Khamis, Julai 12, 2012

Isu Papan Iklan - Noh Omar Selar Faekah!



Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menyelar tindakan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin yang mendakwa Noh menyalahgunakan kuasa dengan memasang papan iklan haram di kawasan Tanjung Karang dan Kuala Selangor.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, semua papan tanda berkenaan dipasang oleh agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

"Semua itu adalah agensi Kerajaan Persekutuan, jadi memanglah papan iklan yang dinaikkan itu mempamerkan wajah saya sebagai menteri dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ia bukan untuk kepentingan politik tetapi bagi memaklumkan kawasan Tanjong Karang sebagai pusat pertanian utama di negeri ini," katanya.

Noh berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Cek Bantuan Modal Sekolah-sekolah Mubaligh Negeri Selangor di Jabatan Pelajaran Selangor di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Faekah yang mendakwa tujuh papan iklan besar yang memaparkan gambar Perdana Menteri dan Noh di Tanjung Karang dan Kuala Selangor dikesan dipasang tanpa kebenaran Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Faekah mengeluarkan kenyataan tersebut bagi menjawab kritikan Noh sebelum ini yang mendakwa kerajaan negeri hanya pandai menaikkan papan iklan tetapi usaha pembangunan golongan nelayan sebenarnya dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Noh mengulangi kritikannya terhadap kerajaan negeri yang hanya mampu menaikkan papan tanda Selamat Datang ke Pekan Ikan Segar di beberapa kawasan di Kuala Selangor dan Tanjung Karang sedangkan projek pembangunan bagi golongan nelayan dan produk ikan segar diusahakan melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan.

"Apa sumbangan kerajaan negeri. Segala peruntukan membina jeti dan kompleks, kos pembelian bot dan bayaran elaun nelayan semuanya dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.

Sementara itu, Noh yang juga Pengerusi Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor menyampaikan bantuan modal bernilai RM1.3 juta sumbangan Kementerian Pelajaran kepada 20 buah sekolah-sekolah mubaligh di negeri ini.

"Setiap sekolah menerima bantuan wang tunai sebanyak RM50,000 yang akan digunakan bagi tujuan penyelenggaraan.

"Ini menunjukkan dasar transformasi Kerajaan Persekutuan tidak mengamalkan diskriminasi kerana tetap membantu sekolah-sekolah bukan milik kerajaan yang memerlukan bantuan," katanya.-UMO

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: