Ahad, Jun 16, 2013

Tumpuan kepada kuasa, parti politik Islam bergolak !


Pergolakan politik dalam dunia Islam masa kini sukar untuk diatasi kerana umat Islam sudah jauh terpesong daripada garis panduan Islam. Politik jika tidak didasarkan kepada prinsip dan konsep perjuangan menegakkan keamanan, keadilan dan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi adalah mudah terpesong kepada perjuangan politik berteraskan kekuasaan dan kebendaan.

Prinsip dan konsep perjuangan yang berteraskan kepentingan rakyat dan negara perlu ditanam dalam jiwa setiap ahli politik dalam negara Islam. Apabila pemikiran dan jiwa pemimpin politik disematkan dengan semangat memperjuangkan nasib bangsa dan agama maka mereka akan bertolak ansur dalam pelbagai aspek berkaitan dengan kepentingan negara dan agama tanpa menghiraukan kepentingan peribadi.

Kesedaran yang tinggi terhadap tanggungjawab dan nasib yang akan menimpa anak bangsa pada masa akan datang boleh membangkitkan semangat wira dalam jiwa setiap ahli politik beragama Islam. Apabila jiwa mereka telah dibangkitkan dengan semangat wira maka mereka akan menumpukan sepenuh perhatian kepada objektif perjuangan mereka dalam arena politik. Kesedaran begini kurang wujud dalam jiwa dan pemikiran kebanyakan pemimpin politik dalam dunia Islam.

Politik dalam dunia Islam semakin hari kian bergolak kerana dalam pertarungan politik konsep 'menang' merupakan matlamat perjuangan. Apabila konsep ini dijadikan sebagai matlamat perjuangan ahli-ahli politik maka mereka akan menggunakan pelbagai cara untuk mendapat kemenangan tanpa melihat kepada kesan dan risiko yang akan mereka hadapi apabila kuasa berada dalam tangan.

Konsep 'menang atau berjaya dalam pertarungan' sepatutnya dilihat dalam perspektif yang boleh menguntungkan bangsa, agama dan negara. Realiti yang jelas kelihatan masa kini ialah kemenangan yang dicapai oleh parti-parti politik Islam lebih menjurus kepada penghakisan kuasa dan kewibawaan umat Islam dan bangsa. Setiap parti politik lebih menumpukan perhatian kepada kemenangan yang hanya dapat bertahan dalam jangka masa singkat.

Ini disebabkan ahli-ahli politik beragama Islam kurang menumpukan perhatian kepada pergolakan dan pertelingkahan sesama umat Islam. Pergolakan dalam politik umat Islam bukan sahaja memusnahkan kewibawaan bangsa dan agama malah ia juga membangkitkan semangat pergaduhan dan dendam kesumat sehingga ke tahap yang boleh memporak-perandakan parti politik mereka sendiri.

Paling memalukan ialah ahli-ahli politik yang memperjuangkan objektif parti yang sama bertarung untuk mendapat kemenangan sehingga ke tahap yang paling serius. Keadaan ini melambangkan bahawa ahli-ahli politik umat Islam kurang peka terhadap akhlak dan budaya berpolitik. Ini merupakan salah satu faktor yang boleh memusnahkan sebuah parti politik yang berwibawa.

Perselisihan ketika berebut jawatan tertentu dalam parti politik boleh diibaratkan seperti orang lapar berebut makanan ketika berada dalam suasana negara ditimpa bencana alam. Apabila suasana begini dipertontonkan kepada rakyat maka timbul persoalan, apakah yang diperjuangkan oleh ahli-ahli politik Islam dalam negara mereka?

Jika sikap dan mentaliti begini dipertontonkan kepada rakyat maka secara spontan mereka boleh menilai dan memahami matlamat perjuangan ahli-ahli politik bukan lagi berjuang untuk bangsa, agama dan negara, tetapi untuk kepentingan diri dan kebendaan.

Sikap perjuangan begini menyebabkan umat Islam hilang arus ketika bertarung untuk mendapat kuasa. Mereka tidak menghiraukan tentang hakikat kelemahan diri mereka dalam soal kepimpinan dan pentadbiran negara.

Pemikiran mereka disemat dengan ideologi kekuasaan yang dianggap sebagai satu kenikmatan yang berbentuk syurga dunia dan mampu menyumbang kekayaan dan kemewahan dalam sekelip mata. Ideologi begini menghumban ahli-ahli politik Islam dalam kancah permusuhan yang berkekalan. Perasaan dendam kesumat menjadi sebati dalam pemikiran dan hati nurani mereka.

Kejahilan dan kelemahan diri dalam kepimpinan tidak pernah dijadikan sebagai satu cara untuk menundukkan diri supaya menginsafi bahawa diri mereka tidak layak untuk menjadi pemimpin kerana kewibawaan mereka dalam soal ini adalah terlalu tipis dan tidak berkemampuan.

Apabila perkara ini menjadi lumrah hidup ahli-ahli politik maka kepimpinan dalam negara Islam menjadi semakin pudar dan sistem kepimpinan dan pentadbiran negara menjadi kian lemah. Akhirnya negara boleh dikuasai oleh orang asing akibat kurang matang dalam arena politik.

Oleh itu ahli-ahli politik Islam perlu bermuhasabah dan memperakui kelemahan diri ketika berjuang dalam parti politik. Penilaian dan kehebatan dalam kepimpinan dan pentadbiran hanya dapat dinilai oleh Allah kerana Dia mengetahui isi hati manusia dan keikhlasan mereka dalam memperjuangkan kewibawaan agama, bangsa dan negara. Wallahuallam.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: