Khamis, Februari 07, 2013

Isu Selangor : Lokasi baharu tidak strategik?


Sekumpulan peniaga gerai Unit Perancang Ekonomi (Upen) Batu 11, Jalan Sungai Serai mengadakan bantahan berhubung tindakan MPKj memindahkan mereka ke lokasi baharu di Hulu Langat, Selangor, semalam.

Sekumpulan peniaga gerai Unit Perancang Ekonomi (Upen) Hulu Langat di Batu 11, Jalan Sungai Serai di sini mengadakan bantahan secara aman apabila tapak perniagaan yang diusahakan sejak empat tahun lalu bakal ditutup dan dipindahkan ke lokasi yang didakwa tidak strategik.

Mereka mendakwa arahan tersebut mungkin berpunca daripada pembinaan beberapa lot kedai yang bakal dibangunkan di bahagian belakang gerai mereka.

Bagaimanapun sehingga ke hari ini status mengenainya tidak diketahui berikutan tidak ada sebarang perbincangan lanjut mengenainya diadakan pihak bertanggungjawab termasuk Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Rata-rata peniaga yang ditemui melahirkan rasa kecewa dan berharap agar arahan berpindah itu dapat ditangguhkan sehingga pihak bertanggungjawab menemui lokasi sesuai.

Sofiah Kassim, 43, berkata, mereka tiada masalah untuk mengosongkan premis sedia ada tetapi bukannya ke lokasi baharu di Taman Perkasa yang terletak jauh daripada jalan utama.

"Kita bermula daripada kosong sehingga memiliki pelanggan tetap, sekiranya terpaksa berpindah juga perniagaan kami sudah tentu terjejas ," katanya ketika ditemui dalam bantahan aman di sini hari ini.

Yang turut hadir memberi sokongan kepada peniaga terlibat ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Ismail Sani.

Gerai yang dibina oleh Upen Selangor ketika diperintah oleh Barisan Nasional pada penggal lalu itu mempunyai kira-kira 16 unit.Setiap gerai dikenakan sewa sebanyak RM50 oleh MPKj.

Seorang lagi peniaga, Lee Kim Ling, 51, berkata, sudah ramai peniaga lain di sekitar Taman Perkasa itu menutup perniagaan masing-masing selepas ketiadaan pelanggan ekoran lokasinya yang tidak strategik.

"Orang lain pun tidak boleh berniaga di situ, bagaimana kami pula mahu ke sana, sepatutnya MPKj dan pemaju serta Upen sendiri perlu mengambil kira kepentingan semua pihak," katanya.

Bagi Anuar Talib, 53, peniaga berharap arahan tersebut dapat ditangguhkan terlebih dahulu bagi mencari tapak baharu yang lebih sesuai kepada mereka.

"Mata pencarian saya hanyalah dengan berniaga bagi menyara anak-anak yang masih bersekolah, kami berharap sangat perkara ini dapat dikaji semula oleh MPKj," katanya.

Sementara itu, Ismail berharap masalah tersebut dapat diselesaikan segera oleh MPKj memandangkan pihaknya telah menghantar surat sejak tiga bulan lalu.

"Kita difahamkan gerai ini mahu dirobohkan bagi memberi laluan kepada akses ke bangunan kedai yang sedang dibina dan peniaga amat marah apabila MPKj seolah-olah terlepas pandang kepada mereka," katanya yang akan membuat tindakan susulan kepada MPKj.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: