Jumaat, Julai 27, 2012

Malangnya rakyat Selangor mendapat seorang Menteri Besar yang degil dan bebal macam Khalid Ibrahim?



Isu air jangan dipolitikkan jika Kerajaan Negeri Selangor menganggap pihak Barisan Nasional (BN) cuba mempolitikkan isu Talam Corporation Berhad (Talam).

Air adalah keperluan asas utama untuk manusia terus menyambung hidup. Jika sehari kita tidak ada bekalan air di tengah bandar sanggupkah kita membeli berbotol-botol air mineral untuk dibuat minum, memasak dan mandi.

Apa akan jadi jika air dicatu setiap malam, bukankah ini akan mendatangkan masalah besar kepada keluarga yang melangsungkan kenduri kahwin mahupun majlis keramaian.

Oleh itu, janganlah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus berdolak-dalik dalam dua isu tersebut takut nanti tepuk air dalam talam terpercik ke muka sendiri.


Bukanlah rahsia lagi, Kerajaan Negeri Selangor mempunyai saham sebanyak 30 peratus dalam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas). Begitu juga dengan isu pembelian hutang Talam Corporation (Talam) sebanyak RM392 juta yang diketahui umum mendapat tentangan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri semasa cadangan tersebut dizahirkan oleh Abdul Khalid pada tahun 2009.

Semua perkara ini jika dikaitkan, akan menjelaskan kepada rakyat betapa Kerajaan Negeri Selangor cuba menekan mana-mana pihak dengan secara halus dan penuh dengan helah politik.

Rakyat Selangor dan Malaysia tahu, betapa Abdul Khalid begitu berpengalaman dalam bidang ekonomi kerana beliau pernah menjadi orang penting dalam Kumpulan Guthrie Bhd. (Guthrie).


Namun itu adalah sudut ekonomi yang melibatkan ilmu perdagangan dan perakaunan tahap tinggi. Dalam politik beliau perlu sedar bahawa jika perkara berkaitan ekonomi dipolitikkan ia bukan sahaja merosakkan sebuah negeri malahan sebuah negara. Jika perancangan jangka panjang dirosakkan maka semua pihak terpaksa menanggung akibatnya.

Tidakkah beliau terfikir sejenak bahawa masalah air di Lembah Klang telah dibincangkan di peringkat Kerajaan Persekutuan sejak tahun 1970-an. Kemajuan ekonomi di tiga kawasan iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak awal tahun 1980-an ini bukan sahaja semakin rancak, malah keperluan insaniah juga perlu dititikberatkan. Bekalan air perlu cukup tanpa kompromi kerana tanpa air segala aktiviti sosial dan ekonomi akan terbantut.

Hari ini isu Talam memasuki fasa baru apabila pembelian hutang tersebut dilakukan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor yang mana ia dikatakan melibatkan wang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Perkara ini amat mengejutkan kerana PKNS selama ini dianggap sebagai sebuah entiti yang diwujudkan untuk membela rakyat Selangor dalam soal penyediaan rumah kos rendah dan sederhana.


Apabila PKNS membeli hutang kumpulan Talam ini jelas menidakkan hak rakyat Selangor untuk mendapat pembelaan kerajaan yang dikatakan Kerajaan Berkebajikan.

Bulan lepas sekumpulan rakyat Selangor keturunan India berdemonstrasi di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor menuntut janji pakatan pembangkang semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 untuk mendirikan rumah kos rendah untuk mereka. Namun sehingga kini sebatang paku pun masih tidak kelihatan di tapak yang dijanjikan.

Jika janji tersebut tidak dipenuhi tidak perlu kerajaan negeri sibuk hendak mengambil alih Syabas yang sedang elok ditadbir oleh Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail. Selesai dulu kemelut dalam isu Talam yang jelas membuatkan kerajaan negeri dan kroninya kepanasan.

Syabas yang sedang kekurangan air untuk dibekalkan perlu dibantu dengan Arahan Pembangunan (DO) untuk Projek Loji Rawatan Air Langat 2 segera dikeluarkan.

Jangan terus bermain politik kotor takut tiada air yang cukup untuk ia dicuci. Rungkai dahulu kemelut dalam Talam sebelum menjadikan Syabas mangsa seterusnya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: