Ching Eu Boon (duduk, kanan) dalam sidang media bersama sebahagian daripada 1,000 penduduk yang mengadakan demonstrasi aman di Pandamaran, Klang, Selangor, semalam.
Hampir 1,000 penduduk Pandamaran di sini, berhimpun secara aman menuntut kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor melunaskan janji dalam manifesto pilihan raya umum lalu. Antara janji-janji itu ialah menurunkan cukai pintu premis kediaman dan komersial pada kadar 10 peratus dan 20 peratus.
Ketua Pemuda MCA Bahagian Klang, Dr. Ching Eu Boon yang mengetuai perhimpunan aman itu berkata, majoriti rakyat di kawasan tersebut tidak berpuas hati terhadap kerajaan negeri yang sehingga kini masih enggan melaksanakan penurunan cukai tersebut.
Tegasnya, kerajaan negeri menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab apabila menafikan hak rakyat mendapatkan potongan cukai tersebut. Tambah beliau, pihaknya telah mengedarkan borang tuntutan penurunan cukai pintu bagi kediaman dan premis komersial kepada setiap penduduk kawasan itu dan setakat ini telah menerima hampir 1,000 borang.
"Kita juga telah menggerakkan pasukan khas terdiri daripada ahli MCA dan para sukarelawan mendaftarkan nama-nama para penduduk yang tidak menerima penurunan cukai tersebut seperti yang dijanjikan kerajaan negeri.
"Kita jangkakan lebih 5,000 borang diterima daripada para penduduk Pandamaran dalam tempoh terdekat," katanya di sini hari ini.
Eu Boon berkata, pihaknya bercadang membawa tuntutan para penduduk itu ke mahkamah dalam masa terdekat. Beliau berkata, seluruh rakyat Selangor sepatutnya memilih parti yang tepat mentadbir Selangor dalam pilihan raya umum akan datang kerana kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang hari ini terbukti memperdayakan rakyat demi meraih undi.
"Barisan Nasional (BN) tidak sewenang-wenangnya membuat janji yang tidak boleh ditunaikan sebaliknya apabila BN membuat janji, kita pasti laksanakan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Pandan Perdana, Lim Ah Cai menyifatkan kerajaan negeri sebagai pemerintah yang tidak berperikemanusiaan kerana hanya tahu menabur janji.
"Sewaktu pilihan raya umum lalu, macam-macam mereka janji, tetapi apa yang terlaksana, satu pun tiada. Saya berharap kerajaan BN berjaya membantu kita dan kembali memerintah Selangor. Apa yang penting kita mesti tolak pembangkang," katanya.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan