Isnin, Januari 28, 2013

Akhirnya Majlis Syura Ulama pecat Nasharudin?


Nasharudin kini ahli biasa di dalam Pas.

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang sentiasa konsisten dalam mempertahankan isu hudud, penubuhan negara Islam, kalimah Allah dan sering kali mengkritik hubungan antara parti itu dengan DAP dipecat daripada Majlis Syura Ulama pada 13 Januari lalu.

Majlis Syura Ulama dalam alasan pemecatan memberitahu, Nasharudin terpaksa disingkirkan kerana beliau kerap tidak hadir mesyuarat serta sering membuat kenyataan tidak selari dengan pendirian dan ketetapan majlis berkenaan.

Bagaimanapun menurut sumber, punca utama Nasharudin disingkirkan ialah kerana beliau dilihat sebagai ‘mesra kerajaan Pusat.’ Terbaharu beliau menyertai lawatan kemanusiaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza, Palestin pada 22 Januari lalu.

Pada Ogos tahun lalu, Nasharudin menemani Perdana Menteri bertemu para ulama Arab Saudi di Mekah sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Rentetan daripada itu Nasharudin telah dilabelkan oleh para penyokong Pas terutama kumpulan pro-Anwarinas sebagai pengkhianat. Bagaimanapun keahlian Nasharudin dalam Pas masih kekal tetapi cuma sekadar ahli biasa.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi mengesahkan perkara itu sambil memaklumkan surat pemecatan berkenaan sudah dihantar kepada Nasharudin tetapi tidak pasti sama ada Ahli Parlimen Bachok tersebut sudah menerimanya atau belum.

“Saya bukan ahli Majlis Syura Ulama tetapi Setiausahanya, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh telah mengesahkan kepada saya bahawa Nasharudin memang telah dipecat. Nasharudin dipecat daripada Majlis Syura Ulama ketika mesyuarat pada 13 Januari lalu.

“Nasharudin dipecat kerana antaranya beliau kerap tidak hadir mesyuarat Majlis Syura Ulama dan selalu membuat kenyataan tidak selari dengan pendirian serta ketetapan majlis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nasharudin selama ini dilihat sebagai duri dalam daging kepada kumpulan pro-Anwarinas yang kini menguasai Pas kerana sentiasa konsisten mempertahan soal hudud, penubuhan negara Islam, kalimah Allah serta lantang mengkritik kebiadaban pemimpin DAP.

Malah, sebelum ini beliau pernah dihadap ke lembaga disiplin Pas kerana mendakwa Karpal Singh yang menentang keras hukum hudud dan penubuhan negara Islam sebagai anti-Islam sehingga Pengerusi DAP itu mengugut mahu mendakwanya di mahkamah.

Dalam pada itu, ditanya mengapa keputusan pemecatan Nasharudin hanya dibuat hari ini dan tidak diumum terus pada 13 Januari lalu, Mustafa berkata, beliau tidak dapat mengulas tentang perkara berkenaan kerana mendakwa beliau bukan ahli majlis syura.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: