Ahad, Julai 01, 2012

MB Khalid Tidak Peduli Masalah Air Semakin Serius Di Selangor?



Masalah bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kelihatan semakin menghampiri tahap sangat membimbangkan apabila 134 kawasan direkod di empat wilayah mengalami gangguan tekanan air rendah pada minggu ini berbanding hanya 47 kawasan terlibat sejak 5 hingga 20 Jun lalu.

Ini kerana rezab bekalan air telah berkurangan dengan drastik akibat kesemua loji terpaksa memaksimumkan tahap pengeluaran air terawat sehingga 4,371 juta liter sehari (JLH), namun masih tidak dapat menampung permintaan harian.

Kawasan paling banyak terjejas ialah di Hulu Langat iaitu sebanyak 44 kawasan, namun dipercayai jumlah pengguna paling ramai mengalami masalah bekalan air ialah di Kuala Lumpur (42 kawasan) yang padat penduduk.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Abdul Halem Mat Som berkata, pada Rabu lalu, hanya 6.9 JLH baki rezab bekalan air dicatat yang bersamaan 0.16 peratus daripada 4,371 JLH.

"Pada hari yang sama juga, kami mendapat 340 aduan di 20 kawasan yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Semalam, Syabas memberitahu bahawa pihaknya terpaksa mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Hijau di wilayah Kuala Lumpur dan Hulu Langat ekoran gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

Malah, Utusan Malaysia turut melaporkan rungutan penduduk di kawasan terlibat yang menghadapi pelbagai masalah rentetan gangguan serius tersebut.

Menurut Abdul Halem, pihaknya juga terpaksa menggerakkan 25 buah lori tangki pada hari itu jumlah tertinggi yang dicatatkan sejak 5 Jun lalu untuk menghantar air ke kawasan yang terputus bekalan air pili.

"Permintaan air terus meningkat terutamanya sepanjang cuaca panas dan kering yang melanda ketika ini, tetapi pada masa yang sama kapasiti di Loji Rawatan Air (LRA) tidak dipertingkatkan," katanya.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Syabas, terdapat 42 kawasan di wilayah Klang dan Shah Alam mengalami gangguan, manakala di Petaling sebanyak enam kawasan.

Antara kawasan terkini yang terlibat adalah Bandar Parkland, Taman Sri Andalas, Taman Sentosa, Taman Mewah Jaya dan Taman Menara Maju di Klang dan Shah Alam.

Sementara itu, di Hulu Langat pula melibatkan kawasan di Balakong, Taman Bukit Belimbing, Cheras Perdana, Juara Jaya, Bandar Puncak Utama dan Beranang.

Tambah Halem, berikutan itu pengguna dinasihatkan menggunakan air secara berhemah serta mengelak daripada pembaziran dan mengurangkan penggunaan air bagi tujuan yang kurang penting.

Sebarang aduan atau maklumat boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas iaitu Puspel di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau melalui laman sosial Facebook (PUSPEL Syabas) atau menerusi Twitter @puspel.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: