Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Khamis, Januari 31, 2013
Bilakah akan berakhirnya huru-hara akibat kekalutan berpolitik?
Lihatlah sepanduk di atas ini. Ayatnya bukan berbunyi KERANAMU MALAYSIA tetapi KERANA MU GUAN ENG HABIS ORANG ISLAM HURU HARA. Huru-hara membawa pelbagai makna. Sila rujuk Kamus Dewan untuk mencari maksudnya. Sejauh manakah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang dikatakan penyebab orang Islam huru-hara?
Rakyat yang melihat, mendengar dan membaca boleh membuat tafsiran. Sehingga kini Guan Eng terus menutup mulut manakala demonstrasi bantahan berterusan. Apakah kesudahannya? Kata-kata yang terdapat pada sepanduk itu dipersembahkan oleh sekumpulan 50 penduduk termasuk penyokong Pas di Pasir Hor, Kota Bharu, Kelantan pada Khamis lalu.
Mereka membantah tindakan DAP mahu kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu. Mungkin setakat itulah yang termampu diluahkan oleh kumpulan peserta demonstrasi berkenaan yang rimas dengan suasana yang berlaku.
Guan Eng ibarat melontar batu ke dalam sungai yang tenang. Lontaran itu membuatkan air berkocak dan mengejutkan buaya. Ada buaya yang boleh terima lontaran batu itu dan ada pula yang berang kerana diganggu. Ada juga buaya yang tidak peduli itu semua. Ada juga yang terpedaya umpama kisah tipu muslihat sang kancil. Buaya yang ganas tiba-tiba menjadi bodoh sehingga sanggup membiarkan badan dan kepalanya dipijak bagi memenuhi hasrat kancil untuk menyeberangi sungai. Itu hikayat sang kancil yang kecil memperdayakan buaya yang ganas.
Kembali menyelak isu kalimah Allah ini, tidak dinafikan perutusan Guan Eng sempena sambutan Krismas yang lalu mencetuskan pelbagai polemik. Dalam kalangan orang Islam, ada yang secara terbuka menyokong hasrat Guan Eng itu dan ada pula yang membantah secara terbuka atau senyap-senyap. Ada pula yang seperti berada di atas pagar. Cakap salah, tak cakap pun salah, macam dialog ketika Abang Ali (M.Zain) mahu mengusir Kassim Selamat (P.Ramlee) daripada bawah kolong (rumah sewa) di Pulau Pinang dalam filem Ibu Mertuaku.
Lebih parah apabila dalam kalangan Pas pun kecoh dengan kenyataan yang pelbagai, macam pasembor (rojak) atau ais kacang (air batu campur) dekat Padang Kota Lama, Pulau Pinang. Ada yang setuju, ada yang tidak. Ada pula yang sanggup membuat pusingan u. Begitulah hanya sekadar kalimah Allah, orang Islam diuji sejauh mana keupayaan mereka untuk berfikir dan menunjukkan kepada khalayak tahap kecerdikan mereka atau sebaliknya.
Sekadar selingan, anggota DAP juga dalam keadaan huru-hara kerana keputusan misteri dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berikutan kesilapan dalam proses pengiraan undi. Ramai yang mendesak supaya diadakan pemilihan semula. Jumlah undi yang dikira hanya sekitar 1,823 undi dan melibatkan 63 calon.
Jumlah itu lebih kecil berbanding 46,192 undi yang dikira oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi kawasan Parlimen Bagan pada PRU lalu. Di seluruh negara SPR mengira lebih 500,000 kertas undi.Jumlah calon pula, di Pulau Pinang 82 di kawasan DUN dan 27 bagi Parlimen.
Bayangkan jika kesilapan itu dilakukan oleh SPR. Bukan setakat DAP yang akan melompat malahan banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan bangun membelasah SPR, mencabar kredibiliti SPR, mencabar kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan badan itu. Mungkin ada desakan supaya ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja.
Kembali kepada topik huru-hara, sejak Guan Eng berada di Komtar (pusat pentadbiran kerajaan negeri), pelbagai peristiwa dapat disaksikan. Situasi ini juga boleh dianggap huru-hara. Di situlah, sebuah parti yang mendakwa sebagai demokratik menghalang beberapa media termasuk Utusan Malaysia daripada membuat liputan. Inilah erti kebebasan media ala DAP. Dulu ketika Dr. Lim Chong Eu dan Dr. Koh Tsu Koon menjadi ketua menteri, tidak kedengaran sebarang usaha untuk menyekat kebebasan media.
Begitu juga hari ini jangan sesiapa di Pulau Pinang atau di luar negeri itu pandai-pandai menggunakan nama Pulau Pinang (Penang) dalam apa juga penganjuran acara. Kena minta izin kerajaan negeri umpama memohon permit daripada polis atau pihak berkuasa tempatan untuk menganjurkan perhimpunan atau menampal poster. Hebatnya Penang.
Jika diselak lagi dalam tempoh empat tahun lalu, Pulau Pinang mungkin menjadi negeri yang paling banyak mengadakan demonstrasi jalanan atau perarakan bagi menyatakan bantahan terhadap kerajaan negeri khususnya Guan Eng. Suasana seumpama ini hampir tidak dapat dilihat semasa era Chong Eu dan Tsu Koon. Jika ada pun hanya perarakan sempena menyambut kemerdekaan, Maulidur Rasul, Cingay, kereta berhias, Hari Wesak dan Thaipusam.
Menarik juga semasa era Guan Eng ini, banyak hadiah pelik yang cuba memasuki Komtar untuk dihadiahkan kepada Guan Eng. Paling banyak tentulah kek. Pelbagai jenis diterima. Ada kek bersalut krim putih di luar manakala di dalamnya berwarna hitam (simbolik pentadbiran kerajaan DAP indah khabar dari rupa); kek replika najis manusia yang diperbuat daripada polisterin dan disalut krim coklat (simbolik pentadbiran yang disifatkan kotor dan hanya cantik di luar, nampak lazat tetapi tidak boleh dimakan).
Guan Eng juga dihadiahkan seluar dalam wanita dan coli bercorak harimau (simbolik seorang peniaga yang mendakwa kerajaan negeri tidak adil, tidak telus kepada rakyat kerana tidak memulangkan semula tapak niaga di Komtar). Begitu juga dengan replika bengkel, tandas, jentolak dan kunci.
Sempena tiga tahun pentadbiran kerajaan DAP pula, ada pihak yang menghadiahkan keranda kepada Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik. Komtar juga digemparkan dengan penemuan beg galas berwarna merah, biru dan hitam. Beg itu ditemui di tingkat 3 Komtar. Beg berwarna biru yang dilabel LGE mengandungi seekor biawak, beg hitam dilabel NWA ditemui seekor anak babi dan merah yang dilabel MK ditemui seekor itik hitam.
Penutup kepada tahun 2012, dua batu nisan dibawa naik ke Komtar, juga tanda protes terhadap kerajaan negeri pimpinan Guan Eng. Begitulah hadiah-hadiah istimewa yang menggambarkan huru-hara yang berlaku. Entah apa pula hadiah yang akan menyusul selepas ini.-UMO
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan