Isnin, Julai 23, 2012

Dokumen Negara Islam PAS?



Sandiwara PAS dalam matlamat mewujudkan negara Islam telah bermula sejak sekian lama. Pada satu masa, PAS melaung-laungkan bahawa penubuhan negara Islam merupakan matlamat perjuangan PAS. Namun, pada masa yang lain pula, PAS menafikan hasrat tersebut.

Hakikatnya, PAS hanya menggunakan isu penubuhan negara Islam sebagai modal untuk menarik sokongan umat Islam di negara ini. Namun, apabila berhadapan dengan masyarakat bukan Islam, hasrat penubuhan Negara Islam bukan hanya disembunyikan malah dinafikan untuk memikat hati golongan tersebut.

Sebagai contoh, demi untuk mendapatkan kerjasama parti-parti pembangkang lain khususnya DAP dalam pilihan raya umum yang lalu, PAS tidak menggunakan modal penubuhan negara Islam secara terbuka sehinggakan manifesto bersama Barisan Alternatif 1999 tidak langsung menyebut perkara berkaitan negara Islam.

Dolak-Dalik Pemimpin PAS

Sejak sekian lama PAS tidak pernah konsisten dalam isu penubuhan negara Islam yang menjadi mainan politik parti itu selama ini. Pendirian PAS berhubung isu ini terpaksa disesuaikan dengan keadaan, masa dan tempat.

Menjelang pilihan raya umum 1999, sandiwara PAS begitu terserlah dengan kepelbagaian pendirian yang dikemukakan oleh para pemimpin tertinggi PAS sendiri. Kecelaruan ini lahir daripada tentangan terbuka rakan sekutunya dalam pilihan raya itu, DAP.

Antara kenyataan-kenyataan yang pernah dibuat dalam tempoh tersebut sahaja adalah seperti berikut:

a. "Ya, memang matlamat kami mewujudkan negara Islam", bekas Presiden PAS, Dato' Fadzil Noor (Harakah, 16 April 1999).

b. "PAS sedia menggugurkan slogan mewujudkan negara Islam sebagai bukti tolak ansurnya dengan mana-mana parti politik yang ingin bekerjasama dengannya", Dato' Nik Aziz Nik Mat (Berita Harian, 25 Jun 1999).

c. "Kita bersyukur dengan pendirian DAP sekarang kerana mereka sudah berubah sikap dan sanggup bekerjasama dengan PAS asalkan tidak mendirikan negara Islam", Dato' Nik Aziz Nik Mat (Berita Harian 12 Mei 1999).

d. "Negara Islam mesti menguatkuasakan hukum Islam tapi ia belum dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan pusat dan PAS akan terus memperjuangkan", YAB. Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Berita Minggu, 12 Ogos 2001).

e. "BN terlambat dan tiada matlamat dalam menjadikan Malaysia negara Islam kerana dasar dan undang-undang tubuhnya tidak mempunyai tujuan dan matlamat ke arah itu", Dato' Seri Abdul Hadi Awang (Berita Harian, 28 Jun 2001).

f. "PAS tetap akan menubuhkan negara Islam sekalipun ditentang oleh DAP jika pakatan pembangkang berpeluang memenangi pilihan raya umum akan datang", Dato' Nik Aziz Nik Mat (Utusan Malaysia, 30 Julai 2001).

g. Apabila ditanya adakah hasrat menubuhkan negara Islam terkandung dalam manifesto BA 1999, BEKAS Presiden PAS, Dato' Fadzil Noor berkata, "Tidak ada, memang tidak ada. Dalam manifesto kita menghormati pendirian parti masing-masing". (Berita Minggu, 5 Ogos 2001).

Kenyataan-kenyataan di atas jelas membuktikan lakonan Pas selama ini. Para pemimpinnya berdolak-dalik dalam isu penubuhan negara Islam sehinggalah Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad (Tun) mencabar Pas untuk mengemukakan secara bertulis perincian konsep negara Islam yang mereka perjuangkan. Cabaran ini dikemukakan oleh Dr. Mahathir pada Perhimpunan Agung UMNO, 21 Jun 2001.

PAS jelas dilihat terperangkap dengan cabaran itu kerana khuatir sandiwara mereka selama ini akan terbongkar. Kerisauan ini tergambar dengan ulasan-ulasan para pemimpin PAS terhadap cabaran tersebut, antaranya:

a. "Kalau UMNO ikhlas untuk mengetahui konsep ini, ia boleh dapatkan maklumat-maklumat ini dari institusi yang mereka bentuk seperti IKIM. PAS akan kemukakan kepada rakyat dan bukan kepada Dr Mahathir tentang konsep negara Islam tidak lama lagi", bekas Presiden PAS, Dato' Fadzil Noor (Harakah, 1-15 Ogos 2001).

b. "Tafsiran negara Islam yang dikehendaki oleh PAS sebenarnya sudah terkandung dalam manifesto Barisan Alternatif (BA) yang dikemukakan pada pilihan raya umum yang lalu. Tidak perlu lagi huraian secara bertulis dalam pelbagai bahasa mengenai konsep negara Islam yang dikehendaki Pas seperti yang dicabar oleh Perdana Menteri", Dato' Nik Aziz Nik Mat (Harakah, 1-15 Ogos 2001)

Selain cabaran Dr Mahathir, PAS juga merasa tamparan yang begitu kuat apabila unit dalam parti itu sendiri iaitu Dewan Pemuda melalui salah seorang wakilnya mengkritik kepimpinan parti kerana gagal menyediakan pelan induk berhubung konsep negara Islam. Kritikan itu dilemparkan ketika berucap di Muktamar Tahunan PAS 2003.

Penerbitan Dokumen Negara Islam PAS

PAS akhirnya menerbitkan Dokumen Negara Islam PAS yang dilancarkan oleh Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS pada 12 November 2003. Dokumen ini memperincikan konsep negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Tidak berapa lama sebelum pelancaran itu, dalam program BBC's HARDtalk yang dihoskan oleh Tim Sebastian, Dato' Mustafa Ali (Naib Presiden Pas) , bersusah-payah menafikan bahawa perjuangan PAS mempunyai kaitan dengan matlamat penubuhan negara Islam.

Beliau cuba meyakinkan pengacara itu bahawa isu negara Islam adalah ciptaan media untuk melemahkan PAS. Menurut Mustafa, Perlembagaan PAS sendiri tidak sama sekali menyebut tentang konsep negara Islam.

Peristiwa ini membawa maksud sama ada Datuk Mustafa Ali cuba untuk menipu orang ramai atau beliau tidak yakin dan tidak berupaya untuk mempertahankan perjuangan itu dalam satu wawancara terbuka yang boleh disaksikan oleh semua pihak sama ada orang Melayu, rakyat bukan beragama Islam di negara ini dan masyarakat dunia secara keseluruhannya, ataupun mungkin keadaan ini menzahirkan realiti bahawa pemimpin bukan 'ulama' di dalam PAS tidak mempunyai suara dan pengaruh dalam penentuan polisi dan dasar parti itu sehinggakan perkara penting seperti agenda perjuangan sendiri mereka tidak ketahui.

Kepincangan Dokumen Negara Islam PAS

Sebelum memperincikan beberapa contoh kepincangan Dokumen Negara Islam PAS, perlu ditegaskan bahawa persoalan berkaitan konsep negara Islam ini adalah perbincangan yang dikategorikan menyentuh perkara-perkara ijtihad (Amrun Ijtihadiah).

Ia bukannya perkara atau persoalan yang mengandungi ketetapan atau penjelasan terperinci dalam nas-nas al-Quran mahupun hadis, contohnya isu berkaitan bilangan rakaat sembahyang, persoalan zakat, ketetapan berpuasa, cara mengerjakan ibadat haji dan persoalan-persoalan lain yang mempunyai rujukan nas-nas yang bersifat terperinci, jelas dan muktamad (Qat'iah).

Empat kesimpulan utama yang dapat digariskan tentang buku ini seperti berikut:

a. Dokumen Ini Tidak Perlu

Dokumen ini tidak sepatutnya diterbitkan oleh PAS kerana masyarakat khususnya umat Islam di negara ini tidak memerlukan satu definisi atau konsep negara Islam yang baru. Pelbagai konsep telah dikemukakan oleh ulama muktabar sebelum ini.

Telah diputuskan melalui ijma' para ulama bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dan fatwa ini telah pun diwartakan pada tahun 1986. Sebarang konsep alternatif tidak lagi diperlukan.

b. Dokumen Ini Mengelirukan

Dokumen ini boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat sekiranya dibaca. Antaranya ialah ayat-ayat al-Quran yang diketengahkan diambil melalui Kitab Tafsir tanpa sebarang penjelasan. Ketiadaan penjelasan akan menyebabkan orang ramai membuat kesimpulan masing-masing.

Intipati dokumen ini juga mengelirukan kerana pendekatan berhati-hati yang digunakan oleh PAS dalam menerbitkan dokumen ini. Banyak perkara yang disebutkan tidak jelas dan muktamad.

Sekadar menyebut satu contoh, PAS menyatakan akan terima Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada dengan sedikit pengubahsuaian. Namun, tidak dijelaskan perkara atau peruntukan yang mana satukah yang akan diubahsuai.

Dalam dokumen ini PAS juga menyatakan bahawa Syariat Islam menjadi pegangan utama pemerintah dalam menjalankan segala aktiviti pembangunan negara.

Perkataan Syariat Islam sekiranya digunakan oleh Pas boleh mengelirukan. Dalam pentadbiran kerajaan yang sedia ada, amat jelas bahawa syariat kita ialah Ahlul Sunnah wal Jamaah.

Tetapi kalau Pas bila disebut syariat besar kemungkinan ia akan pergi kepada Syiah. Contohnya, apabila Pas menyebut tentang negara perlu dipimpin oleh ketua negara yang bertaqwa.

Pendirian Pas ini sama dengan Syiah dengan konsep Kepimpinan Ulama (Wilayahtul Faqih). Masalah yang timbul ialah Pas sendiri yang menentukan siapa dia ulama dan siapa tidak.

Sudah pasti hanya pemimpin Pas sahaja yang bertaraf ulama dan seterusnya boleh menjadi ketua negara kerana takrifan dan penilaian ulama itu menjadi hak mereka sahaja.

Ia juga mengelirukan apabila Pas menggariskan negara Islam akan dipimpin oleh seorang ketua negara yang bertaqwa dan yang terbaik di kalangan ummah.

Beberapa persoalan boleh ditimbulkan, pertama, perkara ini hakikatnya bertentangan dengan apa yang pernah diikrarkan oleh Saidina Abu Bakar ketika menjadi khalifah. "sekarang aku telah memegang pekerjaan kamu ini, tetapi bukanlah aku orang yang lebih baik daripada kamu. Jika aku berlaku adil dalam urusanku sokonglah aku, tetapi jika aku berlaku salah betulkan kembali".

Adakah Pas menganggap Saidina Abu Bakar sebagai tidak Islam kerana kenyataan beliau berbeza dengan Tasawwur negara Islam Pas.

Sekalipun kita menerima tasawwur Pas ini, dalam realiti hari ini siapakah yang akan menentukan pemimpin yang layak dan terbaik di kalangan ummah? Para pengundi?

Dewan ulamak Pas? Ahli Dewan Rakyat? Perwakilan Muktamar Pas? Dan adakah saudara Mahfuz, Mat Sabu, Nik Aziz yang menghalalkan carut boleh disifatkan sebagai pemimpin yang terbaik di kalangan ummah.

c. Dokumen Ini Menyesatkan

Dokumen ini menyesatkan apabila disebut di dalam ceramah-ceramah anjuran Pas dan kenyataan-kenyataan akhbar para pemimpinnya yang menyamakan dokumen ini dengan wahyu.

Ditambah pula apabila pemimpin Pas menyebut bahawa sesiapa yang menentang atau tidak mahu menerima dokumen ini bermakna mereka menentang Islam. (Sumber: Harakah 16-31/01/2004, muka surat 13, 30 dan 31 )

Inilah propaganda songsang yang sering diguna pakai oleh Pas. Kalau dahulu mereka menyamakan parti Pas itu dengan agama Islam, kini apa yang mereka canang-canangkan jauh lebih menyesatkan iaitu menyamakan dokumen ciptaan manusia dengan wahyu tuhan.

Tindakan Dato' Nik Aziz Nik Mat menyamakan orang Melayu yang tidak menerima dokumen ini dengan bangsa Yahudi juga merupakan satu tindakan yang boleh membawa kesesatan.
Keadaan ini menjadi lebih serius apabila diambil kira mentaliti dan ketaksuban sebahagian ahli-ahli Pas kepada pemimpin mereka sehingga menganggap apa yang disampaikan oleh pemimpin mereka adalah benar belaka.

Kenyataan Nik Aziz ini boleh menyesatkan pengikut Pas sendiri.

d. Dokumen Ini Membahayakan

Dokumen ini membahayakan apabila ia mensyaratkan negara menjalankan hukum Hudud sahaja boleh dikategorikan sebagai negara Islam. Ini adalah sama dengan tindakan Pas memperlekeh-lekehkan kerajaan sedia ada sebagai tidak Islam.

Keadaan seperti inilah yang telah menyebabkan lahirnya kumpulan-kumpulan pengganas di kalangan umat Islam.

Kumpulan seumpamanya telah wujud di Malaysia seperti gerakan Ibrahim Libya dan pengikutnya, Kumpulan Al-Maunah, KMM dan lain-lain. Disebabkan propaganda songsang mereka yang berkenaan bertindak ganas, berjuang atas nama menegakkan negara Islam.

Kini, propaganda Pas ini telahpun tercatat dengan jelas di dalam dokumen ini yang pasti akan mengundang bahaya yang lebih besar.

Kesimpulan

Selain daripada beberapa kepincangan dan kelemahan yang dikenal pasti dalam dokumen terbitan Pas ini, sebahagian besar perkara-perkara yang dinyatakan adalah cedokan dan peniruan daripada pendekatan dan perjuangan yang selama ini dilaksanakan oleh Kerajaan BN/UMNO.

Apa yang dilakukan oleh Pas hanyalah menyusun semula apa yang sedia ada dalam sistem pada hari ini, menyadurkannya dengan perkataan-perkataan berbahasa Arab dan kemudian menamakannya sistem Islam.

Pas hanya melakukan perubahan rupa bentuk tanpa menyentuh isi kandungannya. Perubahan kosmetik ini hakikatnya satu percubaan Pas untuk menipu dan mengelirukan rakyat khususnya umat Islam buat kesekian kalinya.

Hakikatnya, apa yang dilakukan oleh Pas adalah suatu pengiktirafan terhadap inisiatif dan perjuangan Kerajaan BN/UMNO selama ini dalam mengangkat maruah dan martabat Islam dan keseluruhan umatnya.

Realitinya, Pas hanya mendokumenkan negara Islam yang diperjuang dan ditegakkan oleh Kerajaan BN/UMNO. Sebenarnya Pas tidak mengiktiraf dan mengakui Malaysia sebagai negara Islam hanya kerana UMNO dan BN yang memerintah.

Bagi Pas, fahaman atau ajaran yang disemai sejak dari sekolah pondok lagi ialah hanya pemimpin dan pengikut Pas sahaja merupakan ahli jemaah Islam (hizbullah). Berlandaskan konsep ini, mereka percaya orang yang tidak menyertai parti Pas adalah kafir dan layak ditentang.

Oleh itu, doktrin yang menjurus kepada keganasan ini disembunyikan supaya tidak semua ahli Pas mengetahui dan dikaburi dengan gimik politik seperti UMNO tidak menetapkan penubuhan negara Islam dalam perlembagaan parti dan akhir-akhir ini isu hudud.

Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: