Ahad, Julai 15, 2012

Amaran...!!! Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dilanda krisis air?



Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai dilanda krisis bekalan air ketika kerajaan Persekutuan dan Selangor masih belum mencapai kata putus menyelesaikannya.

Krisis yang pada peringkat awal itu mulai dikesan di kawasan Seri Kembangan terutama di Taman Sungai Besi Indah yang telah berlarutan hampir setahun dan semakin kritikal sejak sebulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Datuk Ruslan Hassan yang melawat kawasan itu bagi mendengar aduan dan menyampaikan bekalan air bersih kepada penduduk terbabit berkata, sebenarnya krisis bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah bermula.

“Sebelum ini pihak Syabas telah berulang kali memaklumkan bahawa gangguan bekalan air yang berlaku di kebanyakan kawasan terutamanya di Lembah Klang adalah disebabkan kapasiti pengeluaran air terawat daripada loji-loji air tidak dapat menampung permintaan lagi berikutan peningkatan mendadak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kesannya, kata beliau, beberapa kolam utama menghadapi penurunan paras yang ketara kerana pada masa ini rezab bekalan air bersih sedia ada ialah kurang daripada 3 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan (dua dari kiri) menyampaikan air untuk minuman kepada penduduk Taman Sungai Besi Indah yang sering mengalami gangguan bekalan air.

“Keadaan ini telah menyebabkan tekanan air rendah dan sebahagian kawasan tidak mendapat bekalan air terutama di sekitar kawasan `water stress’ iaitu wilayah Petaling, Klang, Kuala Lumpur dan Hulu Langat yang melibatkan 209,678 akaun pengguna atau lebih sejuta penduduk," jelas beliau.

Ruslan berkata, sejak sebulan lalu loji rawatan air telah beroperasi pada tahap maksimum atau melepasi kapasiti reka bentuk dan berhadapan dengan tekanan untuk memenuhi permintaan.

“Projek berkaitan dengan krisis kekurangan bekalan air terawat sedang dijalankan dan telah dimaklumkan kepada kerajaan negeri Selangor, Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara agar tindakan segera diambil supaya krisis bekalan air pada tahun 1998 tidak berulang.

“Sekiranya peningkatan permintaan air ini berterusan, Syabas tidak menolak kemungkinan jumlah kawasan terlibat dengan gangguan bekalan air ini akan menjadi lebih luas dan melibatkan lebih ramai pengguna," katanya. - UMO

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: