Jumaat, Februari 01, 2013

Haron Din pula tunggu giliran dipecat?



Selepas bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dipecat daripada Majlis Syura Ulama Pas beberapa lagi pemimpin tertinggi parti itu diyakini bakal menerima nasib serupa kerana sering mempertikaikan keputusan parti. Bekas aktivis Pas, Zainon Ismail berkata, beliau percaya tindakan serupa juga akan dikenakan terhadap Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din.

Beliau yang turut dikenali dengan nama C.N. Al-Afghani berkata, Haron sebelum ini merupakan antara pemimpin Pas yang lantang mengkritik kesediaan parti itu membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada agama-agama lain di negara ini.

“Saya yakin ada lagi. Selepas Ustaz Nasha, saya yakin sesiapa sahaja dalam kalangan pemimpin Pas akan dipecat jika mempertikaikan kerjasama dengan DAP dan isu kalimah Allah," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Diskusi Dilema dan Ranjau Perjuangan Islam di Malaysia di Stadium Negeri, di sini hari ini. Menurut Zainon, beliau tidak menolak kemungkinan Haron berada dalam senarai dipecat kerana dianggap mempunyai pendirian selari dengan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali yang boleh merugikan pakatan pembangkang.


Beliau berkata, tindakan terbaharu terhadap Nasharudin itu memberi gambaran sesiapa sahaja dalam Pas sama ada pemimpin atau ahli parti tersebut tidak berhak mempertikaikan keputusan pucuk pimpinan parti. “Apabila keputusan dibuat, bagi mereka (pemimpin parti) keputusan itu betul, tepat dan tidak boleh dipertikaikan.

“Kalau sesiapa pertikai, mereka juga berada dalam kedudukan tidak selamat," jelasnya.

Sementara itu : 'Saya lega digugurkan calon Pas'

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berasa lega dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa beliau akan digugurkan sebagai calon Pas bagi mempertahankan kawasan Parlimen Bachok pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.


Beliau berkata, sekurang-kurangnya satu daripada tanggungjawabnya selama ini tidak lagi perlu dipikul selepas pilihan raya umum akan datang. Menjadi calon bukan agenda besar bagi saya dan bagi saya juga sama ada kita dicalonkan atau tidak, segala tugas yang diamanahkan hendaklah ditunaikan dengan baik.

''Mudah-mudahan sesiapa sahaja yang diangkat menjadi calon selepas ini dan di mana sahaja mereka dicalonkan, mereka akan dapat meneruskan agenda parti,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir dalam sesi taklimat dan pembentukan Sekretariat Mendaulatkan Islam sebagai Agama Persekutuan di Masjid Negara di sini hari ini.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz mengesahkan Nasharudin tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Bachok pada PRU-13 nanti. Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Nasharudin tidak dipilih untuk mempertahankan kerusi itu selepas namanya tidak dicalonkan oleh Pas kawasannya sendiri.

Menjawab satu soalan, Nasharudin berkata, setakat ini berdasarkan laporan media beliau hanya dipecat sebagai ahli majlis syura dan bukannya ahli parti.

Ditanya desas-desus yang beliau akan dipecat sebagai ahli parti, beliau berkata;

''Saya tidak pasti. Semacam petunjuk saya dipecat itu ada tetapi saya tidak pasti.''

Beliau berkata, setakat hari ini surat pemecatannya secara rasmi sebagai Ahli Majlis Syura Ulama Pas masih belum diterima.

''Saya tidak berbohong jika saya telah terima surat tersebut,'' katanya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan tindakan merugikan parti itu ada kaitan dengan tindakannya mengiringi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza baru-baru ini.

''Ada kemungkinan, sebab kenyataan terbuka ini (pemecatan sebagai ahli majlis syura ulama) dibuat selepas saya pulang dari Gaza,'' katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: