Sabtu, Februari 23, 2013

Beli saham Syabas tidak selesaikan masalah?




Isu air di Selangor masuk ke dimensi baru apabila Kerajaan Negeri Selangor membulatkan tekad untuk membeli Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) melalui anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB). Pembelian syarikat itu bukanlah isu besar kerana ia hanya proses biasa yang cuba dilihat luar biasa oleh kerajaan negeri di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Urusniaga pembelian syarikat berlangsung setiap hari di Bursa Saham Kuala Lumpur melalui pembelian saham di papan utama dan lain-lain saham cip biru. Pendek kata jika anda pembeli yang berkehendak beli (willing buyer) sahaja saham syarikat yang ingin dibeli (willing seller), jika mereka tuan punya syarikat ingin menjual maka segala urusan dianggap selesai.

Namun bagi pembelian saham Syabas oleh kerajaan negeri Selangor ia melibatkan wang anak syarikat kerajaan negeri dan juga merupakan wang rakyat jelata bukannya wang eksklusif milik syarikat tersebut. Itu yang rakyat perlu sedar, terutama rakyat yang hingga artikel ini ditulis masih menjeruk rasa kerana tidak merasa satu sen rebat air 20 meter padu yang dijanjikan oleh pakatan pembangkang semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-12 tahun 2008.

Kelompok rakyat Selangor membuat tuntutan rebat air hanya sebanyak RM3.23 juta bagi 9,039 pengguna air domestik. Jika dibandingkan jumlah itu dengan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM9 bilion untuk membeli Syabas ia amat kecil. Persoalannya, mengapa pengguna air yang kebanyakannya rakyat Selangor itu tidak boleh bersuara di dalam pembelian syarikat tersebut sedangkan hak mereka terus dinafikan walaupun kes dibawa ke mahkamah.

Adakah membayar rebat air sebanyak 3 juta lebih di luar kemampuan kerajaan negeri Selangor yang arif pula mencari bajet membeli sebuah syarikat utiliti. Sepatutnya kerajaan negeri menyelesaikan masalah yang sedang dan bakal dihadapi rakyat tidak lama lagi iaitu bekalan air yang bakal susut. Kesan negatif kepada kekurangan air itu kelak, bukan setakat menyusahkan orang Islam untuk mandi di pagi jumaat malahan kekurangan air akan menyebabkan banyak kilang yang sedang dan bakal dibuka terpaksa menutup operasi mereka.

Cadangan pembelian air oleh kerajaan negeri dengan alasan mahu hak air dikembalikan kepada rakyat merupakan satu cadangan yang bersifat luar biasa dan tidak bersifat nasional. Justeru, Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu campur tangan segera agar pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dapat diteruskan mengikut jadual dan pembelian saham dikaji semula, kerana ia melibatkan soal keselamatan dan kesihatan rakyat negara ini.

Penguasaan total kerajaan negeri terhadap Syabas tidak dapat diterima kerana ia bukan sahaja melibatkan rakyat Selangor malahan rakyat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Sebab itu adalah satu justifikasi Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional tidak merestui pembelian saham tersebut.

Kes di Semenanjung Gaza perlu menjadi contoh, apabila rejim zionis menguasai syarikat utiliti, mereka sanggup memotong bekalan elektrik sesuka hati hingga warga Palestin yang sedang dibedah di hospital meninggal dunia kerana tiada kuasa elektrik untuk meneruskan proses pembedahan.

Kita tidak mahu apabila sebuah kerajaan negeri menguasai bekalan tenaga seperti air mereka bebas mengawal bekalannya hingga menjadi senjata politik.

Pembelian Syabas perlu dibantah oleh pengguna di Putrajaya dan Kuala Lumpur kerana ia melibatkan keselamatan dan kesihatan mereka. Kepada pihak terlibat, selesai dulu masalah pokok iaitu air semakin kurang bukannya membeli syarikat yang bernilai tinggi dan melibatkan duit rakyat. Selesai dulu tuntutan rebat air oleh pengguna meter pukal baru cerita pasal pembelian berbilion ringgit!

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: