Rabu, Julai 11, 2012

DAP Arah MB Khalid Minta Maaf...!!! Didakwa 'Pilih Bulu' Dalam Isu Surat Sokongan?



Tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa mengamalkan polisi pilih bulu dalam isu yang melibatkan surat sokongan Setiausaha Politiknya, Faekah Husin baru-baru ini menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati beberapa ahli DAP.

Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan DAP Parlimen Klang, Teh Teong Guan berkata, mengapa kes yang sama sebelum ini diambil tindakan tetapi kes membabitkan Faekah hanya didiamkan sahaja.

Beliau merujuk kes bekas Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Tee Boon Hock yang dipecat secara rasmi pada 18 November 2009 kerana isu surat sokongan terhadap syarikat anaknya yang dikeluarkan pada 12 Ogos 2008.

"Boon Hock mengeluarkan surat sokongan untuk syarikat anaknya bagi mendapatkan kontrak daripada MPK tetapi dia dipecat atas alasan melanggar kod etika undang-undang.

"Tetapi mengapa dalam isu Faekah yang lebih kurang sama dengan Boon Hock, beliau tidak diambil sebarang tindakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Faekah mengaku menghantar surat sokongan agar sebuah firma guaman yang mempunyai hubungan keluarga dengannya 'dipertimbangkan' menjadi panel peguam di Permodalan Negeri Selangor Bhd. (PNSB), yang merupakan sebuah anak syarikat kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Teong Guan bersama 18 ahli DAP Klang menuntut Abdul Khalid bertindak adil dan mengambil tindakan sama terhadap Faekah seperti yang dikenakan terhadap bekas anggota parti mereka.

Kata beliau, pihaknya telah menghantar surat kepada pejabat Menteri Besar pada Jumaat lalu bagi mendesak Abdul Khalid memberikan penjelasan terperinci mengenai kedua-dua isu tersebut.

Sementara itu, Boon Hock berkata, beliau dipecat kerana gagal mengisytiharkan anaknya adalah salah seorang pengarah di dalam syarikat tersebut dalam surat berkenaan.

"Faekah juga tidak mengisytiharkan nama anak saudaranya di dalam surat sokongan untuk sebuah firma yang berkaitan dengan anak saudaranya itu.

"Jadi mengapa pilih bulu? Jika Faekah masih kekal dan saya dipecat, mana keadilannya," katanya.

Sehubungan itu, Boon Hock mendesak Abdul Khalid membuat kenyataan terbuka berhubung kesilapannya tersebut bagi mengembalikan kredibiliti dan reputasi beliau yang tercemar.

Pada Ogos 2010, Boon Hock dipecat sebagai Ahli MPK dan ahli DAP selepas didapati mengeluarkan surat sokongan menggunakan kepala surat pejabat Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu bagi mendapatkan kontrak daripada MPK untuk syarikat anaknya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: