Rabu, Jun 05, 2013

PAS dirosakkan oleh Anwar dan DAP?


Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim dan DAP telah merosakkan pendirian dan manhaj Pas yang mendidik ahli-ahlinya supaya reda dengan ketentuan Allah SWT.

Aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin berkata, ahli-ahli Pas telah menghayati pendirian dan mengamalkan manhaj itu sejak Pilihan Raya Umum Pertama lagi.

Sebab itu katanya, tidak timbul sebelum ini Pas menganjurkan gerakan di jalanan untuk memprotes keputusan pilihan raya umum.

Jelasnya, kebanyakan ahli parti yang turut terjerumus dalam gerakan tersebut dan menyertai siri perhimpunan haram, adalah mereka yang baru memasuki Pas malah ada di antara mereka sekadar penyokong parti sahaja.

"Mereka menyertai Pas atas alasan tertentu tanpa mengikuti program-program parti seperti usrah dan tamrin, jadi mereka hanya menjadi penyokong tegar umpama tin kosong tanpa pengisian serta taujihad perjuangan yang jelas.

"Tidak dinafikan ramai dalam kalangan mereka menyertai Pas semata-mata kerana kebencian terhadap UMNO hasil momokan berterusan daripada pelbagai sumber," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas pendirian beberapa pemimpin kanan Pas yang menolak kaedah politik ganas bagi menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat secara sah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pendirian itu disuarakan oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din; Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib; Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd. Amar Nik Abdullah; Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa.

Menurut Mohd. Riza, ahli-ahli Pas yang sering mengikuti program tarbiah haraki seperti usrah dan tamrin sentiasa mendengar nasihat serta patuh kepada arahan parti.


Kata beliau, ahli Pas di semua peringkat wajar menyambut baik seruan badan tertinggi parti yang membantah dan menolak segala bentuk cubaan menggulingkan kerajaan melalui protes jalanan.

"Biarkan sahaja kumpulan 'sakit jiwa' yang diketuai Anwar dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang terus meroyan bagaikan hilang akal," ujarnya.

Mohd. Riza memberitahu, ahli-ahli Pas semakin sedar tentang penipuan dan manipulasi berhubung PRU-13 yang sengaja dimainkan oleh Anwar.

"Sebenarnya mereka melihat permainan Anwar ini sebagai sesuatu yang sangat berbahaya dan bermotif sangat jahat.

"Mana mungkin dalam siri ceramah jalanannya Anwar melemparkan pelbagai tuduhan liar terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi tidak melaporkannya semasa membuat laporan polis. Adakah ini tidak pelik?," katanya.

Menurut beliau, Pas kini memikul ujian berat untuk menolak segala anasir yang boleh menjurus kepada rusuhan kaum dan menggugat kestabilan negara.

"Pas wajib menolak segala perhimpunan anjuran 'Bapa Kekecewaan Negara' iaitu Anwar dan sekutunya Kit Siang," ujarnya.

Mohd. Riza juga menyeru ahli-ahli Pas menghormati saranan dan nasihat pemimpin kanan parti dengan tidak menyertai perhimpunan haram di Kelantan pada 12 Jun ini.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: