Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Selasa, Februari 05, 2013
Antara desakan Karpal, kesilapan Hadi dan maruah Majlis Syura Ulama?
Pengerusi DAP, Karpal Singh sekali lagi menyanggah kepimpinan Pas dan kali ini Pas yang kononnya mahu menjadi tulang belakang dalam pakatan pembangkang disanggah dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
Ini bukanlah kali pertama, Karpal berbuat demikian, malahan sebelum ini Pengerusi DAP itu secara tegas dan konsisten menolak perjuangan menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud yang selama ini menjadi modal politik Pas.
Dalam menangani kenyataan terbaru Karpal itu, pemimpin dan ahli-ahli Pas tidak perlulah emosional atau hendak tunjuk berani kerana Karpal menyatakan kebenaran. Apa yang dipersoalkan oleh Karpal adalah betul kerana ramai yang keliru apa sebenarnya pendirian Pas dalam isu kalimah Allah ini.
Sama ada kita sedar atau tidak dalam isu kalimah Allah, Pas mempunyai dua pendirian iaitu pendirian pertama dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mencapai kesepakatan dengan kepemimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang bersetuju kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam manakala pendirian kedua pula dibuat oleh Majlis Syura Ulama yang menolak penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
Dan kita harus ingat sehingga ke hari ini, kepemimpinan tertinggi Pas atau Pas Pusat tidak pernah membuat sebarang kenyataan rasmi atau menghantar surat kepada PKR dan DAP bahawa mereka membatalkan persetujuan yang dibuat oleh Abdul Hadi. Oleh itu, apa yang disanggahkan oleh Karpal adalah betul kerana Majlis Syura Ulama hanyalah komponen dalam Pas sedangkan keputusan yang dibuat sebelum ini melibatkan pakatan pembangkang dengan persetujuan kepemimpinan tertinggi ketiga-tiga parti.
Penulis bukanlah hendak menyokong Karpal tetapi dalam soal ini, Abdul Hadi perlu bertanggungjawab kerana beliau yang memandai-mandai menyatakan persetujuan bersama-sama PKR dan DAP dalam isu kalimah Allah tanpa merujuk terlebih dahulu kepada majlis syura.
Sekarang apabila Majlis Syura Pas membuat keputusan sebaliknya, ia mengakibatkan Pas dilihat bercelaru dalam menyatakan pendirian dalam isu tersebut. Jelas sekali, Abdul Hadi telah memungkinkan Pas dilihat hanya 'pak turut' apabila bersama PKR dan DAP.
Apa sahaja yang dipersetujui oleh kedua- dua parti itu akan dituruti oleh Pas dan itulah yang berlaku dalam isu kalimah Allah ini, oleh kerana Abdul Hadi hendak menunjukkan kononnya mereka dalam pakatan pembangkang sepakat maka persetujuan diberikan secara melulu.
Tetapi apabila kajian menunjukkan 95 peratus ahli Pas menentang persetujuan berkenaan, Majlis Syura Ulama terpaksa memainkan peranan meredakan keadaan dengan menolak sebarang keputusan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
Abdul Hadi yang mula merasai bahang kesilapannya cuba memperbetulkan keadaan kononnya isu berkenaan sudah selesai dan keputusan Majlis Syura Ulama Pas diterima oleh bukan Islam termasuk pemimpin DAP. Malang sekali kenyataan Abdul Hadi itu disanggah oleh Karpal yang menegaskan kenyataan itu tidak benar kerana DAP berpegang teguh dengan pendirian yang telah diambil oleh pakatan pembangkang pada awal bulan lalu.
Melalui kenyataan itu, ia menimbulkan persoalan apakah pemimpin-pemimpin Pas sekali lagi berbohong dalam meredakan kemarahan penyokong mereka yang selama ini melihat parti itu terlalu tunduk kepada PKR dan DAP.
Perlu diingat, suatu ketika dulu ketika pemimpin-pemimpin Pas termasuk Abdul Hadi dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan DAP memahami perjuangan Islam Pas termasuk dalam soal hukum hudud, Karpal juga menyanggah kembali dengan menegaskan DAP sentiasa konsisten menolak pelaksanaan hukum hudud dan penubuhan negara Islam.
Justeru di mana maruah Pas? Mereka dilihat seolah-olah bersedia membuat kenyataan mengelirukan bagi mengaburi penyokong-penyokong mereka kononnya Pas masih memperjuangkan Islam tetapi hakikatnya semua itu sudah lama ditinggalkan.
Apa pun kenyataan terbaru oleh Karpal ini akan menguji kewibawaan dan martabat Majlis Syura Ulama. Majlis itu berhadapan dengan situasi sama ada hendak terus mempertahankan apa yang diputuskan atau terpaksa mengikut rentak politik Abdul Hadi. Majlis Syura Ulama yang dianggap benteng terakhir maruah Pas yang semakin diperkotak-katikkan akibat bergelumang dengan mainan politik PKR dan DAP perlu membuat pendirian yang tegas dalam soal ini.
Biarlah puak-puak tertentu dalam Pas tunduk kepada kehendak kedua-dua parti berkenaan, janganlah pula majlis syura juga mahu berbuat demikian kerana keputusan yang dibuat oleh majlis itu dalam isu kalimah Allah adalah demi menjaga kesucian Islam dan bukan berasaskan kepada pertimbangan politik.
Cukuplah sekali apabila maruah Majlis Syura Ulama seolah-olah diperlekehkan apabila tindakan memberikan kata dua kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu kenyataan menyokong keselamatan negara Israel langsung tidak dipedulikan oleh Penasihat PKR tersebut. Isu itu dilihat selesai, apabila Anwar bertemu dengan Nik Abdul Aziz untuk membuat penjelasan.
Oleh itu tak kanlah dalam berhadapan dengan desakan Karpal, Majlis Syura Ulama mahu membuat 'pusingan U' seperti mana tindakan sesetengah pemimpin-pemimpin Pas sebelum ini. Majlis Syura Ulama perlu menunjukkan ketegasan bagi memastikan maruah dan martabat Pas tidak terus dilihat boleh diperkotak-katikkan oleh sesiapa. Ulama-ulama Pas perlu mempertahankan keputusan yang dibuat.
Dalam soal desakan Karpal yang harus bertanggungjawab membuat pembetulan ialah Abdul Hadi kerana beliau yang memandai- mandai menyatakan persetujuan tanpa merujuk kepada majlis syura terlebih dahulu, tetapi bagi majlis syura mereka tidak ada pilihan kerana perlu membuat keputusan berdasarkan kepada matlamat mempertahankan kesucian Islam.
Kalaulah Majlis Syura Pas hendak tunduk juga dalam isu kalimah Allah ini, maka adalah lebih baik selepas ini jemput pemimpin PKR dan DAP ke dalam mesyuarat majlis tersebut untuk bertindak sebagai penasihat. Ia bagi memastikan apa juga keputusan dan pendirian hendak dibuat ia dilihat satu kesepakatan dalam apa yang dipanggil 'tahaluf siyasi.
Kalau Majlis Syura Pas tidak mahu dilayan sedemikian maka bertegaslah dalam soal berkaitan Islam, janganlah mempertaruhkannya semata-mata kerana kemaruk kuasa seperti mana sikap sebahagian pemimpin Pas sekarang.
Oleh: Zulkiflee Bakar
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Betul kah penganut kristian mahu kalimah Allah ada dalam bible mereka ? Saya rasa tak ada sorang pun penganut kristian mahu berkongsi tuhan dengan penganut islam. Tanya lah penganut kristian adakah Allah itu tuhan mereka, mereka pasti akan jawab Jesus adalah tuhan kami (Jesus is our God).
Jika Hadi Awang dan Nik Aziz ini cerdik dan beraqal panjang, bila Lim Guan Eng mahu kalimah Allah ada dalam bible, sepatutnya mereka berdua kena rujuk dan bertanya kepada pemimpin2 ugama kristian sama ada yang bertaraf Pope atau Father di negara2 yang agama resminya adalah kristian, " is your God, is Allah whom we muslim worshiped ". Ini pandai2 saja mereka berdua buat keputusan membenarkan Allah untuk agama kristian. Pada hal tak ada pun permintaan daripada pihak kristian, yang minta hanya Lim Guan Eng sorang saja. Apa Lim Guan Eng itu Chief Pope yang menjadi pemimpin teragong agama kristian satu dunia kah ???
Siapa Hadi Awang dan Nik Aziz dalam kristian. Bertaraf Pope kah atau bertaraf Father kah nak pandai2 pula kata tuhan kristian adalah Allah. Tidak kah ini satu tindakan mencampuri urusan dalam agama kristian ???
Itu pun nasib baik kerana belum ada lagi Pope atau Father yang bertanya soalan, " who are these two jockers of the century to force us to worship Allah as our God ". Saya memang harap akan ada Pope atau Father yang berani tampil dengan komen seperti ini. Setidak2nya dapat menyedarkan mereka berdua, " siapa mereka dengan agama kristian ".
Nampak sangat bahawa Hadi Awang dan Nik Aziz ni tak ada sorang pun di kalangan Pope atau Father yang menjadi kenalan mereka. Betapa sempitnya dunia mereka. Betapa sempitnya net working mereka. Nampak sangat mereka hanya bergaul dikalangan dunia mereka sahaja. Adakah orang seperti ini kalian rasa sesuai menjadi pemimpin negara kita untuk menjalinkan net working dengan negara di seluruh dunia yang berbagai agama ?
Bukan orang yang pro Umno(BN) saja yang tak yakin dengan orang seperti mereka berdua untuk menjadi pemimpin negara, malah cuba lah bertanya soalan yang serupa kepada Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan Karpal Sing ... anda boleh agak apa jawapan mereka.
Catat Ulasan