Selasa, Julai 03, 2012

Selangor harus ikhlas dalam pemberian tanah!



Kerajaan Selangor diminta bersikap ikhlas dalam pemberian tanah kepada Kerajaan Persekutuan bagi membina sekolah di negeri itu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pada asasnya, Kerajaan Persekutuan menghormati bidang kuasa kerajaan negeri berhubung aspek itu tetapi perlu serius dalam menentukan lot tanah yang sesuai untuk didirikan sekolah dan bekerjasama dengan Persekutuan.

“Jangan kata Kerajaan Persekutuan tidak bantu kerana rekod menunjukkan beberapa sekolah telah didirikan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 yang lalu dan ingin saya tegaskan, kerajaan sentiasa mengimbangi keperluan semua kaum di negara ini.

“Jika kita membuat keputusan membina Sekolah Kebangsaan, ia bukan untuk sesuatu kaum sahaja tetapi semua orang boleh bersekolah di situ.


“Di Selangor, kerajaan membina beberapa sekolah seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Tanggah di Bukit Beruntung, yang kedua SJKC Tun Tan Hi Sin di Putra Height bernilai RM11 juta dan sebuah lagi di Puchong yang menelan belanja RM20 juta,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan pembangkang bahawa Kerajaan Persekutuan tidak membantu membina SJKC di Selangor.

Mengulas lanjut, Ka Siong yang juga Ketua Pemuda MCA itu berharap pembangkang yang memerintah Selangor tidak hanya pandai bercakap sahaja dengan mendakwa mereka mempunyai tanah untuk pembinaan sekolah tanpa mengkaji hak milik dan status tanah berkenaan terlebih dahulu.


“Masalahnya, mereka tidak konsisten dengan apa yang dicakapkan. Exco Kerajaan Negeri, Elizebeth Wong cakap ada sebidang tanah untuk tujuan pembinaan sekolah, kemudian Exco Pendidikan Negeri pula kata ada tujuh dan Teresa Kok pula kata ada empat.

“Malah mereka pernah menawarkan sebidang tanah yang mana adalah kawasan hijau dan tidak boleh digunakan untuk pembinaan sekolah,” katanya.

Menurut Ka Siong, dalam hal pembinaan sekolah, kerajaan negeri Selangor patut mencontohi Johor dan Negeri Sembilan yang memberikan kerjasama erat dalam hal itu kerana menyedari manfaatnya adalah untuk rakyat.

“Johor sangat komited dalam perkara ini dan kerajaan baru selesai membina SJKC Kulai Dua menerusi dana dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan SJKC Yong Peng 2 juga sudah siap 98 peratus dan boleh digunakan awal tahun depan,” katanya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: