Rabu, Januari 16, 2013

Kalimah Allah dan budaya Malaysia!



Hari ini Tuhan diperebutkan. Masing-masing pihak mahu menyebut Tuhan dengan nama Allah Taala. Ini sebuah petanda yang sungguh indah sekiranya Allah, mengikut kamus Dewan Bahasa yang membawa makna Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya, disembah secara mutlak. Tetapi jika Allah diibadahi bersama dengan tuhan yang lain, maka ia telah menyalahi makna Kamus Dewan yang menjadi tunggak Bahasa Kebangsaan.

Allah, sebuah nama khusus untuk Tuhan yang disadur dari bahasa Arab. Ibn Qayyim berkata bahawa kalimah Allah mempunyai makna asal, di mana kata asalnya adalah al Ilah. Ini sebagaimana pendapat ahli bahasa terkenal Sibawaih dan majoriti sahabatnya kecuali beberapa orang yang berpendirian sebaliknya (tanpa sebarang hujah). Lafaz Allah mencakup seluruh makna Al asma' Al Husna dan sifat-sifat-Nya yang maha tinggi.

Permulaan kepada perbincangan ini adalah apabila wujudnya tafsiran firman Allah SWT di dalam Surah az-Zumar, ayat 38 maksudnya, "Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?, nescaya mereka menjawab: Allah."

Menunjukkan orang Arab jahiliyah telah mensyirikkan Allah, mereka memang mengetahui bahawa Allah adalah Tuhan yang menciptakan dan mematikan, Tuhan yang memberi rezeki dan mentadbir alam ini. Di samping mereka mengetahui bahawa Allah adalah Tuhan yang sebenar, mereka juga memuja tuhan yang lain. Sama seperti kaum Nasrani, yang memiliki keyakinan triniti; Tuhan Bapa iaitu Allah, Anak Tuhan iaitu Jesus dan Roh Kudus.

Budaya adalah amalan yang diterima bersama. Sudah menjadi budaya orang Arab sejak zaman berzaman memanggil Tuhan sebagai Allah tanpa mengira agama. Maka orang Arab Kristian pun menamakan Tuhan Bapa sebagai Allah, sama seperti orang Arab Islam dan orang Yahudi.


Dalam prinsip Islam ada kaedah yang disebut al 'adah muhakkamah iaitu budaya yang tidak bersalahan dengan syarak boleh menjadi hukum. Merujuk Arab Kristian sebagai alasan adalah tidak tepat sebab berbeza kebudayaan. Orang Kristian Arab memanggil Isa sebagai Yasu' sementara orang Kristian di Malaysia memanggil Jesus. Hakikatnya di Malaysia hanya orang Islam selama ini menggunakan kalimah Allah dan umat Kristian menggunakan kalimah Tuhan.

Terdapat kaedah lain yang dijelaskan oleh Imam As Syatibi iaitu "Melihat kepada kesan aplikasi". Diambil berdasarkan beberapa dalil antaranya adalah hadis Nabi ini: "Jika tidak kerana kaum kau masih baru meninggalkan kepercayaan jahiliyah, nescaya aku akan bangunkan Kaabah di atas binaan Ibrahim". (Riwayat Bukhari & Muslim). Hadis ini menunjukkan Nabi membiarkan binaan Kaabah yang dibina tidak mengikut struktur yang diasaskan oleh Nabi Ibrahim selepas roboh akibat banjir kerana memikirkan implikasinya. Walhal membina kembali Kaabah mengikut struktur asal merupakan sebuah yang harus.

Kerana implikasi merobohkan Kaabah pada masa itu akan membawa 'kerosakan' yang lebih besar berbanding kesalahan struktur Kaabah tersebut. Hadis ini membawa dua pengajaran iaitu melihat kesan akhir daripada sebuah tindakan, serta terkadang peraturan yang tidak harus dilakukan akan menghasilkan impak yang membawa kebaikan.

Ada juga orang yang berdalil dengan lagu negeri yang mengandungi perkataan Allah. Ini satu hujah yang sangat ajaib. Pertamanya bilakah lagu negeri tersebut menjadi lagu Gospel yang dinyanyikan didalam gereja? Keduanya jika orang Kristian melihat papan tanda yang tertera perkataan Allah, lalu menyebutnya, apakah papan tanda itu telah menjadi bahan selebaran agama Kristian?

