Sabtu, Februari 02, 2013

Anwar dan pakatan pembangkang lawan autoriti agama?



Sebahagian besar jabatan agama negeri sudah mempunyai enakmen atau peraturan mengenai salah guna kalimah Allah dan kalimah-kalimah yang lain. Hampir semua mufti juga mempunyai pandangan yang sama mengenai perkara ini. Sudah sampai masanya tindakan diambil kepada yang ingkar.

Raja-raja dan Sultan sebagai Ketua Agama Negeri masing-masing banyak yang sudah menyatakan sikap bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan sesuka hati. Majlis Fatwa negeri dan negara telah membuat keputusan yang sama. Majlis Agama negeri pun mesti tegas.

Autoriti atau bidang kuasa mengenai hal-hal agama bukan milik Anwar Ibrahim dan DAP malah bukan juga milik Pas. Majlis Syura Pas sepatutnya seiring dengan keputusan pihak lain yang berautoriti secara syarak dan perundangan.

Siapa Lim Guan Eng mempersoalkan penggunaan kalimah Allah bagi versi Melayu Bible sedangkan pihak yang berautoriti bukan dirinya. Siapa Anwar yang membuat keputusan bahawa penggunaan kalimah Allah itu boleh, sedangkan itu bukan bidang kuasanya juga.

Terang-terangan mereka menolak pihak yang berautoriti, Majlis Agama Islam Negeri, Tuanku Raja-Raja dan Sultan, majlis fatwa, alim ulama dan lain-lain. Sikap tidak menghormati autoriti agama ini adalah kecenderungan biasa Anwar yang mencabar siapa saja yang tidak bersetuju dengannya.

Hatta Majlis Syura Pas pun dipersoalkan autoritinya. Anwar bukan ulama yang mempunyai autoriti ilmu dan mengeluarkan fatwa terhadap isu-isu keagamaan. Beliau hanya 'bekas tokoh' gerakan Islam dan tidak juga mujaddid yang tersohor untuk berbeza pendapat dengan ulama-ulama seperti Dr. Haron Din umpamanya.


Hairannya pendirian Anwar diterima oleh sebilangan orang dan Guan Eng amat gembira dengan pendirian Anwar ini kerana terperangkap dengan strateginya.

Penulis percaya ulama Pas yang mula mengambil sikap dan pendirian tegas menyebabkan Anwar cemas kerana isu ini terkait dengan persoalan akidah.

Memahami Anwar dengan perangainya 'lawan tetap lawan' menyebabkan Abdul Hadi Awang tersepit. Abdul Hadi belum lagi membuat kenyataan yang tegas dan jelas. Kenyataannya sedang ditunggu oleh banyak pihak. Persetujuan Abdul Hadi mengenai penggunaan kalimah Allah pada 8 Januari lalu belum terungkai lagi.

Katakanlah Abdul Hadi tampil menyatakan secara terbuka bahawa dia berdiri teguh dengan keputusan Majlis Syura dan Anwar menyatakan sebaliknya, dengan sendirinya kenyataan Abdul Hadi pada 8 Januari itu terbatal.

Anwar tidak boleh memaksa Abdul Hadi mempertahankan kenyataan 8 Januari itu kerana ia bercanggah dengan proses syura dan juga syarak. Apa hujah syarak Anwar mengenai keputusan Majlis Syura Pas itu sedangkan asas keputusan Majlis Syura Pas itu didukung oleh nas yang sahih dan boleh dipertahankan.

Anwar hanya menggunakan logik akalnya saja dan pertimbangan politik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13. Anwar tidak mahu kerana isu kalimah Allah, pakatan pecah. Anwar tidak sanggup menghadapi pilihan raya ini tanpa Pas. Dilema Pas ialah bersetuju dengan pendirian Anwar bermakna menggadaikan prinsip syarak yang menyentuh akidah.

Pas dijangkakan memilih prinsip syarak. Prinsip syarak adalah segala-gala. Tidak bersetuju dengan kalimah Allah digunakan sesuka hati oleh Anwar dan pakatan, dan pada masa yang sama masih boleh bekerjasama dalam politik tentunya satu hal yang 'ajaib'.



Lebih bermaruah kalau Pas bertanding sendiri-sendiri tanpa PKR dan DAP. Cara begini akan dihormati banyak pihak. Tapi bolehkah pakatan berkuasa tanpa Pas. Dan bolehkah Pas memenangi banyak kerusi tanpa sokongan pengundi DAP.

Pilihan raya semakin dekat, Pas tidak banyak masa untuk berfikir strategi lain. Majlis Syura harus bersidang sekali lagi untuk mengambil pendirian apakah syarie namanya berjuang dengan parti lain yang meremehkan isu penggunaan kalimah Allah.

Atau Pas mengambil 'taqiyyah' atau maslahah supaya lelap mata dengan isu kalimah Allah kerana yang penting ialah masih bersama pakatan pembangkang kerana hajat hendak ke Putrajaya semakin tidak tertahan lagi.

Kalau itulah sikap yang diambil, keputusan Majlis Syura 13 Januari tidak memberi makna apa-apa bagi Pas dan tidak menggentarkan Anwar atau menjadikan Guan Eng di pihak yang bersalah.

Lalu pilihan raya yang dilalui oleh Pas bersama pakatan ibarat lupakan dulu perkara pokok mengenai kalimah Allah atas nama syarak dan terus berjuang atas nama politik dan kuasa. Apakah itu akhirnya jalan yang dipilih oleh Pas?

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: