Sabtu, Februari 23, 2013

Rakyat Selangor perlu tuntut hak?



Noh Omar menandatangani plak sebagai tanda perasmian pembukaan jambatan baharu yang dikenali Jambatan Ibu Ampangan di Sungai Tengi, Tanjung Karang, semalam.

Barisan Nasional (BN) Selangor menyeru seluruh rakyat di negeri ini bangkit menuntut hak mereka yang telah dinafikan oleh kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, kebangkitan itu dilihat perlu memandangkan kerajaan negeri yang ditadbir Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas telah pun berjanji untuk membantu rakyat dengan menawarkan pelbagai insentif serta bantuan seperti mana yang terkandung dalam manifesto mereka pada pilihan raya umum 2008.

Tegas beliau, keengganan pentadbiran negeri melaksanakan janji mereka seperti pemberian air percuma kepada pengguna meter pukal, memberikan elaun kepada ibu tunggal, menurunkan cukai pintu serta memberi bantuan kepada kanak-kanak pra-sekolah jelas membuktikan kerajaan Selangor pada hari ini tidak bertanggungjawab serta tidak menghormati rakyat.

"Rakyat ada hak untuk tuntut kerana kerajaan negeri telah berjanji. Namun, kita lihat pada hari ini kerajaan negeri mahu berlawan dengan rakyat apabila mereka dituntut melunaskan janji-janji seperti yang terkandung dalam manifesto pilihan raya umum lalu.

"Sepatutnya, kerajaan negeri berusaha menunaikan janji mereka kepada rakyat sebelum ini, bukannya mencari helah lebih-lebih lagi apabila rakyat telah bangkit membuat tuntutan mereka di mahkamah.

"Kerajaan negeri kena faham bahawa rakyat Selangor sebelum ini telah memberi kepercayaan sehingga PKR, DAP dan Pas berjaya menubuhkan kerajaan negeri. Jangan ingat mentadbir negeri semudah membuat janji bintang, bulan tapi tak dilaksanakan atau hanya guna lidah dan air liur semata-mata," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Noh yang turut merangkap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut mencabar Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan negeri, Teresa Kok menyenaraikan jumlah projek pelaburan yang telah dibawa masuk sendiri oleh kerajaan negeri bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun lalu.

Cabaran itu dikemukakan beliau susulan pengumuman Teresa pada 14 Februari lalu bahawa Selangor menerima pelaburan berjumlah RM10.52 bilion dengan 211 projek perkilangan diluluskan dalam tempoh tersebut.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: