Selasa, Jun 11, 2013

Cukup, cukuplah...Perlukah mereka ini dilayan lagi?


Sudah sampai saatnya, wakil rakyat pembangkang apatah lagi Ketua Pembangkang menunjukkan tauladan dengan menampilkan politik yang beretika. Cukuplah, mesej tidak puas hati pakatan pembangkang terhadap keputusan pilihan raya lalu sudah diketahui umum.

Apa lagi yang Anwar Ibrahim dan konco-konconya mahu? Sudah termaktub secara rasmi pakatan pembangkang gagal memerintah Malaysia. Kedudukan Anwar sudah ditakdirkan bukan sebagai Perdana Menteri.

Cukuplah, jangan lagi diulangi cara-cara berpolitik yang tidak beretika yang langsung tidak menguntungkan rakyat dan negara. Cara ceroboh Anwar sejak sekian lama sudah ke tahap maksimum, rakyat sudah bosan tahap gaban.

Bayangkan betapa aman dan indahnya Malaysia tanpa orang seperti ini. Tidaklah lagi kecoh-kecoh di sana-sini orang menuntut yang bukan-bukan. Tidaklah perlu pihak berkuasa bersusah payah bekerja lebih masa semata-mata mengurus hingar-bingar yang dicetuskan kumpulan ini.


Tidaklah ada cerita-cerita tabu dan di luar tabie yang bukan semua orang suka dengar dan lihat. Tidaklah kita sesama sendiri bermusuh, berdendam dan bersakit hati seperti ini. Cukuplah, derita hubungan antara rakyat sudah sedemikian parah.

Pemimpin ini semestinya dipulaukan. Jauhkan dia daripada terus meracuni pemikiran rakyat, menjerat simpati hingga rakyat berpuak-puak dan berpecah belah. Sejak sekian lama, apakah kehadirannya menguntungkan rakyat dan negara? Apa yang kita dapat daripada pemimpin sejenis ini?

Paling mutakhir, tindakan Anwar yang gopoh-gapah mempertimbangkan untuk memulaukan sesi pembukaan ke-13 Parlimen pada 24 Jun ini. Anwar yang entah untuk apa kepentingan, hampir pasti dilantik semula sebagai Ketua Pembangkang dilaporkan tidak menghantar soalan perbahasan sebagai tanda protes.

Cara provokasi seperti ini bukanlah gaya baharu berpolitik Anwar dan konco-konconya. Dia pandai memancing emosi dan menghangatkan sentimen benci membenci antara kumpulan yang lain. Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak terutama wakil rakyat di dewan yang mulia itu menghentikan sandiwara kumpulan ini.

Dikhabarkan DAP yang memenangi kerusi terbanyak berbanding PKR (30 kerusi) dan Pas (21 kerusi) kali ini bertindak berseberangan. Eloklah DAP menunjukkan tauladan, cuma diharap itu bukan sandiwara.


Penasihat DAP, Lim Kit Siang dipetik sebagai berkata tidak akan memulaukan upacara angkat sumpah itu walaupun ada dalam kalangan Ahli Parlimen daripada parti cauvinis itu yang mungkin bermuka-muka, menampakkan dirinya seolah-olah sehaluan dengan Anwar.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang juga secara terbuka telah menyatakan komitmen pembangkang akan memulaukan taklimat di Dewan Rakyat pada Selasa ini. Begitulah telatah mereka apabila mendapat kuasa.

Semua tindakan primitif, kebudak-budakkan dan tidak bertanggungjawab ini bermula apabila sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) menyeru supaya Ahli Parlimen memulaukan upacara angkat sumpah sebagai memprotes dakwaan penipuan dan penyelewengan dalam PRU-13.

Begitulah selalu jalan ceritanya. NGO yang kononnya mewakili suara hak asasi dan kesaksamaan serta memperjuangkan nilai-nilai universal dijadikan tempat berselindung. Mereka sengaja mahu menjolok sarang tebuan.

Cuma di Malaysia, jalan ceritanya belum ada penyudah yang kumpulan ini harap-harapkan. Kerajaan tidak dapat diubah. Kedudukan masih status quo.


Reaksi Anwar dan konco-konconya ini secara langsung akan memberi gambaran wajah Dewan Rakyat kita dalam masa lima tahun ke depan. Apakah dengan telatah terbaharu mereka ini, kita boleh mengharapkan Dewan Rakyat menjadi tempat produktif untuk membahas hal-hal berkaitan rakyat dan negara?

Jika begini bermulanya, dengan satu pihak masih belum lagi mahu menerima keputusan pilihan raya, Dewan Rakyat hampir pasti akan terus menjadi pentas bermain politik. Kita akan lihat nanti gelagat dan pertengkaran seperti di taman bimbingan kanak-kanak atau hingar-bingar macam zoo.

Pendapat dan hujah wakil rakyat akan lebih menjurus kepada kepentingan politik sempit kepartian. Pembangkang tegar membangkang, manakala kerajaan akan terlalu berhati-hati lalu memilih tindakan-tindakan bersifat populis.

Maksudnya hanya kepentingan mereka yang kuat bersuara sahaja akan dibela. Suara senyap walaupun mungkin mewakili majoriti bakal terpendam. Akhirnya kita akan sekali lagi menyaksikan drama-drama merimaskan lima tahun lalu, berulang.


Protes akan dilawan dengan protes. Tunjuk perasaan dilawan dengan tunjuk perasaan tanpa ada sudahnya. Turki yang sebelum ini begitu dibanggakan sebagai negara contoh reformasi juga telah gagal. Reformasi tanpa kawalan telah menjerumuskan negara ini ke kancah anarkis.

Semakin ramai rakyat negara itu kini turun ke jalanan hanya semata-mata mahu menunjukkan sikap tidak berpuas hati dengan kerajaan yang ada.

Malaysia setakat ini masih bernasib baik kerana terlepas dengan jerat demonstrasi jalanan di luar kawalan. Tetapi sudah ada tanda-tanda, aksi-aksi demonstrasi jalanan itu akan dibawa ke Dewan Rakyat dan akhirnya nanti turun juga ke jalanan. Tahun lalu pun sudah ada Ahli Parlimen membawa kad ala sepanduk demonstrasi jalanan ke Dewan Rakyat.

Sebab itu, begitu penting agar Anwar dan konco-konconya sama ada dalam Pas, DAP dan NGO tidak lagi diberi muka. Cukuplah, jangan dilayan kerenah buruk mereka itu. Tenaga dan pemikiran Ahli Parlimen di Dewan Rakyat semestinya dicurahkan hanya demi rakyat, tidak terbelah untuk urusan-urusan kepentingan parti apatah lagi individu!

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: