Khamis, Februari 14, 2013

Karpal menentang apa saja yang 'berbau Islam'?



Apabila Pas ingin memperjuangkan Negara Islam dan hukum hudud, Karpal Singh menyatakan "langkah mayat saya dulu." Pas semacam akur dengannya dan bersetuju menukar hala tuju perjuangan kepada Negara Berkebajikan.

Bila berbangkit isu kalimah Allah sesuatu yang pokok bagi Islam, Majlis Syura Pas mengambil pendekatan berbeza dengan keputusan kepimpinan pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu yang membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.

Karpal Singh menyanggah kenyataan Haji Abdul Hadi Awang, "Pas sepatutnya mempertimbangkan keputusan yang dibuat Pakatan Rakyat dan bukan Majlis Syura. Saya kesal dengan kenyataan Haji Hadi. Isu ini belum selesai dan DAP tetap dengan pendiriannya".

Siapa Karpal Singh yang mempersoalkan keputusan Majlis Syura yang sifatnya binding dan terikat dalam status sebuah jamaah Islam. Kalaulah Pas akhirnya tunduk dengan tuntutan Karpal Singh, sekali lagi Pas mengalah terhadap isu pokok dan asas bagi akidah tauhid umat Islam.


Kalaulah benar Haji Hadi sudah bersetuju dengan keputusan Majlis Syura, ia adalah sesuatu yang baik bagi umat Islam. Karpal Singh dan Anwar Ibrahim tidak payah sibuk-sibuk memaksa Haji Hadi berpatah balik dengan persetujuan 8 Januari yang mana Haji Hadi khilaf menyatakan pendiriannya bersama pimpinan Pakatan.

Karpal Singh tahu undang-undang, kuasa Raja dan Sultan di Malaysia dalam hal ehwal agama Islam. Anwar lebih patut tahu mengenai keputusan Majlis Syura kerana semasa dalam ABIM dulu keputusan Majlis Syura adalah binding atau terikat kerana berlandaskan hukum syarak.

Anwar sepatutnya menasihati Karpal Singh, Lim Guan Eng dan DAP mengenai perkara ini, bukan sebaliknya bersekongkol dengan mereka. Ia seolah-olah membayangkan faktor syarak tidak penting berbanding dengan faktor politik. Orang Islam semakin hairan apakah Karpal Singh menolak enakmen agama negeri-negeri yang telah membuat keputusan mengenai penggunaan kalimah Allah dan lain-lain kalimah yang berkaitan.

Enakmen yang diluluskan secara undang-undang adalah valid atau sah. Takkan kerana nak ke Putrajaya, semua itu dilanggar. Haji Hadi harus teguh dengan pendirian yang telah diputuskan oleh Majlis Syura. Kalau tidak, apa makna Haji Hadi memimpin sebuah parti politik yang memperjuangkan Islam sedangkan perkara pokok yang melibatkan akidah dipandang remeh saja.

Walaupun Nik Aziz terpaksa turun ke Pulau Pinang dan dikatakan untuk melakukan diplomasi politik dengan Karpal Singh, Pengerusi DAP itu menafikan pertemuan tersebut ada membincangkan isu kalimah Allah dan menganggap isu itu masih tidak selesai.

Sepatutnya Nik Aziz selaku Pengerusi Majlis Syura menjawab dengan tegas keputusan Pas yang ditandatanganinya. Nampaknya dengan DAP, Nik Aziz amat lunak tetapi dengan UMNO terlalu kasar. Apakah ini selari dengan ajaran al-Quran lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan perkara pokok iaitu isu kalimah Allah yang kalau dirujuk pendirian Dr. Haron Din, salah guna kalimah Allah ini boleh membawa kufur dan syirik.


Cukuplah bagi Pas dilakukan sebegitu rupa. Majlis Syura patut bersidang segera dengan melibatkan Haji Hadi supaya pendirian tegas dapat dibuat terhadap permintaan Karpal Singh dan Anwar supaya Pas kembali bersetuju dengan keputusan Haji Hadi 8 Januari menerima guna pakai kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.

Kalau keputusan Majlis Syura masih dipertikai juga, Pas tahu jalan keluarnya. Khalayak sedang meneliti gelagat Pas sama ada sekali lagi tunduk dengan kehendak Karpal Singh dan Anwar atau hanyut dalam perangkap politik yang menjejaskan imej perjuangan Pas itu sendiri.

Pas juga tahu bahawa Karpal Singh cukup sensitif sesuatu yang 'berbau Islam.' Sepatutnya melakukan tahalluf siasi atau kerjasama politik, DAP kena ada kefahaman bahawa Islam itu agama tamadun. Takkan Karpal Singh tak baca sejarah kebangkitan tamadun Eropah yang ada kaitannya dengan tamadun Islam.

DAP memperjuangkan faham sosialis demokratik yang sekular. Pas juga tahu tentang integriti Anwar dengan hala tuju perjuangan PKR cenderung kepada faham librealisme dan pluralisme agama.

UMNO tidaklah seteruk itu. Masih lagi memberi ruang kepada Islam berkembang. Pas tidak harus menjadi pendukung tegar terhadap politik kebencian dan dendam kesumat. Kembalikan kepada ajaran Islam yang sebenar. Kalau tidak isu kalimah Allah akan memerangkap Pas dalam satu persimpangan ingin mempertahankan akidah atau bakal cair dalam politik pragmatik Anwar dan DAP.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: