Isnin, Julai 09, 2012

MB Khalid 'Tertekan' - Selcat Arah RTPJ2 Perlu Dibatal, Diwarta Semula?



Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) mencadangkan supaya Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) dibatal dan diwartakan seperti yang dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini.

Pengerusinya, Datuk Teng Chang Khim berkata, perkara itu adalah cadangan daripada hasil rumusan awal panel Selcat selepas mendengar keterangan beberapa individu mengenai kontroversi padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 7 Kelana Jaya, Petaling Jaya.

"Keputusan itu dibuat selepas kami mendapati pindaan zon berkenaan dilakukan tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan," katanya di sini hari ini.


Pada pendengaran Selcat mengenai padang PKNS yang berakhir semalam, pindaan daripada zon tanah lapang dan rekreasi ke zon perniagaan ke atas kawasan tersebut didapati dibuat tidak mengikut undang-undang dan ia adalah amalan biasa yang diamalkan oleh pihak berkuasa tempatan selama ini.

Malah pendengaran Selcat itu juga gagal menjawab persoalan mengenai individu yang bertanggungjawab mengeluarkan arahan supaya pindaan zon dibuat.

Selain Chang Khim yang merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Selcat juga dianggotai oleh Timbalan Speaker DUN, Haniza Mohamed Talha; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib; ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh dan ADUN Permatang, Sulaiman Abdul Razak.

Chang Khim berkata, pindaan pada RTPJ2 dibuat selepas mendapat persetujuan MMKN iaitu sebelum ia diwartakan dan perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia jelas bercanggah dengan undang-undang sedia ada.


Justeru, kata beliau, pihaknya mencadangkan supaya RTPJ2 dibatal dan diwartakan mengikut apa yang telah dipersetujui oleh MMKN dan bukannya yang telah dipinda oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

"Semua proses pindaan pada RTPJ2 hendaklah dibuat mengikut peruntukan undang-undang," tegasnya.

Katanya, laporan Selcat mengenai padang PKNS itu tidak akan dibincangkan pada sidang DUN minggu depan kerana ahli panelnya memerlukan lebih masa untuk berbincang dan membuat rumusan tentangnya.

"Kami tidak cukup masa untuk menyiapkan laporan penuh mengenainya untuk dibawa ke sidang DUN minggu depan tetapi akan terlebih dahulu mengusulkan cadangan Selcat itu pada mesyuarat Exco kerajaan negeri," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memperbetulkan laporan sebuah portal berita yang menyebut Selcat menolak pembangunan padang PKNS.

"Saya hanya memberitahu RTPJ2 yang perlu dibatal dan diwartakan semula bagi memperbetulkan semula keadaan," katanya.-UMO

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: