Lebih 100 orang ibu tunggal mengadakan bantahan menuntut elaun gaji yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Selangor di Kampung Kenanga, tahun lalu.
Kerajaan negeri Selangor difahamkan mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas sambutan Tahun Baru Cina dan Chap Goh Mei. Langkah ini walaupun tidak menghairankan rakyatnya sekurang-kurangnya membuatkan mereka tidak sabar untuk mendengar manifesto terbaru Pakatan Rakyat sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang akan diadakan selewatnya hujung Mac atau awal April tahun ini.
Kata pujangga, jangan suka mengungkit nanti ada hati yang sakit. Namun jika ditelusuri pentadbiran kerajaan negeri Selangor selama lima tahun kebelakangan ini, tidak banyak yang boleh dibanggakan dengan manifesto berwarna-warni yang diedarkan sempena PRU ke-12 lepas.
Satu demi satu butiran manifesto dipersoal dan diungkit oleh rakyat, yang menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan dokumen tersebut.
Bukan setakat mempersoalkan kandungan manifesto pakatan rakyat yang dianggotai parti DAP, PKR dan Pas malahan tindakan undang-undang turut diambil oleh rakyat Selangor bagi menuntut janji-janji yang terkandung dalam manifesto berkenaan.
Rakyat Selangor seramai hampir 6,000 orang menuntut rebat air percuma dari kerajaan negeri Selangor sebagaimana yang diberikan kepada jutaan rakyat negeri tersebut. Alasan rebat air percuma hanya diberikan kepada meter individu dan bukan pengguna meter pukal amat menghiris hati rakyat yang terlibat. Tindakan belah buluh atau berbahagi kasih sayang menunjukkan di mana adilnya parti yang menggelarkan diri mereka PKR.
Selain kes tersebut, kes tuntutan elaun yang dijanjikan di dalam manifesto oleh ibu tunggal menunjukkan rakyat telah muak dengan janji-janji yang tidak ditepati oleh kerajaan PKR. Selama lima tahun ibu tunggal menanti elaun yang dijanjikan, namun sehingga artikel ini ditulis kes tuntutan tersebut masih belum dibicarakan secara penuh di mahkamah.
Namun kemenangan awal terserlah apabila kerajaan negeri Selangor gagal mengetepikan saman yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal baru-baru ini. Kegagalan membatalkan saman tersebut menunjukkan bahawa manifesto adalah satu harapan yang diberikan oleh pihak parti yang bertanding dalam pilihan raya kepada rakyat.
Bagi rakyat Selangor mereka telah membaca, meneliti, membincangkan, mengulas malah menyimpan manifesto tersebut dan menganggap ia sebagai janji yang perlu dipenuhi apabila pihak yang membuat janji mendapat mandat mentadbir Selangor.
Sokongan telah diberi dan mandat telah diterima, namun apa yang mereka dapat hanyalah alasan demi alasan oleh pihak terbabit hingga mereka menjadi bosan. Ibu-ibu tunggal yang menyaman turut kecewa apabila Menteri Besar Selangor yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Abdul Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta bukti kukuh bahawa kesemua ibu tunggal tersebut memberi bukti mereka memangkah Pakatan Rakyat semasa Pilihan Raya Umum 2008.
Soalnya, di manakah kewajaran dan keadilan permintaan itu, bukankah undi itu rahsia dan atas sebab kerahsiaan itu juga maka ada pihak yang sanggup menyarung baju kuning menuntut pilihan raya lebih telus dan adil. Seorang pemimpin pembangkang mahu undi didedahkan kemudian hari manakala satu pihak lagi mahu jari pengundi dicelup dakwat hitam supaya tiada penipuan berlaku.
Inikah dinamakan perjuangan demi menegakkan keadilan? Rakyat dijadikan sepak raga disepak ke sana sini dengan isu dan helah politik atas nama kebebasan bersuara.
Justeru, kepada pemimpin pembangkang yang mengatakan janji manifesto bukan satu kemestian untuk dipenuhi, perlulah menarik kembali kenyataan tersebut. Rakyat Selangor sudah bijak menilai dan mampu menghakimi setiap dokumen yang disajikan kepada mereka setiap kali pilihan raya yang sudah masuk edisi ke 13 pada tahun 2013 ini.
Sekilas ikan di air di Langat 2 yang semakin kering, sudah tahu sama ada ia jantan mahupun betina. Begitu juga dengan manifesto pilihan raya, buku jingga mahupun dasar Kerajaan Pusat kesemuanya adalah menjurus kepada janji.
Ibarat seorang pengantin dan tok kadi. Apabila tok kadi menjalankan upacara akad nikah akan ada ijab dan kabul. Sebelum dinikahkan pengantin lelaki akan bertaklik. Iaitu janji untuk melayani isteri dengan penuh kasih sayang dan tidak akan mencederakannya.
Dalam soal pilihan raya, manifesto adalah taklik dari parti yang bertanding dan ijab dan kabul adalah proses menyetujui kandungan manifesto yang mana pengundi seumpama pengantin perempuan setuju dengan taklik tersebut. Namun hari ini pengundi di Selangor membantah taklik yang dibuat maka jatuhlah talak ke atas kerajaan negeri.
Jika sudah jatuh talak atau taklik di bawa ke mahkamah maka layakkah lagi kerajaan negeri hendak bertaklik sekali lagi sedang pengantin perempuan sudah merajuk?
Jadi begitu keadaannya apakah patut kerajaan yang sama mengeluarkan manifesto sekali lagi?
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan