Khamis, Februari 14, 2013

Kenapa tuding Syabas, Puncak Niaga?



Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan Puncak Niaga Sdn. Bhd. (PNSB) tidak pernah membantah cadangan kerajaan negeri Selangor untuk menstruktur semula industri air atau migrasi mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Pengerusi Eksekutif Syabas dan PNSB, Tan Sri Rozali Ismail berkata, Kerajaan Persekutuan juga tidak menghalang cadangan kerajaan negeri itu kerana ia adalah transaksi perniagaan dan kedua-dua pihak boleh membuat keputusan atas dasar willing seller willing buyer.

“Berkaitan dengan isu penstrukturan semula sektor air, kenapa nama Syabas dan PNSB saja yang disebut? Bukan Syabas dan PNSB sahaja terlibat malah ada tiga lagi syarikat iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash), Konsortium Abass Sdn. Bhd. dan Konsortium Air Selangor Sdn. Bhd. (KASB) turut terlibat sama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri melalui Menteri Besar Selangor dan ahli exco negeri Selangor baru-baru ini, khususnya berkaitan dengan penstrukturan semula industri air dan pembekuan perbelanjaan modal (Capex) yang melibatkan Syabas dan PNSB.

Menurut Rozali, kerajaan negeri juga memegang ekuiti majoriti dalam Konsortium Abass dan KASB dan pegangan saham minoriti 30 peratus di dalam Splash dan Syabas.

Oleh itu, tegasnya, gambaran yang diberikan oleh kerajaan negeri adalah tidak tepat apabila hanya menggambarkan bahawa hanya PNSB dan Syabas merupakan pihak-pihak yang mempunyai peranan dalam penstrukturan sektor air.

“Malah satu tawaran yang dibuat oleh kerajaan negeri Selangor yang berasaskan ‘semua terima atau tawaran dibubar’ telah gagal dalam perlaksanaannya apabila pihak Splash yang kerajaan negeri ada memegang saham telah awal-awal lagi menolak tawaran kerajaan negeri tersebut walaupun pada ketika itu Syabas dan PNSB belum lagi membuat keputusan masing-masing," jelasnya.

Beliau berkata, dalam hal pengambilalihan perniagaan Syabas dan PNSB dalam proses penstrukturan semula industri air, kerajaan negeri mengetahui sebagai pemegang saham 70 peratus dalam Syabas bahawa PNSB adalah sebuah syarikat awam berhad yang mana 58.75 peratus saham dipegang oleh sektor awam dan institusi.

“Adalah menjadi tugas pihak pengurusan Syabas dan PNSB untuk menjaga kepentingan pemegang saham dalam dan luar negeri ini. Saya sebagai pemegang saham minoriti dalam PNSB tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan menjual PNSB atau Syabas kepada mana-mana pihak kecuali dengan persetujuan pihak-pihak yang dinyatakan.

“Kerajaan negeri juga mempunyai kepentingan dalam syarikat-syarikat tersebut. Adakah kerajaan negeri boleh paksa syarikat-syarikat itu bersetuju sedangkan syarikat-syarikat itu ada juga pemegang saham lain dan tertakluk juga kepada pinjaman dan lain-lain instrumen jaminan?," ujarnya.

Beliau menjelaskan, sebarang tawaran kerajaan negeri mestilah memenuhi kriteria dan melibatkan hal perniagaan, hutang syarikat, pemegang saham minoriti, nilai saham dan masa depan syarikat.


Katanya lagi, isu kedua yang sering dibangkitkan ialah berkait dengan pembekuan perlaksanaan kerja penggantian paip dan lain-lain aset yang telah usang, kerja-kerja pemasangan paip-paip baharu, kerja menurunkan kadar air tanpa hasil (NRW) dan lain-lain kerja yang berbentuk perbelanjaan modal (Capex).

Mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa kerajaan negeri membekukan Capex disebabkan kegagalan Syabas melaksanakan tanggungjawabnya di bawah Perjanjian Konsesi Rozali berkata pihaknya mempunyai beberapa fakta yang relevan kepada isu itu.

Di antaranya, kata beliau, semenjak Syabas mengambil alih dari Perbadanan Urus Air Selangor Bhd (PUAS) pada tahun 2005, semua kerja-kerja Capex telah dilaksanakan dengan kelulusan Jabatan Kawal Selia Air Selangor (JKAS), sebuah agensi kawal selia yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Selangor sendiri.

Dengan kelulusan yang telah diterima dari JKAS, jelas beliau, Syabas telah melaksanakan berbagai-bagai program kerja termasuk mengganti paip dan aset lama dan juga untuk menurunkan kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW).

“Hasilnya dari tahun 2005 hingga 2008 antara lain, Syabas telah mengganti kira-kira 850 kilometer paip air lama dan telah berjaya menurunkan kadar NRW daripada 43 peratus pada tahun 2005 kepada 32 peratus pada tahun 2008," jelasya.

Katanya, malangnya apabila kerajaan negeri Selangor bertukar pentadbiran pada tahun 2008, Syabas telah diarah oleh kerajaan negeri Selangor agar membekukan semua kerja-kerja Capex, sehinggalah cadangan kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan kesemua syarikat-syarikat pembersih air dan juga Syabas di bawah konsep penstrukturan semula selesai dilaksanakan.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: