Sabtu, Julai 14, 2012

Rakyat tidak sedar krisis air bermula - Noriah?



Petanda awal krisis air langsung tidak disedari oleh rakyat negeri ini disebabkan sebahagian besar daripada mereka masih menikmati bekalan itu tanpa gangguan.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Noriah Kasnon berkata, rakyat tidak menyedari petanda-petanda awal tersebut kerana bekalan air di Selangor masih belum terjejas secara langsung.

"Ini kerana kerajaan Persekutuan telah mengambil langkah menerusi pelan mitigasi untuk mengatasi masalah ini lebih awal dan menambah kapasiti air di Lembah Klang terutama untuk Selangor sehingga 2016.

"Projek Mitigasi 1 dan 2 melibatkan kos RM600 juta. Bagaimanapun, kos ini dapat dijimatkan dan digunakan untuk Projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 jika arahan pembangunan dikeluarkan oleh kerajaan Negeri Selangor dengan segera," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sesi Penerangan Mengenai Isu-Isu Bekalan Air di Selangor di sini hari ini.


Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Datuk Lee Miang Koi berkata, petanda awal krisis air yang diramal berlaku pada 2014 sebenarnya telah melanda Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berdasarkan situasi terkini permintaan yang melebihi kapasiti bekalan sedia ada.

"Terdapat empat ciri situasi iaitu yang pertama rizab bekalan air kurang daripada tiga peratus secara keseluruhan di tiga kawasan terlibat berbanding dengan permintaan purata.

"Apabila berlaku permintaan puncak pada bila-bila masa yang boleh mencecah tujuh peratus, kapasiti bekalan air tidak dapat menampung permintaan," katanya.

Miang Koi berkata, berdasarkan kepada keadaan terkini iaitu bagi tempoh Mei hingga awal bulan ini, rizab bekalan air secara keseluruhan adalah antara 1.15 peratus hingga kira-kira 2.04 peratus.

Projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 merupakan projek pemindahan air dari Pahang ke Selangor melalui terowong sejauh 44.5 kilometer yang sudah 70 peratus siap dikorek.

Dijangka, setelah pembinaan loji rawatan tersebut siap, air yang dirawat di loji tersebut mampu menampung bekalan air untuk kegunaan penduduk dan industri di seluruh kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: