Khamis, Julai 26, 2012

Jika sebelum ini beliau menuduh DS Khir Toyo, tetapi di Sekincan apa pula yang telah dilakukan oleh Ng Swee Lim?



Kalau sebelum ini Suee Lim, ADUN Sekincan inilah yang paling lantang menuduh DS Khir Toyo membeli hartanah di bawah harga pasaran, tetapi apa yang berlaku di Sekincan sekarang adalah sebaliknya!

Tindakan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menjual 24 unit Pangsapuri Damai, Sekinchan di sini kepada sebuah syarikat pemaju menimbulkan kemarahan penduduk setempat kerana menganggapnya sebagai tindakan yang hanya mahu mengaut untung dan membelakangkan kepentingan rakyat.

Malah penduduk bertambah kecewa apabila kesemua unit pangsapuri milik MDSB itu dijual pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi berkata, kesemua unit pangsapuri berkenaan dijual kepada sebuah syarikat pemaju dengan harga keseluruhan sebanyak RM1.74 juta atau kira-kira RM72,500 seunit berbanding harga pasaran RM130,000 seunit pada 2010.

Sehubungan itu beliau mempersoalkan mengapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim yang merupakan wakil rakyat dari DAP itu membenarkan penjualan tersebut sedangkan ia langsung tidak memberi manfaat kepada penduduk setempat.


"Beliau (Suee Lim) sebagai wakil rakyat sepatutnya memihak kepada rakyat dan tidak sepatutnya membenarkan kesemua unit pangsapuri itu dijual.

"Dengan penjualan kesemua unit pangsapuri berkenaan, ia juga sekali gus menimbulkan banyak persoalan dan Suee Lim perlu menjawab kesemua persoalan yang dibangkitkan," katanya kepada pemberita di hadapan pangsapuri itu di sini hari ini.

Terdahulu lebih 50 penduduk setempat daripada pelbagai kaum berhimpun secara aman bagi membantah tindakan MDSB menjual kesemua unit pangsapuri berkenaan dengan harga yang jauh lebih murah.

Mengulas mengenai pangsapuri tersebut, Budiman berkata, ia diberi kepada MDSB oleh syarikat pemaju atas persetujuan bersama pada 2003 kerana projek tersebut dibina di atas tanah milik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Bagaimanapun katanya, MDSB telah menjual kesemua unit berkenaan kepada sebuah syarikat pemaju lain melalui tender yang dibuka pada 2010.

"Apa yang menjadi persoalan sekarang mengapa hanya satu syarikat sahaja yang memasuki tender untuk membeli unit pangsapuri berkenaan. Apakah tender itu dibuat secara telus," soalnya.

Budiman berkata, kesemua unit pangsapuri berkenaan seharusnya tidak dijual kerana selain boleh memberi peluang kepada generasi muda di kawasan ini untuk memiliki rumah, ia juga boleh digunakan bagi tujuan kemudahan pelancongan.

Ini kerana, kata Budiman, ia terletak di dalam kawasan pelancongan yang menarik kehadiran ramai pelancong tempatan dan luar negara.

"Di sini adalah kawasan pelancongan pertanian dan sebab itulah kemudahan inap desa sedia ada juga tidak mencukupi," jelasnya.

Tambah Budiman, pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa seminggu dari tarikh hari ini untuk meminta pihak berkuasa itu menyiasat kemungkinan wujudnya penyelewengan serta salah guna kuasa dalam penjualan kesemua unit pangsapuri berkenaan.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: