Nasharuddin Mat Isa dan Dr. Hasan Ali yang dihukum oleh Pas.
Umum mengetahui bahawa Pas, seperti juga PKR adalah parti oportunis yang menimba keuntungan politik besar hasil daripada penyingkiran Anwar daripada UMNO dan Kabinet menteri.
Rakyat dimomokkan dengan kata-kata seorang yang begitu berkuasa seperti Anwar boleh dipecat oleh Perdana Menteri sebegitu sahaja; bayangkan rakyat marhaen pula! Apa saja kerajaan 'zalim' BN boleh lakukan terhadap mereka. Ceramah politik besar-besaran berlaku di sana-sini pada ketika itu dengan pengumuman penyertaan tokoh-tokoh UMNO yang pro-Anwar ke dalam parti pembangkang.
Penulis masih ingat menghadiri ceramah bagi meraikan penyertaan Datuk Dr. Hasan Ali yang merupakan seorang motivator popular di televisyen pada ketika itu ke dalam Pas di Kelana Jaya. Hasan diangkat sebagai wira ulung Pas! Malah beliau dinaikkan ke jawatan Naib Presiden Pas dalam sekelip mata, menyingkirkan Naib Presiden lain yang lebih senior seperti Almarhum Ustaz Hassan Syukri.
Hal ini dilakukan bagi memberi wajah profesional baru terhadap Pas yang ketika itu hanyalah berimej lebai kampung. Setiap kali nama Hassan diungkapkan, akan disambut dengan laungan Allahu Akbar daripada pengikut yang taksub. Ustaz Nasharudin Mat Isa juga begitu dijulang hingga dikatakan beliau adalah bayangan kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor.
Kini semua itu hanya tinggal kenangan. Habis madu sepah dibuang. Hasan dan Nasharudin bukan siapa-siapa lagi bagi Pas. Mereka dianggap liabiliti terhadap parti kerana mementingkan perpaduan ummah melebihi daripada assobiyah politik yang melampau.
Mereka melihat UMNO sebagai saudara se-Islam dan ini adalah dosa besar bagi pengikut fahaman Pas masa kini. Lalu mereka ditendang keluar daripada parti ibarat anjing kurap yang tidak ada sedikit jasa pun kepada parti malahan pembawa masalah bagi Pas dalam bersekedudukan dengan PKR dan DAP.
Mereka langsung tidak dipanggil untuk memberi tunjuk sebab atau diberikan perbicaraan yang adil. Bayangkan, bekas orang nombor 2 Pas yang dikatakan bayangan Ustaz Fadzil Noor dibuang begitu saja!
Apa yang menarik adalah sungguhpun mereka berdua 'dibuang' daripada parti dengan cara yang begitu tidak terhormat, mereka berdua kekal tidak mengkritik pemimpin utama mereka seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Mereka kekal menghormati kedua-dua tokoh tersebut malah Hasan secara terbuka menyatakan dia masih sayang pada Pas dan mahu Hadi Awang memimpin negara, bukan Anwar Ibrahim seperti persetujuan pakatan pembangkang.
Inilah saki baki 'ajaran songsang' Pas yang telah indoktrinasi kepada ahli mereka. Pas mengamalkan sistem pentarbiyahan yang memerlukan ahlinya terutama di peringkat pimpinan mengungkapkan bai'ah kepada pemimpin mereka.
Seperti yang didedahkan oleh pemimpin Pas sendiri, bai'ah talak tiga juga adalah antara cara Pas mengikat ahli-ahli dan pimpinan-pimpinan mereka daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan kepentingan parti. Silap langkah, isteri mereka boleh tertalak secara automatik. Begitulah Pas mengikat kesetiaan ataupun wala' terhadap pemimpin parti mereka.
Tafsir Surah Al Hujurat karangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadikan silibus untuk usrah-usrah mereka dalam mengkader ahli. Kesetiaan kepada pemimpin adalah tiada tolok bandingannya seperti kesetiaan terhadap Rasulullah.
Kisah-kisah seperti pemecatan Khalid Al Walid RA sebagai panglima tertinggi tentera Islam oleh Khalifah Umar Al Khattab RA didendangkan kepada ahli-ahli Pas agar mereka mencontohi sifat Khalid apabila disingkirkan dan diganti dengan Abu Ubaidah ibnu Al Jarrah RA.
Khalid Al Walid tidak menentang atau mempertikaikan keputusan Saidina Umar malah turut berjuang di medan perang walaupun hanya sebagai tentera biasa. Malah dinukilkan juga di dalam kitab karangan Presiden Pas tersebut, sekalipun pemimpin negara adalah seorang yang fasiq, arahan-arahannya yang tidak bertentangan dengan syariat hendaklah dipatuhi!
Inilah sifat yang sewajarnya ada pada seorang Muslim apabila berhadapan dengan keputusan pemimpin negara. Maka tidak hairanlah, Nasharudin dan Hasan Ali berdiam diri dan menerima pemecatan mereka dengan hati terbuka walaupun disingkirkan dengan cara yang tidak bermaruah.
Ironinya, apabila Sultan Perak yang merupakan pemimpin tertinggi negeri menyingkirkan Menteri Besar Pas, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin, Pas tidak boleh berlapang dada seperti Khalid al Walid, sebaliknya memilih untuk sembah derhaka, berguling di jalan raya, menyekat kereta Raja dan bersidang di bawah pokok.
Nik Aziz juga tidak boleh berlapang dada apabila Sultan Selangor selaku Ketua Agama Negeri melarang penggunaan masjid-masjid di negeri baginda sebagai medan berkempen oleh semua parti politik. Titah baginda ini bersempena dengan pilihan raya kecil Hulu Selangor yang bertujuan untuk mengelakkan perpecahan umat Islam. Nik Aziz malah menempelak secara terbuka arahan baginda dengan mengatakannya karut dan saki baki ajaran penjajah.
Terbaharu dalam isu kalimah Allah, selang hanya 1 jam selepas pengumuman titah Baginda Sultan Selangor tentang larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, pakatan pembangkang muncul membuat sidang akhbar menyatakan kesatuan mereka membenarkan penggunaan kalimah tersebut. Mereka tidak redha dan akur dengan keputusan pemimpin tertinggi yang mempunyai autoriti dalam urusan agama negara kita seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Mereka tidak boleh bersikap seperti Khalid apabila tindakan yang tidak menyebelahi nafsu politik mereka diambil oleh pemerintah tertinggi negeri atau negara. Mengapakah Pas gagal berlapang dada kepada arahan pemimpin tertinggi ini? Seolah-olah ketaatan atau wala' kepada pemimpin yang mereka pelajari hanya terpakai untuk pimpinan Pas tetapi tidak bagi Raja dan Sultan yang memerintah negeri?
Dalam pada mereka menyuruh Ustaz Nasharuddin dan Dr. Hasan berdiam diri dan akur menerima pemecatan mereka dengan berlapang dada seperti Khalid Al Walid RA dan tidak mempertikaikan keputusan pimpinan, Pas sendiri gagal mengaplikasikan sikap mulia tersebut untuk diri mereka sendiri justeru menggunakan taktik matlamat menghalalkan cara sebagai gaya mereka untuk berpolitik dan beragama.
Oleh itu, Pas harus bermuhasabah dengan ancaman Allah SWT tentang golongan yang bercakap tak serupa bikin.
"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."- Surah As Saff (2-3). (UMO)
Wallahuallam.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan