lebih kreatif dan mampu membentuk kaedah penyelesaian terbaik berbanding pemimpin pembangkang, ketika berhadapan dengan masalah secara tuntasnya cuba membebaskan diri dengan membuat dakwaan, permainan pihak media, keadaan tertekan dan mengugut, "perlu minta maaf, kalau enggan bakal disaman."
Transformasi Najib mula membuahkan hasil, dan kejayaan itulah memberikan keyakinan masyarakat antarabangsa bahawa memangnya Malaysia mampu melibatkan diri secara berkesan membantu menyemai pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan bukan sahaja dalam negara bahkan masyarakat antarabangsa.-UMO
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan