Jumaat, Februari 22, 2013

'Tahniah Anwar kerana perlekehkan Hadi, Nik Aziz'




Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim wajar diberi ucapan tahniah kerana berjaya merendah serta memperlekeh kredibiliti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebanyak dua kali dalam isu kalimah Allah.

Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, kali pertama Presiden Pas dan Mursyidul Amnya diaibkan ialah pada 8 Januari lalu sebelum diikuti dengan pendedahan video ucapan Ketua Pembangkang bertarikh 10 Februari.

Menurut Muhammad Zahid, beiau melihat tindakan Anwar itu sebagai suatu penghinaan kepada Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz kerana selepas 'terperangkap' dengan permainan politik pada 8 Januari lalu, ilmu agama pemimpin Pas itu pula diperlekeh Ketua Pembangkang.



Sehubungan itu, beliau mencabar Dewan Pemuda Pas Pusat menunjuk dan membuktikan ketaatan mereka kepada pucuk pimpinan parti dengan mengadakan demonstrasi membantah tindakan Anwar sebagaimana dilakukan ke atas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

"Saya kena ucapkan tahniah kepada Anwar. Dua kali beliau berjaya mempermainkan Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz. Pada 8 Januari lalu mereka sudah terperangkap sehingga memaksa Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz membuat pusingan kemudiannya tentang kalimah Allah.

"Kini terbongkar pula video ucapan Anwar yang memperlekeh ilmu agama Abdul Hadi serta Nik Abdul Aziz dalam isu kalimah Allah dan kenyataan itu dibuat di hadapan orang bukan Islam di Sabah. Di mana pemimpin Pas mahu letak muka, bagi saya ini penghinaan.

"Tindakan Anwar memperlekeh ini seolah-olah hanya beliau sahaja yang berusaha mengembangkan syiar Islam seperti menyokong pluralisme, liberalisme dan mendakwa undang-undang homoseksual sebagai lapuk," katanya sinis dalam kenyataan di sini hari ini.



Kelmarin akhbar berbahasa Inggeris menyiarkan pendedahan video ucapan Anwar yang berkata: "Nik Aziz no longer understands Islam. Hadi Awang too. He just follows (Nik Aziz tidak lagi faham Islam. Hadi Awang juga. Dia hanya mengikut),"

Dalam pada itu, Muhammad Zahid berkata, jika Dewan Pemuda Pas Pusat gagal menyahut cabaran beliau untuk mengadakan demonstrasi ke atas Anwar, ini merupakan bukti jelas bahawa parti berkenaan kini telah dijadikan alat serta perkakas oleh Ketua Pembangkang tersebut.

"Pendedahan video ucapan Anwar di Sabah ini merupakan sesuatu yang serius dan Dewan Pemuda Pas Pusat jangan menjadi bacul dalam isu ini jika benar mereka menjunjung kepimpinan ulama, kerana yang dihina sekarang ialah pemimpin ulama dalam Pas," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: