Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Isnin, Februari 18, 2013
Kenapa kalimah Allah jadi isu besar?
Banyak yang sudah diperkatakan mengenai isu kalimah Allah ini. Namun sebenarnya banyak yang sudah diulas di luar konteks sehingga isu sebenar sudah tersasar dan semakin teruk apabila ia terlerai menjadi elemen yang dicampur dengan sentimen yang tidak perlu. Akhirnya, kecelaruan mengenainya menjadi semakin panas dan semakin gagal dilihat secara lebih fokus dan rasional.
Adalah diharapkan semua pembaca harus berlapang dada dan jauh daripada emosi melulu, dengan hasrat untuk mencari penyelesaian terbaik bagi mengekalkan keharmonian negara khususnya. Amat malang apabila negara yang sudah menjadi model dan tanda aras kepada kehidupan rukun masyarakat majmuk terbaik di dunia mula goyah dengan isu yang dipermainkan secara berbahaya untuk mereka yang berkepentingan.
Fakta jelas menunjukkan bahawa Allah adalah kata nama khusus merujuk kepada Tuhan yang Esa yang diangkat oleh Agama Samawi (agama langit yang empat) atau digelar sebagai ahli kitab. Kesemua agama ini mempunyai kitab masing-masing dan dipanggil kitabullah yakni kitab Allah yang mengandungi wahyu yang diturunkan daripada Allah.
Ini akan dihuraikan kelak secara khusus supaya tidak menyentuh sebarang sensitiviti beragama mana-mana pihak. Isu sebenar yang ingin disentuh ialah kenapa penggunaan kalimah Allah ini baru timbul sekarang dan tidak pula puluhan tahun lepas?
Ada dua perkara yang perlu diberi perhatian, adakah isu ini sengaja ditimbulkan bagi mewujudkan satu situasi yang boleh diambil kesempatan oleh mana-mana pihak untuk keuntungan peribadi mereka sendiri. Ataupun, ia hanya sebagai permintaan daripada mereka yang menganut agama berkaitan secara khusus demi memudahkan mereka melaksanakan ibadat mereka?
Duduk perkara sebenar selepas itu lebih mudah untuk ditafsir sekiranya kita boleh merungkai punca kepada timbulnya persoalan berkaitan. Kita sudah melihat dengan jelas mengenai kebebasan beragama di negara ini yang sudah diamalkan puluhan tahun lalu.
Malah sebelum zaman merdeka lagi sehingga kadangkala masyarakat luar sendiri tidak percaya melihat rumah-rumah ibadat pelbagai agama wujud di negara ini yang sebahagiannya lebih hebat daripada milik agama rasminya sendiri.
Seterusnya kita tahu dan sedia maklum bahawa di Malaysia, selama ini penganut agama Kristian sudah tentulah bukan orang Melayu kerana orang Melayu di negara ini ditetapkan oleh Perlembagaan Negara adalah beragama Islam. Kerana itu, kitab milik orang Kristian yang ingin dibaca oleh orang Kristian bukanlah menggunakan bahasa Melayu secara berleluasa juga.
Dengan mengambil kira penduduk bumiputera lain termasuk Orang Asli dan masyakarat pribumi di Sabah dan Sarawak, kita sudah lama bertolak ansur dan tidak mempersoalkannya selama ini dan ia tidak pernah pun menjadi isu.
Malah Kementerian Dalam Negeri juga sangat bekerjasama dalam memberikan permit percetakan kitab berkaitan dalam bahasa Melayu dan diedarkan dengan begitu meluas hatta di semua bilik hotel terutamanya di Sabah dan Sarawak tanpa sebarang sekatan.
Selepas sekian lama berlalu, apa yang sudah menjadi kebiasaan dan berjalan dengan lancar menjadi sesuatu yang luar biasa dan sudah panas dengan pelbagai spekulasi yang tidak berasas dan disebut di luar konteks.
Ia digambarkan seolah-olah Malaysia sebuah negara yang tidak mengamalkan kebebasan beragama dan menyekat penganut agama selain daripada agama rasminya dan tidak mengamalkan kepercayaan mereka dengan aman dan bebas.
Kepada mereka di luar sana cubalah renung kembali dengan akal yang waras, apakah petikan di atas benar dan apakah itu yang kita boleh saksikan menjadi praktis negara ini sejak sekian lama.
Sebenarnya, apabila kita meneliti secara mendalam kita akan melihat bahawa berlakunya bantahan terhadap penggunaan kalimah Allah itu daripada umat Islam di negara ini semata-mata bagi mempertahankan akidah umat Islam itu sendiri. Ia sejajar dengan apa yang sudah diperuntukan dalam Perlembagaan Negara kita yang menghalang pengkaderan, perluasan ataupun pendakwahan agama lain kepada umat Islam Melayu.
Kita tahu, selama ini memang sebut sahaja perkataan Allah, semua bangsa di negara ini tahu, faham dan mengerti Allah adalah Tuhan orang Islam. Jangan nafikan fakta ini dengan niat tersendiri dan mahu memanipulasi. Pokok pangkalnya ia sudah menjadi standard praktis, menjadi tanggapan dan sudah diterima semua pihak tanpa sebarang persoalan.
Kenapa pula perlu guna perkataan Allah dalam kitab lain dan mahu Allah digunakan oleh mereka yang bukan beragama Islam di negara ini. Malah kalau ditanya sama ada perkataan Allah ini mahu turut digunakan dalam versi-versi bahasa lain juga sebenarnya tidak dapat mereka sendiri jelaskan atau sengaja tidak mahu terperangkap oleh jerat yang dibina oleh mereka sendiri.
Kalau isu pengamalan agama yang ingin disentuh maka ia perlu satu penyelesaian yang berbentuk keseluruhan dan tidak berpilih-pilih. Kini tentunya ia semakin jelas dan nyata bahawa kalimah Allah bukannya isu agama tetapi lebih mirip kepada isu peribadi dan agenda sendiri. Atau dengan mudah kita katakan ada kumpulan yang mahu menangguk di air keruh bagi menjadi hero atau menagih simpati demi mencapai matlamat tanpa mengambil kira kesan dan akibat daripada permainan berbahaya ini.
Kita juga sebenarnya boleh samakan taktik dan strategi yang dijalankan oleh kumpulan ini sama bahayanya dengan taktik dan strategi komunis satu ketika dahulu. Mungkinkah mereka ini memang sebahagian daripada kumpulan serpihan yang sudah ditumpaskan satu ketika dahulu?
Sesudah sekian lama mengamalkan kepercayaan masing-masing dan sudah wujud norma-norma khusus termasuk nama-nama khusus penyembahan, tiba-tiba meledak isu Allah tanpa sebarang tanda kenapa ia perlu dirombak. Maka, bagaikan sudah terang lagikan bersuluh sebenarnya ini bukanlah seperti yang dikehendaki oleh kebanyakan penganut Kristian yang sudah kita anggap sebagai saudara kita sendiri di negara ini. Tetapi ia lebih kepada mereka yang ingin mengambil kesempatan hatta sanggup melagakan dan menimbulkan huru-hara asalkan berjaya mencapai agenda.
Untuk menghuraikan duduk perkara penggunaan kalimah ini tanpa merujuk kepada kitab suci al-Quran, bagaimana toleransinya umat Islam kepada amalan beragama ini, hayati petikan surah yang berkaitan dengan isu di atas: (Surah Ali'Imran 3:64-71):
Secara ikhlasnya, dengan tulisan di atas sudah menjelaskan dengan terang dan terperinci duduk perkara berkaitan dengan kekeliruan dan pengalihan fokus yang berkaitan dengannya. Semoga ia dapat membantu mereka yang ikhlas dan rasional bagi merungkai kekusutan dan akhirnya kembali ke pangkal jalan untuk mencari kebaikan.
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
di malaysia, apabila pihak kristen tak semene mena desak mahu gunakan kalimah allah ini adalah kerana mereka telah lihat kejayaan usaha kristenisasi di indonesia dgn kalimah tersebut. lihat youtube untuk penjelasn lebar dari hajah irena handono dan deceit of christian evangelism by sheikh ahmad deedat. sesiapa saja,temasuk anwar, hadi,nik aziz,dll mungkin tak akan berani bersuara lagi mengenainya salepas melihat dan mendengarnya!
Catat Ulasan