Kita bukan mahu menutup mulut umat Kristian daripada menyebut nama Allah atau melarang mereka membaca perkataan Allah. Tetapi kita sedang bahaskan penggunaan kalimah Allah dalam bahan dakwah Kristian seperti Bible dan makalah-makalah yang mereka terbitkan. Alasan tidak keruan seperti ini adalah tindakan apologetik. Kesimpulannya pengharaman kalimah Allah dalam Bible dan selebaran dakwah Kristian memiliki dalil agama selaras dengan perlembagaan negara malah didokong oleh sosiobudaya.

Tuhan Bapa dalam pelbagai bahasa

Budaya Islam dalam mewacanakan ilmu menggunakan Bahasa Arab maka seluruh umat Islam tanpa mengira ras dan geografi - dari Timur hingga Barat - berkongsi pengetahuan dan kebudayaan yang sama. Orang Jepun yang menduduki Gunung Fuji tetap memanggil masjid sama seperti orang Eskimo yang memakai baju bulu dan hidup di belantara salji.



Begitu juga Tuhan Yang Esa dipanggil Allah oleh seluruh umat Islam sejak Islam didakwahkan oleh Nabi Muhammad SAW. Ketika bangsa Melayu memeluk Islam, nenek moyang kita memanggil Tuhan tersebut dengan nama Allah sedangkan sebelum itu mereka memanggil Brahman. Kosa kata Brahman dihapuskan sementara kata Tuhan dikekalkan sampai hari ini.

Ini sangat berbeza dengan nama Tuhan bagi agama Kristian, yang setiap bangsa menyebutnya sesuai dengan bahasa ibunda mereka. Umat Kristian Cina menulis perkataan shĂȘn atau shang-ti, sementara orang Kristian Korea menulis cheon-ju atau haneunim untuk Tuhan. Sedangkan orang Greek memanggil ho-theos atau ho-kurios. Sebaliknya orang Islam di China, atau di Korea atau di Greek senada seirama memanggil Allah sebagai nama Tuhan.

Kita perlu tahu bahawa masyarakat Sabah dan Sarawak menerima budaya masyarakat Indonesia, malah jika kita ke Kota Kinabalu, dengan mudah boleh menjumpai Al kitab terjemahan Indonesia. Jadi dalam Al kitab tersebut memang tertulis perkataan Allah ketika merujuk kepada Tuhan Bapa. Namun hakikatnya bukanlah budaya masyarakat Kristian di sana memanggil Allah.

Contoh mudah adalah ketika umat Islam membaca Al kitab terjemahan Indonesia, terjumpa perkataan Yesus, kita tetap akan memanggil Nabi Isa. Begitu juga ketika kita membaca karya sasterawan Indonesia yang dicalonkan Hadiah Nobel, Bapak Pram: ketika beliau menulis perkataan 'kebutuhan', apakah kita juga akan menggunakan perkataan yang sama dalam perbualan kita? Pasti tidak! Kita tetap menggunakan perkataan yang diterima oleh budaya kita iaitu 'keperluan'.

Jangan jadikan modal politik

Maka, isu kalimah Allah ini lebih dilihat sebagai modal politik pembangkang. Mereka telah terdesak sehingga menjadikan agama sebagai bahan mainan. Sedangkan isu agama merupakan perkara sensitif. Dalam sejarah dunia telah tercatit peperangan disebabkan agama. Kita tidak mahu negara kita bergolak kerana sentimen yang dibangkitkan oleh DAP. Cukuplah Syria berperang disebabkan Bashar al-Assad yang menganut agama Syiah cuba menghapuskan kaum Sunni. Peliknya Mat Sabu boleh menyokong perjuangan Bashar.


Umat Islam Malaysia mengisi komposisi 60 peratus sedangkan umat Kristian berjumlah sembilan peratus. Saya hairan ketika Lim Guan Eng mendesak kerajaan sedangkan majoriti bersama kerajaan.

Bagaimana DAP mengatakan bahawa mereka adalah pejuang demokrasi sedangkan dalam isu ini majoriti menolaknya. Nampaknya DAP sudah tidak demokratik, yang tinggal hanyalah nama parti seperti pepatah Cina menyebut "menggantung kepala kambing, menjual daging anjing". Bayangkan jika mereka menguasai negara, apa yang akan berlaku kepada kaum Cina yang menganut Buddha, Teoisme, Confucius dan agama dan budaya lain. Bagaimana pula dengan nasib Islam sendiri? Ini persoalan yang sangat serius.

Kita ini adalah bangsa Melayu yang masih memiliki sultan dan raja. Telah menjadi rukun kehidupan kita untuk mentaati raja dan pantang untuk menderhaka. Oleh sebab itu kita wajar menghormati keputusan raja dalam isu kalimah Allah kerana institusi raja yang bertanggungjawab dalam masalah agama Islam. Bagaimana kita ingin dihormati seandainya kita tidak pernah menghormati orang lain? Bagaimana kita ingin menegakkan nasib Melayu kalau sultan sebagai lambang bangsa kita diabaikan? Sultan dan Melayu tidak dapat dipisahkan.

Agenda pluralisme dan Kristianisasi

Saya tidak tahu apakah Lim Guan Eng berdoa kepada Tuhan Bapa dengan memanggil Allah dan memanggil Bonda Maria dengan nama Ibu Maryam. Malah saya juga tidak tahu apakah penganut Kristian di Malaysia sama ada di Semenanjung atau di Borneo memanggil Gabriel dengan nama Jibril, Gog dan Magog dengan Yakjuj dan Makjud, Mesiah dengan perkataan Al Masih. Malah saya sendiri tidak tahu apakah umat Kristian memanggil Haliluyah dengan sebutan Alhamdulillah. Jika tetap mahu guna kalimah Allah maka guna juga kata Alhamdulillah.

Jika DAP mahu menukar perkataan Tuhan kepada Allah maka perlu tukar semua nama dan perkataan lain yang semakna, seperti yang disebutkan tadi. Implikasinya lebih daripada itu: Gereja Jesus Benar wajar di tukar kepada Gereja Isa Benar. Gereja True God wajar ditukar kepada Gereja Allah Yang Sebenar. Gereja Immanuel perlu di tukar kepada Gereja Allah Menyertai Kita. Church of God kepada Gereja Allah.


Isu kalimah Allah ini dilihat sebagai agenda pluralisme dan taqrib (pendekatan) antara agama. Umat Islam wajar meninjau gerakan Kristianisasi di Indonesia yang sangat marak. Sekjen Kementerian Agama, Bahrul Hayat menjelaskan pertumbuhan gereja di sana adalah yang tercepat di dunia, mencapai 190 peratus setiap tahun. Gerakan Kristianisasi bermula dengan menterjemah Bible ke dalam bahasa Indonesia termasuk menggunakan nama Allah.

Ini bertepatan dengan teori psikologi yang disebut sebagai Homophily iaitu 'sama wajah'. Apabila pendakwah memiliki persamaan dengan orang yang didakwah maka proses mempengaruhi lebih mudah dilakukan. Apabila Bible telah diterjemah ke dalam bahasa Melayu termasuk perkataan tuhan ditukar kepada Allah, maka darjah 'sama wajah' semakin besar. Umat Islam semakin terdedah kepada masalah murtad dan jumlah mereka akan bertambah.

Dahulu Pas menyalahkan kerajaan sebab isu murtad. Apa yang kerajaan sedang lakukan adalah untuk menangani masalah ini. Tapi hari ini Pas membuka pintu untuk orang Melayu murtad secara senyap. Nampaknya perjuangan akidah bukan lagi menjadi keutamaan mereka.

Selama ini rakyat Malaysia hidup dalam keadaan harmoni dan saling menghormati. Sebagai contoh di Sabah dan Sarawak, jika ada sekolah ganti pada hari Sabtu, guru-guru dari Gereja SDA tidak datang ke sekolah sebab hari Sabtu tidak boleh bekerja, dikhususkan untuk beribadah. Guru-guru Islam memahami dan menghormati hukum dan peraturan Gereja SDA. Apakah kita ingin memaksa penganut Gereja SDA wajib datang ke sekolah juga? Ini sungguh tidak wajar. Begitulah sebaliknya, umat Kristian wajar memikirkan sensitiviti umat Islam.

Oleh : Fathul Bari Mat Jahya

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: