Rabu, Julai 04, 2012

Janji MB Selangor dituntut!



Penduduk Desa Coalfields turut memakai penutup mulut untuk menunjukkan mereka sudah tidak tahan dengan bau busuk ketika mengadakan bantahan aman dan menuntut janji Menteri Besar Selangor untuk menutup sebuah ladang ternakan ayam berdekatan rumah mereka di Kuala Selangor kelmarin.

Lebih 2,000 penduduk di Desa Coalfields di sini menyuarakan rasa kesal terhadap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang gagal menunaikan janji mahu menutup dan memindahkan ladang ternakan ayam yang terletak berhampiran kawasan rumah mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Desa Coalfields Tiga, Mohd. Saad Kassim berkata, penduduk kini mendapat tahu janji itu tidak akan ditepati apabila Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) telah meluluskan permohonan pembaharuan lesen ladang terbabit yang jaraknya hanya 200 meter dari rumah penduduk.

Beliau berkata, gabungan persatuan penduduk di kawasan berkenaan telah berusaha mengadakan perjumpaan dan tindakan susulan ke atas pihak berkaitan namun menemui jalan buntu.

"Kini tiba-tiba MDKS meluluskan pembaharuan lesen ladang terbabit yang mengundang kemarahan penduduk.

"Kami hairan kenapa pihak MDKS boleh meluluskan permohonan ladang ternakan itu sedangkan kami terus berhadapan dengan masalah gangguan bau busuk sehingga menjejaskan kehidupan penduduk terutamanya kepada lebih 700 murid sekolah di sini.

"Kami musykil dengan tindakan MDKS yang begitu mudah meluluskan lesen untuk meneruskan operasi 12 reban tertutup sedangkan aduan telah beberapa kali dibuat agar operasi ladang ternakan itu dihentikan," katanya selepas bersama-sama mengadakan demonstrasi bantahan terhadap operasi ladang itu di hadapan Sekolah Kebangsaan Desa Aman di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Desa Coalfields Dua, Mohd. Fauzi Mohd. Saif berkata, gangguan bau busuk semakin teruk sejak beberapa bulan lalu sehingga menyebabkan penduduk berasa semakin tertekan.

"Masalah tersebut masih tidak selesai walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk mengadakan dialog dan perbincangan bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad, MDKS dan Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.

"Kami sudah tidak tahun lagi dengan gangguan bau busuk ini. Gangguan ini telah menjejaskan waktu tidur, makan dan majlis-majlis kenduri. Malah kami juga mengambil pendekatan untuk membuat laporan polis," katanya.

Tambahnya, terdapat juga penduduk yang terpaksa berpindah ke kawasan lain kerana tidak mahu penyakit asma anak mereka semakin teruk memandangkan persekitaran tidak sihat dan ancaman bau busuk yang kuat.

Setiausaha Jawatankuasa Penduduk Desa Coalfields Dua, Mohd. Nazri Mohd. Hussain berkata, MDKS perlu menarik balik lesen yang diluluskan pada April lalu dan merobohkan 19 reban ayam di ladang tersebut.

"Kami mahu Abdul Khalid menunaikan janji mahu merampas tanah milik pengusaha terbabit sebagai jalan penyelesaian terakhir untuk mengelakkan masalah bau busuk berterusan.

"Jika masih tiada tindakan oleh pihak berkaitan, penduduk tidak teragak-agak untuk mengemukakan masalah itu untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mungkin terdapat unsur salah guna kuasa dalam meluluskan lesen ladang ternakan itu," katanya.-UMO

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

Unknown berkata...

Mana berani nak roboh, buat Dap mengamuk.