Khamis, Februari 28, 2013

PKR Selangor diberi tempoh seminggu?




Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor diberi tempoh selama seminggu untuk memberikan penjelasan, sekali gus membatalkan pembinaan projek pangsapuri ikonik berskala besar, Datum Jelatek di Kampung Dato' Keramat.

Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek 1.0, Salleh Samad berkata, ini kerana pembinaan projek itu bukan sahaja bertentangan dengan matlamat asal yang dijanjikan kerajaan negeri, bahkan menafikan hak penduduk untuk memiliki kembali hartanah di kawasan itu.

Malah, beliau turut mempersoalkan tindakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang didakwa menjual dua blok pangsapuri mewah projek Datum Jelatek kepada pelabur dari China, Singapura dan Indonesia.

"Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjanji projek Datum Jelatek sama sekali tidak akan menyisihkan golongan bumiputera, malah komited dengan pemberian kuota sebanyak 50 peratus berserta diskaun minimum 10 peratus.

"Bagaimanapun, berdasarkan siasatan yang dijalankan, saya mengesahkan bahawa kuota itu sudah tiada wujud lagi berikutan penjualan dua blok pangsapuri tersebut kepada pelabur asing," katanya dalam sidang akhbar Himpunan Bantah Datum Jelatek di sini semalam.

Perhimpunan aman yang bermula kira-kira pukul 10 pagi di hadapan tapak projek Datum Jelatek turut dihadiri 50 ahli daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM).

Yang hadir sama Penyelaras Parlimen Ampang, Datuk Ismail Kijo; Penyelaras Parlimen Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din, Pengerusi GPRS, Datuk Sohaimi Shahadan dan Presiden JMM, Azwanddin Hamzah.

Datum Jelatek merupakan projek mewah meliputi pembinaan empat bangunan setinggi 45 tingkat yang menempatkan kawasan kediaman, bangunan pejabat dan kompleks perniagaan.

Harga unit kediaman bagi projek itu bernilai antara RM700,000 sehingga RM11.5 juta yang mana harga tersebut adalah mustahil dibeli mana-mana rakyat yang berpendapatan rendah di negara ini.

Mengulas lanjut Salleh berkata, penduduk berasa sangat kecewa kerana projek itu disifatkan sebagai penipuan terancang oleh kerajaan Selangor untuk meminggirkan warga Melayu yang begitu sinonim di kawasan Keramat.

Justeru, beliau mendesak kerajaan Selangor untuk menghentikan serta-merta projek tersebut sebelum tindakan lanjut diambil termasuk mempergiatkan perhimpunan aman, selain menghantar memorandum ke Pejabat Menteri Besar, PKNS, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan ke pengetahuan Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah.

Sementara itu, Ismail turut mempersoalkan peranan sebenar PKNS yang dilihat lari daripada matlamat asal penubuhannya iaitu menyediakan kediaman kos rendah kepada rakyat di negeri ini.

"Barisan Nasional akan bersama-sama penduduk dan tidak teragak-agak membawa perkara ini ke muka pengadilan kerana tidak mahu tanah orang Melayu tergadai kepada pihak luar," katanya.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: