Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Isnin, Februari 11, 2013
Hasrat tersirat rakyat Kelantan?
Mungkin ramai yang membuat penilaian bahawa rakyat Kelantan sudah pasti akan memandang sepi terhadap janji pembangunan tujuh projek besar yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau merasmikan Program Jelajah Janji Ditepati peringkat negeri, di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu dua minggu lepas.
Projek berskala besar tersebut yang antara lain melibatkan pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu, stadium baharu, perumahan rakyat sebanyak 3,000 unit dan pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 pelajar hanya mampu dilaksanakan jika kerajaan negeri diterajui oleh Barisan Nasional (BN).
Tidak dinafikan bahawa rakyat Kelantan mempunyai pendirian politik yang agak unik dan bagi mereka yang bukan berasal dari negeri itu akan merasa janggal dengan keselesaan berada di bawah pemerintahan Pas selama dua dekad yang membawa pembangunan pada tahap yang begitu minimum sekali.
Kelantan mempunyai potensi besar untuk membangun seperti mana yang telah dilalui oleh jiran terdekat seperti Terengganu kerana kedua-dua negeri ini mempunyai banyak persamaan dalam bentuk kekayaan hasil semula jadi, komposisi penduduk dan gaya hidup yang begitu berdikari. Satu kelebihan yang dipunyai oleh Kelantan adalah bersempadan dengan wilayah selatan Thailand yang menawarkan banyak peluang ekonomi.
Bukan sahaja pembangunan tujuh projek tersebut akan mengubah senario ekonomi Kelantan, malah kerajaan negeri jika ditadbir oleh mereka yang berpengalaman luas dalam mengurus hal ehwal ekonomi sudah pasti akan mengubah taraf kehidupan setiap rakyat Kelantan.
Meraih undi bukan persoalan utama janji Perdana Menteri tetapi kemusykilan mengenai keinginan rakyat Kelantan sama ada mahu maju ke hadapan bersama-sama dengan BN atau pun tetap kekal dengan status-quo di bawah pemerintahan Pas. Persoalan ini sukar untuk dijawab secara langsung tetapi menarik jika dilakukan analogi nasib yang sedang melanda Mesir.
Tidak menghairankan jika ramai rakyat Malaysia masih tertanya-tanya dan musykil apa yang sebenarnya dikehendaki oleh rakyat Mesir kerana sehingga ke hari ini mereka masih lagi membuat protes dan politik jalanan membantah pentadbiran Presiden Mohammed Morsi.
Begitu ironis sekali kerana lazimnya negara yang menyambut ulang tahun revolusi sehingga tersingkirnya diktator dirayakan sebagai hari kemenangan, tetapi lain pula halnya dengan Mesir disambut dengan menyanggah kerajaan yang dipilih secara demokratik.
Berbagai-bagai dalil digunakan sebagai alasan untuk membuat bantahan bermula daripada tuduhan Presiden Muhammed Morsi yang tidak ubah seperti bekas Presiden Hosni Mubarak yang autokratik sehinggalah kepada keputusan mahkamah mengenai rusuhan bola sepak telah membakar perasaan rakyat Mesir untuk mengambil jalan yang tidak menghormati lunas undang-undang.
Jika dua tahun lepas ketika bermulanya revolusi rakyat Mesir mampu menyatukan semua golongan kerana mereka hanya mempunyai satu matlamat yang serupa iaitu untuk menyingkir pemerintah diktator Mubarak. Hari ini mereka yang terlibat dengan protes jalanan juga mempunyai matlamat yang serupa iaitu membantah keadaan ekonomi yang berada dalam keadaan yang amat tenat.
Kadar pengangguran telah meningkat sehingga ke paras 13 peratus dan 40 peratus daripada rakyat Mesir hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$2 sehari. Lebih menyedihkan lagi hampir satu perempat mereka ini hidup dalam keadaan daif dengan pendapatan kurang dari AS$1 sehari.
Rakyat Mesir begitu mengharapkan hidup mereka akan berubah ke arah yang lebih baik setelah ketiadaan Mubarak tetapi harapan tersebut hanya tinggal harapan kerana Presiden Morsi berhadapan kesukaran untuk menarik pelancong dan pelabur asing.
Memang benar taraf kehidupan rakyat Kelantan tidak boleh disamakan dengan kedaifan rakyat Mesir tetapi perjalanan politik adalah begitu selari sekali. Presiden Morsi disokong oleh Ikhwan Muslimin iaitu sebuah organisasi yang begitu disukai oleh rakyat Mesir kerana mempunyai jaringan sosial yang begitu kukuh ketika era pemerintahan Mubarak.
Tetapi setelah berkuasa Presiden Morsi dan juga Ikhwan Muslimin gagal membawa perubahan ekonomi yang mampu mengubah kehidupan rakyat Mesir. Rasa tidak puas hati ini yang menyebabkan rakyat Mesir sekali lagi membuat protes jalanan membantah pentadbiran Presiden Morsi.
Menarik jika diungkitkan kejadian rusuhan di bandar Port Said kerana membantah keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas 21 penyokong kelab bola sepak al-Masry sebenarnya menggambarkan senario sebenar politik Mesir.
Perbicaraan ini terbit daripada peristiwa pertempuran di antara dua kumpulan kelab bola sepak iaitu al-Masry dan al-Ahly. Mengapa diandaikan senario bola sepak menggambarkan keadaan politik Mesir adalah kerana kebanyakan penyokong al-Masry bersimpati dengan Mubarak sementara kelab al-Ahly pula lebih memberi sokongan kepada Presiden Morsi.
Pertempuran di antara dua kelab bola sepak itu sebenarnya adalah pertembungan di antara penyokong rejim Mubarak dan pentadbiran Morsi.
Begitu juga dengan senario bola sepak Kelantan tidak keterlaluan jika diandaikan boleh disama ertikan dengan senario politik Kelantan. Pasukan bola sepak Kelantan mendapat sokongan padu daripada rakyat Kelantan tanpa mengira pegangan politik masing-masing.
Kebangkitan bola sepak Kelantan tidak dinafikan berlaku kerana kepimpinan yang dipamerkan oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang diterajui oleh Tan Sri Annuar Musa yang juga merupakan orang kuat BN Kelantan.
Memang benar persepsi yang mentafsirkan kerana bola sepak segala perbezaan boleh diketepikan dan ini termasuklah perbezaan politik. Jika pertembungan di antara penyokong al-Masry dan al-Ahly menggambarkan realiti politik Mesir, maka tidak keterlaluan jika diandaikan sokongan tanpa berbelah bahagi terhadap KAFA adalah hasrat tersirat rakyat Kelantan terhadap keinginan kepada pembaharuan dan pembangunan.
Mungkin ada rakyat Kelantan sendiri yang tidak mahu akur dengan analogi bola sepak, tetapi itu adalah realiti politik Kelantan sebenarnya.
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan