Ahad, Julai 29, 2012

Inisiatif tangani krisis air akibat kedegilan kerajaan negeri Selangor?



Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM606 juta untuk melaksanakan projek-projek mitigasi supaya penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak mengalami krisis air pada 2014 walaupun mendapat tentangan kerajaan Selangor.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam kenyataan di sini hari ini berkata, inisiatif itu dibuat memandangkan kerajaan negeri masih berkeras mengatakan bekalan air terawat mencukupi sehingga 2019.

Katanya, setelah kerajaan Persekutuan meluluskan projek-projek tersebut, kerajaan negeri bersetuju melaksanakan lima daripada lapan projek itu yang bernilai RM301 juta.

Ekoran itu, jelasnya, terdapat percanggahan fakta yang dibuat Exco Kerajaan Selangor, Dr. Xavier Jayakumar bahawa kerajaan negeri memohon RM225 juta daripada kerajaan Pusat bagi meningkatkan penjanaan air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Selangor 1 (SSP 1) dan Sungai Selangor 3 (SSP 3).


"Persetujuan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek-projek tersebut menunjukkan mereka sememangnya mengakui krisis air akan berlaku pada 2014 jika tiada sebarang langkah diambil menanganinya.

"Ini menunjukkan pendirian mereka bahawa bekalan air terawat adalah mencukupi sehingga 2019 merupakan kenyataan yang tidak disokong oleh fakta," katanya.

Menurutnya, ketiadaan keperluan catuan air pada masa ini bukan bermakna krisis air tidak akan berlaku pada masa akan datang sekali gus menepis alasan bagi menggagalkan projek Loji Rawatan Air Langat 2.

Katanya, ini kerana pembinaan loji itu dirancang memenuhi keperluan permintaan pada 2014 berdasarkan kajian yang dibuat 12 tahun lalu.


"Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut mengunjurkan bekalan air yang dapat dikeluarkan oleh 34 loji rawatan air di Selangor hanya dapat memenuhi permintaan air sehingga hujung tahun ini.

"Sungguhpun kedudukan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya secara keseluruhannya terkawal menurut SPAN, namun terdapat beberapa kawasan di negeri-negeri itu dikenal pasti sering mengalami gangguan bekalan air disebabkan rizab simpanan air sangat rendah iaitu secara purata 2.5 peratus sahaja berbanding paras optimum 10 peratus," katanya.

Katanya, ekoran itu, SPAN diminta mengenal pasti kawasan-kawasan yang kerap menghadapi gangguan bekalan air dan menyediakan pelan kontingensi sebagai persediaan menghadapi catuan sekiranya diperlukan supaya orang ramai yang terlibat mendapat maklumat jelas dan dapat membuat persediaan.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: