Jumaat, Julai 06, 2012

MCA persoal transaksi Talam-Kerajaan Negeri Selangor!



MCA mempersoalkan tindakan Talam Corporation Berhad menjual tanah pegangan pajak di Bestari Jaya, RM42 juta lebih tinggi dari harga pasaran kepada Kerajaan Negeri Selangor.

Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, tanah seluas 905.2 hektar itu dijual dengan nilai RM181 juta, walaupun masih belum bebas dari bebanan dan masih digadai kepada institusi kewangan.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana Talam dapat meyakinkan Kerajaan Negeri untuk membayar RM46 juta bagi 230 hektar tanah, kawasan simpanan hutan dan ekologi yang tiada nilai komersil.

“Transaksi ini menimbulkan spekulasi sama ada Talam memiliki skil perundingan yang bagus atau kerajaan negeri tidak faham senario yang sebenar.

“Dakwaan ini juga menunjukkan bahawa kerajaan negeri tidak kompeten dan tidak mementingkan duit rakyat,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, semalam.

Menurutnya, laporan penilaian Mitra Valuers and Property Consultants Sdn Bhd kepada Talam pada 2010, mendapati tanah tersebut perlu diletakkan pada harga pasaran iaitu RM139 juta atau RM60,000 sehektar dengan syarat perlu bebas dari sebarang bebanan.

Beliau berkata, sebanyak 174 hektar tanah adalah tanah di bawah air yang memerlukan tambahan kos sehingga RM100 juta bagi kerja-kerja menimbus sebelum sebarang kerja pembinaan boleh dimulakan.

"Bagaimana kerajaan negeri sanggup membayar RM35 juta hanya untuk membeli tanah di bawah air, walaupun ia memerlukan kos tinggi untuk kerja-kerja menimbus tanah," katanya.

Selasa lalu, MCA mencabar Kerajaan Negeri Selangor untuk menjelaskan perjanjian bernilai RM1 bilion dengan Talam Corporation.

Manakala, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kelmarin menegaskan dakwaan yang dilemparkan itu tidak benar dan pihaknya akan mendakwa MCA di mahkamah.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: