Khamis, Julai 05, 2012

Kerajaan Negeri Selangor Lepas Tangan?



Kerajaan Selangor dilihat seperti mahu melepaskan tanggungjawabnya apabila menyerahkan kepada pemaju sebuah projek pangsapuri 16 tingkat di Taman Nirwana di sini untuk mencari penyelesaian dengan penduduk.

Projek itu mendapat bantahan penduduk sejak ia diluluskan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 2009 kerana tidak mengambil kira pandangan dan aduan yang dibuat oleh mereka.

Kerajaan negeri melalui Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggannya, Iskandar Abdul Samad berkata, kini terpulang kepada pemaju untuk membuat sebarang keputusan berhubung bantahan penduduk itu.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak boleh membuat sebarang perubahan kerana bimbang akan dikenakan tindakan undang-undang oleh pemaju, Tetuan Sri Seltra Sdn. Bhd. yang diberi kebenaran menjalankan projek di atas Lot PT 30447 di Taman Nirwana.

"Teruskan perbincangan antara mereka, saya tidak pasti dan tidak mahu mencadangkan apakah situasi menang-menang yang perlu dicapai," katanya ketika ditemui selepas sesi pendengaran awam bersama kira-kira 300 penduduk sekitar di sini baru-baru ini.

Ulasan Iskandar itu menunjukkan seolah-olah kerajaan negeri tidak mengetahui dan memahami perkara terbaik yang perlu disediakan kepada penduduk demi kesejahteraan dan keamanan mereka.

Terdahulu, dalam sesi penerangan awam itu, Iskandar yang hadir bersama Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Abd. Hamid Hussain dan wakil pemaju menjadi sasaran rasa tidak puas hati penduduk.


Majlis yang berlangsung hampir dua jam itu menyaksikan penduduk membantah projek tersebut kerana khuatir ia akan menambah masalah sedia ada seperti kesesakan trafik, tekanan air rendah, banjir kilat dan bekalan elektrik yang sentiasa terputus.

Penduduk turut mempersoalkan bagaimana projek itu boleh diluluskan ekoran geran tanah di kawasan tersebut menyatakan ia hanyalah untuk kegunaan perniagaan dan bukannya kediaman seperti yang dilaksanakan ketika ini.

Malah, penduduk turut kecewa apabila wakil rakyat mereka iaitu Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali tidak pernah menemui mereka sejak bantahan itu disuarakan.

Pada 19 Oktober lalu, penduduk turut berhimpun secara aman di hadapan tapak projek tersebut untuk menyatakan bantahan mereka terhadap pembinaannya.

Sementara itu, Abd. Hamid yang ditanya oleh wakil media enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: