Liew Yuen Keong menunjukkan gambar kejadian banjir di kawasan tapak baharu yang disediakan oleh MPSJ kepada penjaja pasar malam Seri Kembangan pada sidang akhbar di Serdang, Selangor kelmarin.
Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Ahli Parlimen Serdang dari DAP diminta supaya tidak 'menindas' penjaja pasar malam di Seri Kembangan dengan mengarahkan mereka berpindah ke tapak baharu dalam tempoh terdekat.
Pengerusi MCA Serdang, Datuk Liew Yuen Keong berkata, MPSJ dan DAP perlu memberi tempoh yang lebih panjang kepada peniaga-peniaga itu memandangkan perayaan Tahun Baharu Cina akan tiba tidak lama lagi.
"Mereka memberi notis pada Disember tahun lalu dan memaksa penjaja supaya berpindah pada 7 Januari sedangkan penjaja belum bersedia untuk berpindah.
"Saya dimaklumkan kedua-dua pihak iaitu MPSJ dan DAP tidak mengadakan sebarang sesi dialog sebelum meminta penjaja berpindah ke tapak baru," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai bantahan penjaja pasar malam itu terhadap arahan perpindahan berkenaan.
Dalam majlis tersebut, kira-kira 20 orang penjaja hadir mewakili 150 penjaja lain yang membantah tindakan MPSJ dan DAP kawasan tersebut yang memaksa mereka berpindah ke tapak baharu.
Menurut Yuen Keong, pihaknya juga telah membuat tinjauan di tapak baharu dan mendapati Pusat Perdagangan Seri Kembangan yang menjadi lokasi baharu sering dilanda banjir apabila hujan lebat.
"Saya minta MPSJ selesaikan dahulu isu banjir di kawasan tersebut dan setelah selesai barulah proses pemindahan penjaja dilakukan.
"Pada 3 Januari lalu, saya berjumpa dengan Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi untuk membincangkan perkara ini dan beliau bersetuju untuk mengkaji semula isu pemindahan ini," ujarnya.
Katanya lagi, beliau turut meminta Ahli Parlimen Serdang dari DAP agar memainkan peranan sebagai pemimpin dan jangan hanya mementingkan diri semata-mata kerana ia membabitkan lebih 100 penjaja yang telah berniaga di kawasan Seri Kembangan selama lebih 35 tahun.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan