Khamis, Februari 21, 2013

DAP mustahil perintah Malaysia: Kenyataan penuh reaksi Dr. Hasan Ali?




Presiden Jati Malaysia, Datuk Dr. Hasan Ali hari ini mengeluarkan satu kenyataan akhbar bertajuk DAP Sebagai Peneraju: Hadi Awang sebagai reaksi kepada kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini bahawa mustahil DAP memerintah negara ini.

Berikut teks penuh kenyataan akhbar Hasan itu:

DAP SEBAGAI PENERAJU : HADI AWANG

SAYA terpanggil untuk memberi sedikit ulasan apabila membaca media perdana hari ini mengenai kenyataan Presiden PAS Ust Hadi Awang yang mengatakan bahawa adalah mustahil bagi DAP untuk memerintah atau menerajui pemerintahan negara ini.

Ini disebabkan dari segi perkiraan kerusi yang ditandingi, DAP dijangka hanya bertanding 50 kerusi parlimen daripada jumlah keseluruhan 220 kerusi.

Sememangnya dari segi angka DAP hanya sesuai bertanding kira-kira satu perempat kerusi parlimen. Namun perlu diingat bahawa DAP bersama dengan gabungan komponen parti-parti yang bukan Barisan Nasional termasuk di Sabah dan Sarawak dilihat tidak mustahiluntuk memenangi jumlah kerusi parlimen yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan.

Tetapi saya tidak mahu menumpukan perhatian kepada opsyen itu. Yang ingin saya tekankan di sini ialah:

a. Walaupun seperti yang disebut oleh Presiden PAS, DAP akan bertanding 50 kerusi sementara PAS dan PKR mungkin masing-masing bertanding dalam lingkungan 80 kerusi setiap satu parti. Ini sama sekali tidak bererti bahawa bilangan kerusi yang banyak akan mencerminkan kemenangan yang besar. Para pemerhati politik lebih cenderung menganggarkan bahawa antara parti yang dijangka mencatat kemengangan besar ialah DAP. Kalau DAP boleh memenangi 90% daripada kerusi yang ditandingi dan PAS serta PKR dijangka memenangi jauh di bawah paras 50%, sudah tentu DAP akan terus menjadi parti peneraju dalam gagasan Pakatan Rakyat;

b. Daripada apa yang berlaku sekarang contoh seperti di Selangor, DAP menduduki tempat kedua dari segi bilangan kerusi. PKR tempat teratas dan PAS dengan 8 kerusi sahaja duduk di tempat terbawah. Seperti yang dilaporkan, DAP dilihat menerajui Kerajaan Selangor hingga dikatakan Menteri Besar Selangor sering berada di bawah telunjuk DAP. Penyertaan PAS dalam Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak pernah dianggap sebagai rakan kongsi setara oleh DAP.

Di Kedah pula, DAP hanya mempunyai satu kerusi sahaja. Tetapi hampir semua isu Islam yang telah diputuskan oleh Menteri Besar dan Exco tidak dapat dijalankan kerana ditentang hebat oleh wakil tunggal DAP itu. Ini dilakukan dengan bantuan moral dan campur tangan langsung oleh pimpinan DAP pusat.

c.. Di peringkat nasional pula,sehingga ini tidak ada satu pun isu-isu besar melibatkan Islam dan Melayu yang ingin dijuarai oleh PAS dapat dilaksanakan. PAS kalah bersabung dalam isu Kalimah Allah, Negara Islam, Hudud dan isu murtad. Suara PAS hampir diketepikan langsung dalam merangka dasar dan hala tuju Pakatan Rakyat seperti yang terkandung dalam Buku Jingga dalamana isu Negara Islam, Hudud dan kemartabatan bangsa Melayu tidak mendapat tempat yang sewajarnya dalam buku tersebut.

Saya berpendapat tidak ada mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat secara berasingan dapat menubuhkan kerajaan termasuk PAS dan PKR. Yang penting di sini bukan mana-mana parti boleh menubuhkan kerajaan, tetapi parti yang manakah yang mempunyai kekuatan dan kemampuan pimpinan, daya tahan dan daya juang memperjuangkan satu-satu isu, komitmen yang tinggi hingga ke peringkat sanggup menggadaikan nyawa untuk mempertahankan kesucian perjuangan, kebolehan dan kemampuan berhujah secara berfakta serta keutuhan kesepaduan dan kesatuan barisan kepimpinan untuk mendepani musuh-musuh politik dalaman dan luaran.

Apa yang dapat disaksikan sekarang sejak 5 tahun yang lalu PAS semakin dipinggirkan. Bukan sahaja dipinggirkan tetapi dengan bongkak dan sombong pimpinan DAP dan PKR memperkotak-katikkan PAS hingga ke peringkat menghina intitusi agong dalam struktur parti PAS iaitu Majlis Syura Ulama PAS dalam isu Kalimah Allah.

Lebih menyedihkan di negeri Musyidul Am sendiri peraturan kecil yang telah berjalan sejak 21 tahun yang lalu melibatkan pendandan dan penggunting rambut wanita yang tidak dibenarkan menggunting rambut lelaki Muslim terpaksa ditawakufkan. DAP menggunakan Karpal Singh menyelar kepimpinan PAS Kelantan dan menuntut supaya peraturan itu dimansuhkan. Akhirnya kerajaan PAS pimpinan Tok Guru Nik Aziz tunduk dengan tuntutan DAP itu.

Begitu juga yang berlaku di Kedah. Wakil tunggal DAP berjaya membatalkan keputusan kerajaan negeri pimpinan Ust Azizan Razak seorang ulama yang berstatus senior dalam saf kepimpinan PAS dalam isu penutupan pusat hiburan dalam bulan Ramadhan dan juga isu papan iklan.

Kenyataan Presiden PAS yang dilaporkan hari ini mungkin boleh diterima oleh ahli dan penyokong parti yang hanya mendapat informasi daripada akhbar Harakah atau Harakah daily atau hanya mendengar ceramah-ceramah daripada pimpinan PAS dan Pakatan Rakayat sahaja. Andainya mereka dapat membuka ruang minda dengan cuba mendekatkan diri kepada sumber-sumber informasi samada melalui media elektronik, media cetak atau yang popular di akhir-akhir ini media sosial sudah tentu mereka dapat menilai kenyataan Presiden PAS itu dengan lebih objektif dan berpijak di bumi nyata.

Hakikatnya, DAP sejak 5 tahun yang lalu telah berjaya menggunakan seluruh kesempatan dan ruang untuk menonjolkan falsafah perjuangan parti tersebut. Dalam apa keadaan pun yang jelasnya DAP adalah pihak yang dikatakan meraih kemenangan hingga berjaya menjadi tulang belakang kepada Pakatan Rakyat. Begitu juga halnya dengan PKR. Yang tewas di gelanggang hujah dan yang tewas di gelangang perjuangan khususnya untuk mempertahankan asas-asas perjuangan parti tidak lain tidak bukan ialah PAS.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, KL

20 Februari 2013

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

usin berkata...

pas menganggap bahawa pengundi2 masih bodoh, tetap bodoh dan akan kekal bodoh sampai bila2. kononnya dap bertanding 50 kerusi, kalau menang semuapun, tak layak jd pm. perkara2 yg 'minor' teknikal mampos pas tak akan beritahu. contohnya apa berlaku di kedah, di selangor. semua diperintah oleh dap dengan pkr dan pas jd balaci. di perak, sekali lg pas jd keldai sewaktu menjadi kerajaan segera. mb org pas, arahan dtg dari dap. dah la pas, org dh mula tahu benda2 teknikal ni. zaman bodoh dah berlalu. yg masih bodoh ialah seluruh pemimpin pas yg kononnya ber'tahaluf siyasi' dgn dap, wal hal sebenarnya tahayul dan sia-sia...