Kain rentang yang tertera gambar Perdana Menteri sempena ucapan Selamat Tahun Baharu Cina yang dipasang sekitar Pulau Pinang sebelum diturunkan .
Kalau dibaca komen-komen yang terpapar di facebook, twitter atau apa sahaja laman sosial waktu ini, akan tertera ayat- ayat sebegini: "... apa ni pembgkag (pembangkang), wat (buat) ni salah, wat (buat) tu salah, kalau tak nak (kerajaan yang ada), jgn (jangan) pangkah sudahlah."
Itu antara luahan yang boleh dibaca apabila melayari laman-laman sosial pada waktu ini. Memang sekarang masa pembangkang menidakkan segala kebenaran. Apa sahaja yang dibuat kerajaan semua tak kena.
Bercakap mengenai perkara ini, pensyarah Geopolitik Fakulti Sains Sosial dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali menarik perhatian mengenai tindak tanduk 'pelik' kerajaan DAP Pulau Pinang dalam isu sambutan Tahun Baharu Cina yang dirancang dianjurkan Barisan Nasional (BN) negeri itu pada 11 Februari ini.
"Dalam mana-mana sambutan perayaan kaum, tidak sepatutnya elemen atau sentimen ideopolitik dicampur- adukkan.
" Ini semacam satu perjuangan taksub untuk memastikan sokongan terhadap DAP sentiasa berada dalam minda seseorang," kata beliau kepada akhbar ini semalam.
Guan Eng, kata beliau, sebenarnya 'terperanjat' kerana sepatutnya sambutan Tahun Baharu Cina itu dianjurkan DAP tetapi BN pula yang menjadi tuan rumahnya.
Beliau juga menarik perhatian bagaimana di Bandar Baru Bangi ketika ini boleh disaksikan bendera-bendera dan sepanduk Pas dan UMNO berkibaran tanpa sebarang sekatan.
Kata Mohd. Fuad: "Kain rentang BN yang tertera ucapan sambutan Tahun Baharu Cina di Pulau Pinang itu biarlah digantung.
" Kalau diturunkan, nampak sangat tak dihormati. Tak ada demokrasi. Takkan pengikut tegar DAP yang setia parti itu boleh berubah pendirian sekelip mata hanya semata-mata tengok kain rentang itu.
"Tapi yang saya terfikir di sini, Guan Eng resah gelisah takut usaha DAP nak kekal di Pulau Pinang semakin tergugat pada pilihan raya umum nanti."
Senada dengan beliau ialah Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan yang turut perasan akan elemen yang tidak kena ini.
"Saya lebih suka meminjam ungkapan daripada tokoh pejuang gerakan kemerdekaan India, Mohandas K. Gandhi.
"Katanya: "Modal bukanlah kejahatan, ia baru akan menjadi kejahatan kalau disalahgunakan," kata beliau kepada akhbar ini semalam.
Makna peribahasa itu, kata Ramanan, cukup mendalam kalau direnung dengan terjadinya isu-isu muktahir yang seakan-akan tidak menggambarkan keperibadian majoriti rakyat Malaysia yang berbudi pekerti.
"Dalam isu turunkan kain rentang ucapan Tahun Baharu Cina Perdana Menteri ini, walau apa pun alasannya, tindakan itu adalah biadap dan melambangkan keangkuhan kerajaan negeri pimpinan DAP.
"Saya sendiri mempunyai ramai kenalan daripada kaum Cina. Mereka cukup hairan dan pelik dengan perbuatan tak wajar ini... setakat nak beri ucapan perayaan, apatah lagi beliau seorang Perdana Menteri... sampai sanggup turunkan kain rentang itu. Inilah akibatnya sengaja nak tunjuk kuasa tidak bertempat," katanya.
Seperkara lagi, kata Ramanan, tindakan Guan Eng menyeru orang ramai yang mahu hadir ke Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina itu supaya memakai baju kuning, merah atau hijau - jelas memperlihatkan sikap 'busuk hati' parti terbabit.
"Bukankah sepatutnya Guan Eng dengan rasa rendah diri bersama-sama Perdana Menteri meraikan majlis rumah terbuka itu.
"Cuba ambil contoh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sanggup berlapang dada ada ketikanya menyertai Perdana Menteri yang turun ke Kota Bharu.
"Bagaimanapun, saya masih tidak boleh lupa sikap keterbukaan seorang wakil rakyat pembangkang di satu kawasan Dewan Undangan Negeri di Selangor. Dalam satu majlis anjuran BN bertemu rakyat, dia tiba-tiba muncul dan duduk di kerusi yang disediakan sambil tersenyum menyatakan "saya ADUN kawasan ini, jadi saya anggap ini juga majlis saya," katanya.
Bagi Ramanan sendiri, dengan perilaku-perilaku sebegini yang ditunjukkan Guan Eng, membuatkannya terfikir - DAP tidak sesuai untuk kaum India bergantung harap.
"Antara perkara yang mungkin 'kecil' untuk sesetengah orang tetapi bagi kami kaum India cukup besar maknanya ialah kenapa kerajaan DAP Pulau Pinang tidak memasukkan sambutan Ponggal dan Thaipusam dalam kalendar peristiwa penting tahun ini.
"Tindakan mengetepikan dua perayaan itu samalah seperti tidak mengiktiraf tradisi, agama dan budaya masyarakat India," katanya sambil merujuk Ponggal, atau perayaan menuai disambut pada 15 Januari manakala Thaipusam disambut secara besar-besaran oleh penganut Hindu pada 27 Januari.
Bagi Ramanan, jika dilihat gelagat pelik Guan Eng dalam isu sambutan Tahun Baharu Cina anjuran BN itu, beliau percaya, mana-mana rakyat yang berkehendakkan kebebasan demokrasi dihormati serta tidak mencampur adukkan politik dalam budaya atau perayaan kaum, akan merasakan mereka tidak sesuai berada dalam DAP.
"Anda mungkin sering membohongi orang, bahkan sebahagian orang yang selalu mudah anda bohongi. Tetapi anda tidak akan boleh selalu membohongi semua orang," katanya merujuk kata-kata keramat bekas Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan