Selasa, Februari 19, 2013

Pas perlu segera keluar pakatan - Hasan Ali!




Pas perlu segera keluar daripada pakatan pembangkang berikutan tindakan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak menghormati parti itu apabila terus mempertikaikan keputusan Majlis Syura Ulama Pas mengenai isu kalimah Allah.

Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali menegaskan, tiada gunanya Pas terus berada dalam pakatan pembangkang apabila kedua-dua sekutunya terus berbuat demikian.

"Pas sepatutnya keluar daripada pakatan pembangkang kerana tiada gunanya berada di dalamnya kerana setiap keputusan yang dibuat mengenai Islam tidak direstui oleh DAP dan PKR.

"Bukan sahaja dalam isu kalimah Allah, malah dalam beberapa kejadian sebelum ini seperti di Selangor, Kelantan dan Kedah, DAP dan PKR menjadi penghalang kepada Pas apabila melibatkan soal Islam," katanya selepas menyampaikan ceramah perdana Selamatkan Islam dan Kalimah Allah di padang mini Rambah, di sini malam tadi.

Kira-kira 1,000 orang menghadiri ceramah yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan itu.

Menurut Hasan, bantahan yang dibuat oleh ahli Pas di seluruh negara menunjukkan mereka juga kurang senang dengan DAP dan PKR yang terus mempersoalkan isu kalimah Allah.

"Sepatutnya DAP dan PKR menghormati keputusan Majlis Syura Ulama Pas iaitu kalimah Allah tidak boleh diguna oleh bukan Islam sekiranya mereka berasakan Pas sebahagian daripada pakatan pembangkang.

"Namun yang berlaku adalah sebaliknya dan dilihat seperti kemenangan DAP menekan pemimpin Pas termasuk golongan ulama yang berdolak-dalik mengenai isu tersebut," ujarnya.

Ditanya sejauh mana Majlis Syura Ulama Pas dapat mempertahankan keputusan yang dibuat itu, beliau yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor yakin mereka tidak akan berganjak dengan ketetapan itu walaupun DAP dan PKR terus mempertikaikannya.

Terdahulu dalam ceramahnya, beliau meminta orang Melayu dan Islam membuat keputusan tepat dan bijak apabila mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) demi masa depan negara ini.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: